Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Makin ramai baca buku Melayu tapi mengapa setakat buku popular saja?

Para penerbit di Singapura sendiri akur bahawa novel-novel yang diadaptasi menjadi filem atau rancangan TV adalah antara genre yang paling laris dijual di sini. Apakah ini merupakan satu anjakan kepada usaha memupuk minat dan budaya membaca dalam bahasa ibunda di tanah air kita?

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai baca buku Melayu tapi mengapa setakat buku popular saja?

Antara judul popular di kedai buku. (Gambar: bukuratu.blogspot.com)

BERITAmediacorp: Cinta Si Wedding Planner, Adam & Hawa, Bisik Pada Langit, Suri Hati Mr Pilot – pastinya ramai yang mengenali bahkan pernah membaca novel-novel ini, terutama sekali selepas diadaptasi dan dijadikan drama-drama popular.

Beribu-ribu naskah diedarkan dan dipasarkan di rantau ini, dengan para penerbit di Singapura sendiri akur bahawa novel-novel sedemikian adalah antara genre yang paling laris dijual di sini.

Apakah ini merupakan satu anjakan kepada usaha memupuk minat dan budaya membaca dalam bahasa ibunda di tanah air kita?

BERITAmediacorp bertemu dengan beberapa penggiat dan penerbit mapan dan baru, untuk meninjau perkembangan usaha memupuk budaya membaca dalam bahasa ibunda.

TABIAT MEMBACA DI S’PURA

Tiga tahun lalu, menerusi Tinjauan Membaca dan Menulis Sastera, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mendedahkan bahawa hanya 44 peratus penduduk Singapura yang membaca sekurang-kurangnya satu buku setiap tahun.

Daripada perangkaan tersebut, 27.8 peratus sahaja yang membaca buku Melayu.

Namun, sejak 2016, usaha memupuk minat membaca dipacu oleh Gerakan Membaca Kebangsaan yang dilancarkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Bagi membudayakan tabiat membaca buku dalam bahasa Melayu khususnya, pelbagai prakarsa dianjurkan NLB, menurut Pustakawan Bersekutu Herman Rothman.

Antaranya, acara tahunan Read! Fest yang dianjurkan dengan kerjasama Mendaki serta Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menggalak masyarakat supaya membaca dalam bahasa ibunda.

Selain itu, Encik Herman turut berkongsi bahawa Gig Puisi iaitu sesi deklamasi puisi yang turut diadakan setiap tahun sempena Bulan Bahasa, menerima sambutan yang semakin memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan ini.

Salah sebuah sesi gig puisi. (Gambar: National Library Board)

Ternyata, usaha-usaha yang dijalankan berjaya membuahkan hasil. Sejak Gerakan Membaca Kebangsaan dilancarkan pada Jun 2016, buku-buku Melayu yang dipinjam di NLB naik 10 peratus, dengan sekitar 44,000 pinjaman pada Mac 2018, menurut NLB.

“Tanpa cinta kepada budaya membaca, ia mustahil bagi sastera untuk berkembang,” kata Encik Herman.

Soalnya, bahan bacaan seperti yang bagaimana?

NOVEL POPULAR LARIS DIJUAL

Menurut Tinjauan Tabiat Membaca Kebangsaan yang dijalankan NLB pada 2016, dalam kalangan 93 peratus rakyat Singapura yang membaca, 19 peratus sahaja yang membaca buku sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu berbanding 42 peratus yang sekadar membaca artikel secara online.

Dalam kalangan mereka yang membaca buku pula, genre yang paling diminati tidak didedahkan tetapi rata-ratanya, para penerbit buku Melayu tempatan tidak dapat menyangkal bahawa novel popular yang diadaptasi menjadi drama atau filem, merupakan antara yang paling laris.

Di kedai buku tradisional mahupun wadah online, novel-novel seumpama itu membentuk sebahagian besar daripada edaran dan jualan penerbit tempatan.

Malah, pembangun laman penjualan buku online The Buku Bookstore, Cik Syarafina Halim mendapati bahawa permintaan bagi novel-novel tersebut melonjak selepas disiarkan di kaca televisyen.

“Novel-novel itu akan menjadi popular sebaik sahaja dijadikan filem atau siri drama,” kata cucu pengasas Kedai Buku Haji Hashim, nama yang sangat sebati dengan masyarakat Melayu tempatan.

Pengarah Pustaka Nasional, Encik Syed Ali Semait turut akur terhadap fenomena berkenaan tetapi beliau sebaliknya melihat perkembangan tersebut sebagai satu rintangan.

“Cabaran yang utama adalah minat masyarakat Melayu dalam membaca bahan Melayu tempatan, pembelian hanya untuk buku murah … novel cinta dari Malaysia yang dibuat filem atau drama TV.

“Kedai buku hanya mahu jual buku Melayu dengan diskaun yang tinggi dan tajuk popular sahaja,”kata pengarah syarikat penerbitan yang ditubuhkan sejak 1963 itu.

MENJANGKAUI NOVEL POPULAR, SASTERA BAHAN INTELEKTUAL

Hakikatnya, sastera Melayu menjangkaui karya-karya yang diterbitkan di kaca televisyen atau novel-novel cinta sahaja. Namun, genre lain yang lebih berunsur intelektual kurang mendapat perhatian.

Demikian pendapat Encik Farihan Bahron, penulis muda yang juga pengasas syarikat penerbitan Unggun Creative. Katanya, ini adalah kerana bahan bacaan bahasa Melayu sewenang-wenangnya dirangkulkan menjadi satu.

“Buku-buku sastera (yang biasanya lebih bertemakan Sejarah, Agama dan Politik) secara amnya dikelompokkan dalam genre ‘Buku-Buku Melayu’, malah ada kalanya disamakan pula dengan buku-buku bersifat popular, picisan dan sebagainya,” ujar pemenang Anugerah Pena Emas 2015 itu.

Farihan Bahrom. (Gambar: Singapore Writer's Festival)

Malangnya, beliau berpendapat: “Buku-buku sastera (selain novel popular) dianggap terlalu berat untuk dibaca sebagai bahan bacaan santai”.

Walhal, “karya sastera mempertajamkan pandangan kritis yang dibentuk, mempertingkatkan kesedaran terhadap diri dan kehidupan serta memperkayakan jiwa dan semangat masyarakat,” kata penggiat sastera, Cik Annaliza Bakri.

“Tema yang sukar dibicarakan di ruang awam boleh diketengahkan dalam karya sastera dan inilah kerelevanan karya sastera Melayu.

“Oleh itu, apa yang perlu dipermasalahkan adalah apresiasi dan selera intelektual masyarakat untuk melihat kerelevanan dan kekayaan karya sastera Melayu Singapura yang sebenarnya mampu bersaing dengan karya bahasa atau negara lain di pentas dunia,” tegas guru Bahasa Melayu itu.

MUNGKIN SASTERA MELAYU HARUS DITERJEMAHKAN?

Pada September tahun lalu, Cik Annaliza melancarkan buku Sikit-Sikit, Lama-Lama Jadi Bukit, iaitu antologi puisi penulis Melayu Singapura yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris. Buku tersebut adalah antara usaha beliau untuk mengetengahkan karya penulis Melayu.

Annaliza Bakri. (Gambar: asymptotejournal.com)

“Penulis kita memang hebat tetapi kurang menerima pengiktirafan yang sewajarnya kerana lebih banyak perhatian diberikan kepada penulis dan karya dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, penting untuk karya mereka diterjemahkan,” kata beliau.

Pendirian tersebut turut disokong syarikat Ethos Book yang menerbitkan buku-buku penulis tempatan dan serantau, dalam pelbagai bahasa.

“Dalam pengamatan kami, para pembaca kami membeli buku-buku bukan gara-gara ia diterjemahkan dari bahasa Melayu kepada Inggeris, tetapi disebabkan kandungannya … Ini menunjukkan bahawa penulis Melayu meneroka beberapa tema berbeza berbanding penulis bukan Melayu dan ini yang menambat hati pembaca,” kata Cik Foo Peiying, seorang kakitangan syarikat itu.

Meskipun Ethos Book mengalu-alukan usaha menterjemahkan buku, ia akur bahawa industri tersebut masih setahun jagung.

Menurut Cik Foo, meskipun ramai yang teruja apabila diperkenalkan kepada karya sastera Melayu yang diterjemahkan di acara-acara seperti Pesta Penulis Singapura, keberkesanannya dalam menggalak pembacaan buku selain genre ‘picisan’ masih belum terjamin.

“Idea menterjemahkan karya-karya Bahasa Ibunda masih baru lagi dan orang ramai masih di peringkat menerima buku-buku sedemikian,” kata beliau.

Yang pasti, kandungan bahan yang dibaca adalah faktor yang paling diutamakan.

“Kami memandang setiap karya terjemahan dalam haknya tersendiri dan selalunya, sama ada ia diterjemahkan atau tidak, kami lebih mementingkan kandungan yang baik,” tambah penggemar buku itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan