Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Md Akid diiktiraf sebagai 'griller' keempat terbaik Nando's pada peringkat global

Anggaran Waktu Membaca:
Md Akid diiktiraf sebagai 'griller' keempat terbaik Nando's pada peringkat global

(Gambar: Aqil Ezat)

SINGAPURA: Nando’s mempunyai ratusan cawangan di lebih 20 negara, dan salah seorang kakitangannya di Singapura, Muhammad Akid Muhammad Fadil, telah diiktiraf sebagai tukang panggang keempat terbaik di peringkat global rangkaian restoran itu.

Pada September lalu, Akid, 23 tahun, mewakili Singapura dalam satu cabaran tahunan yang menguji keupayaan para tukang panggang Nando's dari merata dunia. Beliau hanya mendapat 'tiket' untuk bertanding di Botswana setelah mengalahkan tukang panggang Nando's yang lain di Singapura.

"Setiap tahun akan ada cabaran ini di mana semua cawangan (akan) menghantar satu dua orang sebagai wakil. Saya bekerja di cawangan Bugis Junction," kongsi Akid.

"Saya tidak sangka saya akan jadi juara di Singapura kerana saya bertanding dengan mereka yang mempunyai pengalaman selama bertahun-tahun lamanya. Saya hanya bersama Nando’s selama setahun lebih," ujarnya lagi.

AKID SEBENARNYA BEKAS BANDUAN...

Setelah bersaing dengan 27 peserta lain di Botswana, Akid terbukti mempunyai kemahiran tersendiri untuk menghidangkan ayam yang dipanggang secara sempurna.

Kemenangan itu bukan sahaja membuktikan bahawa beliau mahir menggunakan pelbagai teknik memanggang ayam, tetapi juga menunjukkan bahawa bekas banduan mampu bangkit semula dan mencapai kejayaan dalam hidup.

Akid salah seorang daripada lebih 400 bekas pesalah yang sudah diberi peluang pekerjaan oleh Nando’s sejak 2013, melalui kerjasama dengan Reben Kuning Singapura (YRSG).

"Sejujurnya, bekerja di Nando's bukan pilihan saya. Saya dapat (pekerjaan ini) dari YRSG. Saya keluar penjara pada 2023," cerita Akid.

Sekalipun tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja di dapur, Akid bersedia untuk mempelajari segala perkara baharu sehingga akhirnya diberikan kepercayaan untuk menjadi 'griller' (tukang panggang ayam) selepas tiga bulan.

“Saya suka belajar secara ‘hands-on’ (praktikal). Saya suka melihat orang lalukan kerja, apa yang mereka buat. Saya juga buat perkara sama,” kata Akid.

Akid bersama peserta lain di Botswana. (Gambar: Nando's Singapore)
DAPAT SOKONGAN PADU BERTANDING, BUKA LEMBARAN BAHARU

Bagi pertandingan yang disertai di Botswana, Akid akur bahawa beliau perlu rajin menjalani latihan.

"Ada kalanya kita pergi kelas 'art of grilling' (teknik memanggang). Kita juga berlatih di cawangan sendiri dan dari situ kita terus cuba melakukan yang terbaik," tambah Akid yang menekankan bahawa memanggang bukanlah satu perkara yang mudah.

"Perlu periksa suhu. Kalau suhu melebihi paras tertentu, ayam akan lebih terbakar. Kalau terlalu panas, (bahagian) luarnya masak, dalam pula tidak masak. Kalau api terlalu kecil, ayam tidak akan masak, (bahagian) dalamnya masih berdarah."

Akid juga percaya seseorang itu harus "masak dengan hati" - sesuatu yang dilakukan untuk memastikan ayam yang dipanggang akan dapat memenuhi selera semua pelanggan Nando's.
Akid, tengah. (Gambar: Nando's Singapore)
Bagi pertandingan di Botswana yang disertai beliau pada tahun lalu, para peserta buat pertama kalinya dinilai berdasarkan personaliti, selain mutu makanan.

"Mereka menilai berdasarkan personaliti, cara anda memanggang ayam, kelakuan anda, cara anda masak. Mereka ingin melihat semangat anda," terang Akid.

“Saya tidak sangka untuk dapat ranking setinggi itu, tetapi saya rasa bangga kerana dapat mewakili Singapura,” katanya lagi.

Apa pun, Akid menghargai pengalaman dan sokongan diberikan kepadanya. Beliau tidak sesekalipun berasa dirinya diperkecilkan.

"Di Nando's, kami memperlakukan satu sama lain seperti keluarga. Semasa pertandingan juga, kami tidak fikir macam kita ini musuh. Semuanya tentang semangat kekeluargaan."
AKID SUDAH 'NAIK PANGKAT'

Menyusuli kemenangannya di Botswana, Akid akan menjadi seorang 'mentor griller' pula di mana beliau akan membimbing tukang panggang lain di enam cawangan Nando's merata Singapura.

Sebagai permulaan, beliau dihantar ke cawangan Nando’s di Kuala Lumpur pada setiap hujung bulan untuk mengendalikan latihan buat para kakitangan di sana.

Akid bertekad untuk berkongsi kepakarannya dalam memasak walaupun jadualnya padat.
(Gambar: Nando's Singapore)
"Saya ingin mereka suka pekerjaan mereka, dan ingin mereka panggang ayam dengan penuh semangat," ujarnya.

"Saya ingin mereka faham bahawa masakan itu datang daripada hati, dan apa sahaja yang hidangkan perlu sama dengan apa yang mereka akan hidangkan kepada keluarga mereka," tambah Akid.

Akid menasihati mereka yang ingin memulakan kehidupan baharu agar tidak berputus asa, meskipun ia bukan perkara yang mudah.

"Kerja keras dan jangan putus asa untuk mencapai impian kita. Insya-Allah semuanya okay, semuanya akan berjalan dengan lancar," kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan