Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Masa depan buku bercetak: cerah atau sebaliknya?

Anggaran Waktu Membaca:
Masa depan buku bercetak: cerah atau sebaliknya?

(Gambar: freestocks.org/Pexels)

PADA dasawarsa ini, teknologi seakan sinonim dengan kehidupan manusia. Aktiviti harian yang dahulunya dilakukan dengan sentuhan fizikal dan kerahan tenaga, kini boleh dan sering dilaksanakan dengan hanya satu tekanan butang penghidup mesin atau beberapa sentuhan pada skrin peranti. 

Rentak dunia semakin pantas, jarak kian didekatkan dan “mudah dan ringkas” kini menjadi kata kunci dalam pencarian manusia akan setiap perkakas yang ingin mereka miliki.

Buku tidak terlepas daripada dibawa arus pemodenan. Sebuah rekaan yang bermula sebagai coretan pada pelepah pokok atau himpunan keratan kulit haiwan yang dijahit bersama, kini boleh didapati dalam bentuk cetakan pada kertas-kertas yang dibukukan rapi dan dihiasi pula dengan kulit buku yang menarik pada mata dan hati. Evolusi buku tidak berhenti di situ. 

Hari ini, buku turut didigitalkan dan boleh didapati dalam bentuk e-buku. Para penggemar buku yang mampu dan ingin membaca e-buku boleh memuat-turunnya dalam telefon pintar, komputer dan juga alat pembaca e-buku yang kini masyhur dengan jenama Kindle atau Kobo.

GERGASI BUKU BERCETAK DITEWASKAN PERANTI

Pada November 2007, dunia dihebohkan dengan pelancaran pertama alat pembaca e-buku terkenal, Kindle, oleh syarikat Amazon. Ia disambut hangat oleh penggemar buku sedunia; bekalan habis dijual dalam masa kurang daripada enam jam sejak ia dilancarkan dan hanya boleh dikembalikan pada bulan April yang seterusnya.

Peranti yang pada waktu itu masih bermodel “usang” dengan skrinnya yang agak
kecil, fizik keseluruhan yang kurang kompak, dan harga setinggi USD399 (S$542), menggegarkan dunia penghasilan buku bercetak. Dalam masa sedekad sejak pelancaran alat segi empat itu, gergasi-gergasi buku bercetak telah ditewaskan.

Barnes & Noble, yang suatu ketika dahulu merupakan pesaing terhebat bagi kedai-kedai buku tempatan, terpaksa
menutup tirai sebilangan besar cawangannya. Syarikat peruncit buku mega Borders yang berasal dari Amerika Syarikat juga dibubarkan serta-merta dan syarikat-syarikat penerbit besar yang lain terpaksa bergabung demi mengekalkan kelangsungan perniagaan.

Sememangnya, daya tarikan e-buku tidak boleh dinafikan, apatah lagi daripada kaca mata golongan milenial yang sudah selesa bertemankan teknologi. Kesibukan hidup menyempitkan masa yang terluang bagi mereka laksanakan hobi-hobi mereka, termasuk membaca buku.

Keperluan untuk sentiasa bergerak pantas demi menyelaraskan diri dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab tidak mengizinkan mereka membawa bersama barang-barang besar dengan mudah.

Natijahnya, hasil teknologi yang menawarkan manfaat dan keseronokan yang serupa dengan yang ditawarkan bahan konvensional menjadi pilihan.

E-buku menjimatkan wang, ruang dan tenaga kerana dengan hanya sebuah peranti yang tidak jauh saiznya daripada saiz tapak tangan lelaki dewasa, si pemilik dapat mengakses ribuan bahan bacaan bila dan di mana sahaja, tanpa perlu membawa dan menyelak ribuan helaian kertas.

BUKU BERCETAK BELUM DIRAMPAS TAKHTANYA

Walau bagaimanapun, buku bercetak belum dirampas takhtanya. Walaupun pada fasa awal kemunculan alat pembaca e-buku di pentas global, kadar penjualan buku konvensional merudum dengan agak drastik, kajian dan tinjauan yang ditujukan kepada skala responden yang lebih kecil menunjukkan bahawa buku bercetak masih menjadi pilihan utama para pembaca. 

Satu tinjauan yang dikendalikan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada tahun 2015 mendapati 86 peratus daripada responden dalam kalangan warga Singapura dan penduduk tetap lebih gemar membaca buku bercetak daripada e-buku, manakala hanya satu daripada lima pembaca membaca e-buku.

Pada hakikatnya, fenomena ini tidak mengejutkan, kerana dalam apa jua perkara yang didatangkan alternatif digital
baginya, sentuhan insani tetap dapat menawarkan keistimewaannya yang tersendiri.

Pereka design Chip Kidd berpendapat bahawa, “Buku bercetak itu satu ‘rakaman akan kewujudan kita’, kerana ia boleh ditempatkan di rak buku, di perpustakaan, di rumah, supaya generasi yang mendatang boleh memahami apa yang pernah dilalui dan yang bakal mereka lalui.”

Beliau menambah bahawa buku bercetak menawarkan sejenis pengalaman dan hubungan yang tidak boleh disajikan oleh e-buku; pembaca ingin merasakan sensasi sentuhan kertas, menikmati keghairahan menyelak buku dan menandakan sejauh mana dia telah menjelajah di alam cerita yang dibaca. 

Antara lain, pembaca merasakan sejenis ketenangan dan kegembiraan apabila dapat menghidu kesegaran bau dakwat atas kertas yang menua.

Pada perspektif yang bersandarkan metafora, buku bercetak tidak mengizinkan sebuah cerita dimatikan hanya dengan ditekannya satu butang pada peranti. Sebaliknya, ia merupakan “jelmaan” sebuah cerita dan karya yang boleh digenggam dalam tangan dan dibawa bersama pembaca, dan inilah yang memberi buku bercetak sebuah nilai dan harga
yang tidak boleh dibayar dengan harga alat pembaca e-buku sama sekali.

Ya, teknologi menguasai dunia dan ya, teknologi memudahkan hidup manusia. Namun, skrin tidak dapat menandingi kertas dalam aspek sentuhan, perasaan dan komitmen yang dicurahkan pembaca ke dalam alam kisah yang dibacanya. Dengan itu, masa depan buku bercetak tidak kelam, sekurang-kurangnya tidak buat masa ini. 

Ia galak menerima penghargaan dan cinta para pembaca yang masih menghargai erti pencapaian membaca buku dari kulit ke kulit.

CETUSAN KARYA:
Rencana ini adalah sentuhan ilham Nurul ‘Izzah Zaini, penuntut Pra-U 2 Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan