Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Lutfil Hadi tolak tawaran SMU demi sara keluarga; kini 'tauke' Waffl di Jurong East

Anggaran Waktu Membaca:
Lutfil Hadi tolak tawaran SMU demi sara keluarga; kini 'tauke' Waffl di Jurong East

Lutfil Hadi (kiri) membuka kafe Waffl di Jurong pada 2022. (Gambar-gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp, Lutfil Hadi)

SINGAPURA: Dalam masyarakat yang menitikberatkan pendidikan, tidak melanjutkan pengajian ke universiti ada kalanya dianggap sebagai kelemahan. Namun, kejayaan tidak terbatas kepada satu laluan sahaja. Setiap individu menempuh perjalanan berbeza dalam mencapai impian mereka.

Bagi Lutfil Hadi Mohammad Razif, 32 tahun, pencapaiannya dalam pelajaran cukup membanggakan. Dari Institut Pendidikan Teknikal, beliau melangkah ke Politeknik Temasek, di mana prestasi cemerlangnya dalam Analitik Risikan melayakkan diri mendapat tempat dalam jurusan Sistem Maklumat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Pun begitu, belia itu memilih untuk tidak ke universiti demi mengejar minatnya dalam perniagaan, selain mencari nafkah buat keluarganya.

Diam tak diam, Lutfil kini mempunyai sebuah kafe di Jurong East. Perusahaan yang dinamakan Waffl itu maju dengan pendapatan bulanan mencecah lima angka dan cukup popular dalam kalangan penduduk di kawasan kejiranan itu.

Begini kisah Lutfil...
Lutfil (kanan) bersama rakan niaganya, Joshua Chan. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
MINAT BERPUTIK SELEPAS KUTIP S$75,000 BUAT PELAJAR SUSAH

Semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Lutfil terpanggil untuk menjalankan satu 'projek amal' sempena ulang tahun Politeknik Temasek (TP) yang ke-25 ketika itu.

Beliau dan rakan-rakan bertekad untuk mengumpul dana buat penuntut TP yang kurang berkemampuan dengan menjual baju mahupun beberapa cenderamata.

"Itu idea saya sendiri. Saya juga mahu menjual baju TP yang lebih lawa kerana baju yang disediakan sekolah waktu itu agak ketinggalan zaman," seloroh Lutfil yang menambah bahawa beliau awalnya merancang untuk menjual 100 helai kemeja-T sahaja.

Tanpa disangka-sangka, beliau mendapat permintaan bagi lebih 5,000 helai dan jumlah yang terkumpul pula adalah sekitar S$75,000. Lebih menarik lagi, Lutfil dan rakan-rakannya tidak membelanjakan sebarang kos kerana tempahan baju dan barangan dibuat selepas menerima pembayaran.
Lutfil (paling kanan) bersama rakan-rakan yang membantunya menjual baju di Politeknik Temasek. (Ihsan: Lutfil Hadi)
"Dari situ saya mula berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Pengalaman itu tidak boleh dibeli dengan mata wang," cerita Lutfil.

KORBAN PELUANG KEEMASAN KE SMU

Kru Nadi Kampus bertanya Lutfil jika pengalaman itu mendorongnya untuk mempelajari selok-belok perniagaan di peringkat sarjana muda pula.

Inilah yang membuat Lutfil membuka cerita tentang dirinya yang tidak meneruskan pengajian ke peringkat universiti.

Keputusan tersebut diambil walaupun bekas pelajar ITE itu sudah ditawarkan tempat untuk mengikuti program Sistem Maklumat di SMU. Ada beberapa faktor yang mempengaruhi keputusannya.

"Pada ketika itu, umur saya sudah tidak muda lagi. Melanjutkan pengajian ke universiti boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi dalam bidang perniagaan, saya perlu bermula lebih awal. Lagipun, saya masih belum berumah tangga, jadi tanggungjawab saya belum sebesar mana," jelas Lutfil, sambil merujuk kepada laluan pendidikannya yang "lebih panjang daripada biasa" sebagai lulusan ITE, serta keperluan untuk menjalani NS.

"Ia memang satu keputusan yang sukar. Namun, sebagai ketua keluarga juga, saya rasa ada keperluan untuk mencari pendapatan yang lebih daripada purata," tambahnya.
Ibu bapa Lutfil sudah lanjut usia sementara kakaknya didiagnosis dengan autisme sederhana. Inilah yang membuatkan Lutfil berasa beliau perlu mengambil alih peranan menyara keluarga.

"Itu adalah komitmen yang sangat besar," ujarnya. "Jadi, apabila anda mempunyai komitmen seperti itu, anda tidak boleh mudah berputus asa."

SELAMA INI BERNIAGA TANPA MODAL; BUKA WAFFL PADA 2022

Ramai mempunyai tanggapan bahawa untuk berjaya dalam dunia perniagaan, seseorang itu perlu mempunyai modal yang besar. Lutfil bagaimanapun menegaskan bahawa strategi yang mantap lebih penting untuk berjaya.

Lutfil selama ini mendapatkan pelaburan daripada kenalan dan rakan-rakan yang percaya dengan visi dan jenamanya.

“Mereka tahu perjalanan perniagaan saya. Jadi mereka yakin. Mudah untuk saya mendapatkan modal,” kata beliau.
Lutfil pernah berniaga di bazar sebelum membuka kafe. (Ihsan: Lutfil Hadi)
Lutfil akhirnya membuat keputusan untuk membuka kafe pada tahun 2022.

Kafe yang dinamakan Waffl itu menawarkan pelbagai hidangan wafel, gelato dalam pelbagai perisa, brownies serta minuman. Kafe ini diusahakan bersama rakannya, Joshua Chan.

"Saya memang suka pencuci mulut, jadi saya buka kafe yang menjual pencuci mulut," kata Lutfil.

Beliau sendiri yang mencipta menu untuk Waffl. Lutfil juga rajin mencari cara untuk memastikan setiap hidangan sesuai dengan cita rasa pelanggan. Beliau bahkan pernah mengembara sejauh Belgium untuk mempelajari 'rahsia' di sebalik wafel yang lembut dan enak.

“Selama enam bulan kami buat penyelidikan dan pembangunan (R&D). Selepas itu baru kami bersedia. Kami hanya menggunakan bahan berkualiti tinggi. Sebagai contoh, untuk menghasilkan wafel yang sedap, kami perlu menggunakan mentega dengan kandungan lemak yang tinggi," jelas Lutfil.
Wafel dijual dengan gelato. (Ihsan: Lutfil Hadi)
Satu lagi hidangan unik di Waffl adalah 'Waffl Burger' yang dicipta selepas pelanggan berkongsi bahawa mereka mahukan hidangan yang lebih 'savoury' (tidak manis).
Makanan yang ditawarkan di Waffl. (Gambar: Lutfil Hadi)
"Biasanya kita lihat wafel dihidangkan dengan ayam goreng. Tapi kita hidangkannya dengan cara ia sama seperti burger," ujar Lutfil.

Ada empat jenis burger yang ditawarkan iaitu, 'Spicy Chicken', 'Kimchi Chicken', 'Smoked Salmon' dan 'Mashed Tuna'. Burger wafel itu dihidangkan dengan kerepek kentang dan dijual pada harga S$11.90.
PENDAPATAN BULANAN LIMA ANGKA

Sama seperti perniagaan lain yang pernah diusahakan Lutfil, Waffl juga tidak memerlukannya mengeluarkan wang daripada kocek sendiri. Strategi perniagaan Lutfil ini terbukti berkesan kerana kafe itu sudah berjaya bertahan selama hampir tiga tahun.

“Alhamdulillah, perniagaan kami semakin rancak sejak tahun kedua beroperasi. Orang lebih tahu kita sebab ramai yang datang ke sini akan bilang kawan-kawan dan keluarga mereka,” kongsi Lutfil yang menambah bahawa 80 peratus pelanggan merupakan pelanggan tetap.

Kru Nadi Kampus juga sempat bertanya seberapa besar keuntungan yang diraih dari Waffl. Lutfil, dengan nada rendah diri menjawab: "Alhamdulillah. Pendapatan bulanan boleh mencecah lima angka."
Sebagai seorang yang sudah menempuh pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan, Lutfil berkongsi beberapa nasihat penting terutama sekali buat golongan belia.

"Masa yang terbaik untuk berniaga adalah apabila anda tidak mempunyai komitmen yang besar dan juga risiko yang rendah. Jangan ingat juga yang perniagaan pertama anda akan selalu berjaya. Anda akan senang berputus asa (jika berfikiran sebegitu). Jadikan ia sebagai pengalaman dan pengajaran," pesan beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan