Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah dinobat juara kategori klip pendek Pertandingan Drama Sains Antarabangsa
Kumpulan pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah muncul juara dalam Pertandingan Drama Sains Antarabangsa (ISDC) bagi kategori 'Short Clips'. (Gambar: Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah)
SINGAPURA: Sekumpulan pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah dinobat sebagai juara dalam Pertandingan Drama Sains Antarabangsa, mengalahkan pasukan dari Indonesia, Bolivia dan China di peringkat akhir.
Pertandingan tersebut merupakan satu acara tahunan yang menggalak para peserta menggunakan kemahiran berlakon untuk mengetengahkan konsep sains. Ia dibuka kepada para pelajar tempatan, orang awam mahupun pasukan dari luar negara.
Bagi edisi ke-10 baru-baru ini, kategori 'Klip Pendek' diperkenalkan di mana peserta perlu menerbitkan video media sosial berdurasi satu minit.
Pasukan Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah menyahut cabaran ini dengan menghasilkan video bertajuk "Energy Matters!" di mana mereka menjelaskan tentang susunan dan pergerakan zarah dalam tiga keadaan jirim berbeza.
Konsep tersebut dijelaskan dalam cara cukup kreatif sehingga mereka akhirnya menjadi pemenang sulung kategori itu.
Pasukan tersebut terdiri daripada tujuh pelajar menengah 4, iaitu Humaira Ahmed Nusrath, Khadija Tahira M Mohammed Ajeeb, Maryam Amjad Mahboob, Misha Anum Abd Rahman, Nur Kaiyisah Muhammad Azri, Nur Syaurah Abu Bakar, Shariffah Nur A'ishah dan Syed Kassim Al-Muthar.
Kemenangan pasukan Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah dikongsi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi catatan di Facebook pada awal bulan ini.
"Kebolehan mereka untuk berinovasi dan menyampaikan idea-idea kompleks melalui seni benar-benar mencerminkan pendidikan holistik yang disediakan oleh madrasah kami," ulas badan penguasa Islam itu.
Menurut pihak penganjur, iaitu Pusat Sains Singapura, terdapat beberapa pusingan sebelum peringkat akhir berlangsung pada 3 Ogos.
Pusingan akhir bagi peringkat nasional di Singapura diadakan pada 12 April. Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah terdahulu unggul dalam pusingan itu, sekali gus melayakkan mereka untuk mewakili Singapura di peringkat akhir.
Selain Singapura, pasukan yang bertarung dalam peringkat akhir terdiri daripada kumpulan pelajar dari Bolivia, Brunei, China, Korea, Indonesia dan Thailand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.