Madrasah Irsyad, Sekolah Menengah Serangoon muncul juara edisi ke-6 Rentas Pantas anjuran siswa NTU

Pihak penganjur bergambar dengan para peserta dan guru-guru, yang menyertai acara Rentas Pantas. (Gambar: Rentas Pantas)
Hampir 60 pelajar dari lima sekolah rendah dan lapan sekolah menengah mengambil bahagian dalam acara Rentas Pantas yang diadakan pada Sabtu (17 Mei dan 24 Mei).
Ia dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dari Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (NTU Perbayu).
Berkonsepkan ala 'Amazing Race', para peserta diuji pelbagai kemahiran dan pengetahuan berkaitan bahasa dan budaya Melayu - daripada penguasaan kosa kata, pendedahakan terhadap rempah ratus dalam masakan Melayu sehinggalah bakat mereka dalam seni wayang kulit.


Stesen tersebut didirikan di merata kampus universiti tersebut.
Dengan tema “Memelihara Rasa, Melestarikan Budaya”, kegiatan-kegiatan tersebut secara langsung dapat menekankan tentang peri pentingnya menghargai dan melestarikan warisan Melayu secara menyeluruh.

Dengan penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut, ia memberi peluang untuk mereka mengulang kaji gaya bahasa Melayu termasuk peribahasa Melayu.
"Kumpulan kami berasa sangat gembira kerana telah melengkapkan semua aktiviti-aktiviti Rentas Pantas dengan baik. Rentas Pantas memberikan kami peluang untuk bermain permainan bersama kawan-kawan sambil pelajari tentang budaya dan bahasa Melayu," kata Nur Sabrina Contessa, pelajar menengah dua dari Sekolah Menengah Serangoon.

Para peserta dinilai berdasarkan kerjasama dalam kumpulan, dan keupayaan peserta dalam menyelesaikan tugasan di setiap stesen.
Mengulas mengenai sambutan yang diterima bagi edisi ke-6 acara itu, Nur Atikah Jusri, ketua projek Rentas Pantas berkata:
"Tahun ini, Rentas Pantas menyaksikan sambutan yang luar biasa daripada para peserta. Mereka begitu ghairah menyertai setiap aktiviti dan menunjukkan semangat yang tinggi.
"Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menarik minat murid, malah turut menghiburkan para guru yang hadir dan menyokong," ujar mahasiswa NTU tahun ketiga tersebut.
Dengan sokongan padu yang diterima bagi edisi itu, pihak penganjur berharap untuk menarik lebih banyak penyertaan sekolah bagi edisi seterusnya.
Berikut adalah keputusan penuh acara Rentas Pantas
Peringkat sekolah rendah:
Juara – Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah
Naib Juara – Sekolah Rendah Evergreen
Tempat Ketiga – Sekolah Rendah Xishan
Peringkat sekolah menengah:
Juara – Sekolah Menengah Serangoon
Naib Juara – Sekolah Menengah Chua Chu Kang
Tempat Ketiga – Sekolah Menengah Perempuan Cedar
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.