Skip to main content

Nadi Kampus

Madrasah Irsyad pertahan kejuaraan buat kali ketiga, Sekolah Menengah Commonwealth raih kemenangan sulung dalam Rentas Pantas

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Irsyad pertahan kejuaraan buat kali ketiga, Sekolah Menengah Commonwealth raih kemenangan sulung dalam Rentas Pantas

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah (kanan) dan Sekolah Menengah Commonwealth (kiri) muncul juara pertandingan Rentas Pantas edisi ketujuh, masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. (Gambar: Rentas Pantas)

SINGAPURA: Kecekapan menyelesaikan cabaran di setiap stesen yang menguji pengetahuan budaya dan bahasa Melayu.

Ini yang akhirnya menjadikan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Sekolah Menengah Commonwealth muncul juara pertandingan Rentas Pantas edisi ketujuh, masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.

Lebih manis lagi, kemenangan itu menandakan kejuaraan tiga tahun berturut-turut bagi Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah. Manakala bagi Sekolah Menengah Commonwealth pula, ia merupakan kemenangan sulung mereka dalam pertandingan itu.

Seramai 90 pelajar dari 10 sekolah rendah & lapan sekolah menengah menyertai Rentas Pantas, yang berlangsung pada Sabtu (16 Mei dan 23 Mei).

Related article image
Para peserta dan pihak penganjur Rentas Pantas bergambar bersama. (Gambar: Rentas Pantas)

Penyertaan kali ini malah, merupakan yang tertinggi sejak pertandingan Rentas Pantas diperkenalkan.

Mengulas lanjut mengenai sambutan itu, Ketua Rentas Pantas, Diyana Farihah Zaidi berkata jumlah penyertaan itu sekali gus mencerminkan "sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak sekolah, guru-guru dan para pelajar terhadap Rentas Pantas".

Berteraskan konsep ala 'Amazing Race', para peserta diuji menerusi pelbagai cabaran yang menilai kemahiran serta pengetahuan berkaitan bahasa dan budaya Melayu.

Related article image
Para peserta diuji menerusi pelbagai cabaran yang menilai kemahiran serta pengetahuan berkaitan bahasa dan budaya Melayu. (Gambar: Rentas Pantas)

Tema edisi kali ini turut mengetengahkan nilai-nilai tokoh legenda Melayu seperti Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Hang Nadim. Rentas Pantas dianjurkan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dari Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (NTU Perbayu).

Related article image
Jawatankuasa Rentas Pantas 2026, yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dari Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (NTU Perbayu). (Gambar: Rentas Pantas)

KERJASAMA PADU KUNCI KEMENANGAN MADRASAH IRSYAD, SEKOLAH MENENGAH COMMONWEALTH

Pasukan Madrasah Irsyad yang dinobatkan sebagai juara terdiri daripada pelajar Darjah 5 - Salman Muhammad Saiful ‘Adli, Hamzah Selamat, Ibrahim Akhtar, Sheikh Saifuddin Suhaimi dan Muhammad Imraan Muhammad Naufal.

Related article image
Pasukan Madrasah Irsyad yang dinobatkan sebagai juara terdiri daripada pelajar Darjah 5 - Salman Muhammad Saiful ‘Adli, Hamzah Selamat, Ibrahim Akhtar, Sheikh Saifuddin Suhaimi dan Muhammad Imraan Muhammad Naufal. (Gambar: Rentas Pantas)

Ditanya mengenai strategi mereka untuk mempertahankan gelaran juara, salah seorang anggota pasukan tersebut, Salman berkata kejayaan mereka terletak pada semangat kerjasama dan kesungguhan dalam melaksanakan setiap misi yang diberikan.

Selain itu, persiapan rapi melalui ulang kaji serta kajian tentang legenda-legenda Melayu turut membuahkan hasil. Bagi mereka, kerjasama merupakan tunjang utama kejayaan pasukan.

Begitu juga bagi pasukan Sekolah Menengah Commonwealth yang menjuarai pertandingan itu bagi peringkat sekolah menengah.

Pasukan itu terdiri daripada Adelia Mohammad Rashiq, Nur Syurah Natasha Muhammad Nasrah, Elias Hadi Mohammed Andie, Ilfy Hanaqif Ridzuan dan Declan Frederick Indrakusuma, yang kesemuanya merupakan pelajar Menengah 2.

Related article image
Pasukan Sekolah Menengah Commonwealth terdiri daripada Adelia Mohammad Rashiq, Nur Syurah Natasha Muhammad Nasrah, Elias Hadi Mohammed Andie, Ilfy Hanaqif Ridzuan dan Declan Frederick Indrakusuma, yang kesemuanya merupakan pelajar Menengah 2. (Gambar: Rentas Pantas)

"Kami juga berbincang dan memikirkan strategi sebelum memulakan permainan. Kami telah bersatu padu sepanjang pertandingan berlangsung," jelas pasukan itu.

Menyentuh harapan pihak penganjur terhadap masa depan acara itu, mahasiswa Tahun 3 di NTU, Cik Diyana, 22 tahun, berkata: “Kami ingin melihat acara ini terus berkembang sebagai sebuah platform yang mampu menyatukan pelajar melalui bahasa, budaya dan identiti Melayu.”

SENARAI PENUH PEMENANG RENTAS PANTAS EDISI KETUJUH

Sekolah Rendah

Juara: Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah

Naib Juara: Sekolah Rendah Evergreen

Tempat Ketiga: Sekolah Rendah North View

Sekolah Menengah

Juara: Sekolah Menengah Commonwealth

Naib Juara: Sekolah Menengah Perempuan Cedar

Tempat Ketiga: Sekolah Menengah Chua Chu Kang

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita