Skip to main content

Nadi Kampus

Mahasiswa hayati kebudayaan, seni dan tradisi Melayu dalam Fiesta Budaya 2023

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Oct 2023 06:43PM Dikemas Kini : 22 Oct 2023 11:28AM
SINGAPURA: Tangkas bersilat, berdikir barat, reka Wau dan tasbih.

Ini antara kegiatan menarik yang diadakan untuk komuniti pelajar SIT buat julung-julung kalinya di kampus Institut Teknologi Singapura (SIT).

Sambutan daripada para mahasiswa amat positif, sehingga terdapat ura-ura untuk menjadikan acara Fiesta Budaya 2023 itu sebagai tradisi tahunan di SIT.

Fiesta Budaya 2023 dianjurkan pada 9 Oktober sempena Bulan Bahasa. Acara itu bertujuan untuk menonjolkan kepelbagaian dan semangat perpaduan yang tinggi di dalam masyarakat Melayu di SIT.

Menerusi acara tersebut, para mahasiswa dapat melalui pengalaman yang mendalam dan unik selain memupuk kefahaman tentang budaya, seni dan tradisi warga Melayu/Islam di Singapura.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk mempelajari gerakan Silat dan menyaksikan persembahan yang memukau, mempelajari sedikit asas tentang Dikir Barat, serta menyertai aktiviti mereka Wau dan Tasbih.
Gambar: WAU! MCS

Selain itu, acara Perlumbaan Hebat menggalakkan sifat kerjasama dan pemikiran pantas, manakala permainan trivia dan cabaran lagu memperdalam pengetahuan budaya para mahasiswa.


Fiesta Budaya menawarkan peluang yang berharga kepada para mahasiswa untuk memahami lebih mendalam tentang adat dan nilai-nilai kemelayuan dan untuk meresapi elemen budaya yang berbeza.

Acara ini juga menjadi peringatan bahawa pengetahuan dan penghargaan terhadap pelbagai budaya adalah penting untuk memupuk sifat saling memahami dan hormat menghormati dalam kalangan masyarakat.

"Fiesta Budaya membuktikan bahawa ia dapat memberikan pengalaman yang sangat menyeronokkan bagi saya. Aktiviti yang direncanakan tidak hanya melibatkan keupayaan fizikal namun menyegarkan.

"Perkara yang menambah keseronokan adalah rasa persaingan dan semangat sukan yang dikongsikan. Oleh itu, kemenangan kumpulan kami berasa lebih bermakna," kata Amirah Ahmad Khairy, mahasiswa Tahun 2 jurusan Komunikasi Digital dan Media Integrasi.

Amirah menambah bahawa para penganjur acara itu layak mendapat pujian kerana merancangkan acara dengan teliti, kerana setiap aktiviti meninggalkan kenangan yang berpanjangan.

"Saya dengan penuh semangat menantikan peluang untuk menghadiri acara-acara seperti ini lagi pada masa depan," ujar Amirah.

Gambar: WAU! MCS
Bagi Nurul Aisyah, seorang mahasiswa Tahun 1 dalma jurusan Perakaunan, kejayaan Fiesta Budaya adalah peluang untuk beliau meneroka kelab-kelab lain di SIT. Beliau juga meraih minat baru dalam Dikir Barat, yang disifatkan sebagai "satu kejutan yang tidak dijangka dan menyeronokkan".

"Bahagian yang paling menyeronokkan adalah Perlumbaan Hebat. Tanpa sebarang keraguan, saya dapat membina ikatan yang rapat dengan rakan sepasukan dan ia amat menyeronokkan.

"Tidakku lupa sesi Teh Tarik yang merupakan hidangan yang lazat dan juga cara yang menyenangkan untuk mengakhiri hari yang penuh dengan pelbagai aktiviti!" seloroh Nurul Aisyah.

Disebabkan sambutan memberangsangkan daripada para mahasiswa, terdapat rancangan untuk menjadikan acara ini sebagai tradisi tahunan di SIT.

Niatnya jelas - iaitu untuk memperkenalkan setiap generasi baharu mahasiswa SIT kepada pengalaman budaya yang kaya.

Acara tahunan ini tidak hanya berfungsi sebagai usaha menyambut mesra para mahasiswa SIT tetapi sebagai jambatan yang menghubungkan budaya, tradisi, dan nilai-nilai yang berbeza.
Gambar: WAU! MCS

Apabila acara Fiesta Budaya dapat maju dan berkembang, ia dijangkakan akan menampilkan lebih banyak persembahan yang menawan, pameran-pameran interaktif, dan peluang pertukaran budaya. Visinya adalah untuk menciptakan warisan yang berkekalan serta menanamkan sifat perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu SIT.

Acara Fiesta Budaya 2023 disokong dan ditaja oleh SIT.

MENGENAI PENULIS:

Seri Hanzalah Haniffah ialah seorang mahasiswi SIT Tahun 2 dalam jurusan kecerdasan buatan gunaan. Beliau juga merupakan anggota WAU! Persatuan Budaya Melayu SIT.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita