Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Lumpuh pada usia 20, Fathima Zohra kini perjuangkan hak golongan kurang upaya

Fathima Zohra pernah ditertawakan seorang doktor apabila ditanya bila dia boleh berjalan semula. Kejadian menyinggung itu menjadi pembakar semangat untuknya lantang perjuangkan hak golongan kurang upaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lumpuh pada usia 20, Fathima Zohra kini perjuangkan hak golongan kurang upaya

Fathima Zohra (Gambar: Joyee Koo)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 11:05PM Dikemas Kini : 24 Oct 2021 12:02AM

SINGAPURA: Pada usia 20 tahun, Fathima Zohra merupakan pelajar cergas dan sihat, selain menjadi peragawati sambilan dan pempengaruh media sosial.

Namun, malang tak berbau. Ketika melancong ke India, kereta yang dinaikinya melanggar sebatang pokok, menyebabkan Zohra tercampak dari tempat duduk belakang menembusi tingkap depan.

Kehidupannya berubah dengan sekelip mata.

“Saya menjadi lumpuh dari leher hingga ke kaki. Saya juga mengalami kecederaan ringan pada otak, dan saraf tunjang saya cedera teruk – setiap otot di bawah leher saya lumpuh, bermakna otot yang sepatutnya membantu saya bernafas, turut terjejas,” kongsi wanita berusia 24 tahun itu, yang juga mesra dengan panggilan Zoe Zora.

Berdepan dengan kecederaannya itu benar-benar mengganggu Zohra dari segi "emosi, mental dan fizikal".

"Buat satu masa yang lama, saya benar-benar tidak mahu meneruskan hidup," kongsi Zohra jujur dengan Mediacorp. "Saya tidak kenal lagi siapa saya sebenarya".

DITERTAWA DOKTOR MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT

Pengalaman menjadi orang kurang upaya merupakan sesuatu "yang paling menyayat hati" bagi Zohra.

Namun, semangat juang dalam dirinya membantu Zohra bukan hanya untuk menerima hakikat bahkan mendakapi situasinya.

Pertemuannya dengan seorang pakar ortopaedik yang biadap setahun setengah kemudian menjadi pembakar semangat bagi Zohra untuk membuktikan dia mampu meneruskan kehidupan dengan baik.

Cik Fathima Zohra menjalani rawatan setelah kemalangan. (Gambar: Fathima Zohra)

(Gambar ihsan: Fathima Zohra)

"Ketika itu saya mula rasa yakin diri. Saya sangat gembira kerana semakin pulih. saya bertanya kepadanya bila saya berjalan semula," kongsi Zohra. "Dan anda tahu apa reaksinya? Dia tertawakan saya dan berkata saya angan-angan besar."

Zohra pulang ke rumah lalu menangis.

"Pada masa itu, umur saya baru 21 tahun dan bergitu bermotivasi untuk pulih, tetapi reaksi doktor itu membuat saya begiru sedih. Ia menjejas teruk semangat saya," katanya. "Bukankah seorang doktor sepatutnya membuat saya berasa lebih baik?"

Kejadian itu ternyata menjadi pendorong terbesarnya.

"Ya, mungkin saya tidak lagi boleh berjalan, tetapi itu bukan bermakna saya tidak dapat melakukan apa-apa lagi," katanya. “Ketika itulah saya berjanji kepada diri sendiri bahawa ‘Saya tidak akan membiarkan orang lain menentukan kemampuan saya’ dan saya seorang saja yang menjadi penentunya.

"Ia adalah titik tolak buat saya. (Doktor itu) mungkin pernah berkata demikian. Dan saya suka membuktikan orang lain itu salah," tambahnya sambil tersenyum.

Fathima Zohra. (Gambar: Izwan Ohtman)

(Gambar: Izwan Ohtman)

Sejak itulah bermulanya perjalanan Zohra untuk mengembalikan kecergasannya. Dia memutuskan untuk menjadi anggota gim, jalani lebih banyak fisioterapi dan bertekad menjadi lebih kuat.

Empat tahun selepas kemalangan itu, Zohra kini bekerja sepenuh masa sebagai pengurus program di Runninghour, sebuah koperasi sukan yang mengintegrasikan orang-orang dengan keperluan khas melalui kegiatan larian.

Zohra juga seorang penyokong aktif bagi kesihatan mental yang masih berjaya mencuri masa untuk meneruskan minat sebagai peragawati. Selain itu dia juga mengendalikan akaun Instagramnya (@zoraaax6) yang penuh dengan kapsyen kata-kata semangat, kandungan kecantikan dan perjalanan kecergasannya yang memberi inspirasi kepada ribuan pengikutnya.

Menerusi proses ini, Zohra menemui iltizam dan suara baru.

"Saya begitu lantang mengenai keadaan saya sebagai orang kurang upaya kerana saya mahu orang merasa selesa dengan melihat orang kurang upaya di mana-mana," jelas Zohra. "Anda akan melihat saya di tepi pantai, anda akan melihat saya di restoran. Dan saya melakukan ini dengan harapan masyarakat mula menyantuni orang kurang upaya sebagai sebahagian daripada masyarakat juga. Kerana kita boleh wujud bersama.”

ORANG AWAM KURANG SENSITIF, SENTUH TANPA IZIN

Terdapat kejadian sehari-harian yang mendorong Zohra untuk terus bersuara.

“Saya hidup dengan kekurangan upaya yang sangat ketara. Saya bekerja sepenuh masa dan saya selalu berada di luar di tempat awam. Dan kerana saya menggunakan pengangkutan awam, ia telah menimbulkan banyak soalan daripada orang yang secara tidak diundang mendekati saya bertanyakan apa yang berlaku kepada saya,” jelasnya.

"Tidak ramai yang sedar bahawa soalan peribadi seperti ini bermakna saya akan mengimbau kembali pengalaman traumatik dalam hidup saya. Ia boleh menjejaskan keadaan mental saya walaupun saya sedang gembira ketika itu."

Insiden lain yang sangat menjejasnya termasuk orang yang tidak dikenali datang menyentuh kakinya lalu bertanya sama ada dia boleh merasakan sentuhan.

"Sukar hidup sebagai wanita dalam masyarakat hari ini, tetapi bolehkah anda bayangkan menjadi seorang wanita kurang upaya?" katanya. "Jadi saya memutuskan untuk perjuangkan perwakilan yang lebih baik. Saya tidak mahu mana-mana wanita pernah merasakan seperti yang saya rasakan sebagai seorang wanita kurang upaya.”

Memberi sokongan kepada orang kurang upaya dan mendidik orang ramai untuk menjadi inklusif adalah perjuangan penting buat Zohra, yang diiktiraf dengan Anugerah Enable Goh Chok Tong pada 2019.

Anugerah itu merupakan inisiatif Dana Enable Mediacorp yang mengiktiraf pencapaian orang kurang upaya.

APA PATUT MASYARAKAT LAKUKAN?

“Masyarakat segera bersimpati atau mengasihani kami, tetapi apa yang kita lebih perlukan, pada pandangan saya, hanyalah kata-kata sokongan. Ini membawa kesan besar bagi sesiapa yang mengalami kekurangan upaya, ”katanya kepada Mediacorp pada 2019 setelah menerima penghargaan itu. “Penghargaan ini mengupayakan kami. Kerana dengan ini, kami terdorong untuk mengubah persepsi masyarakat. "

Itulah sebabnya penting bagi Zohra untuk menjadi sebahagian daripada gerakan yang meningkatkan kesedaran tentang ketidakupayaan. Malah, pada September, dia mengambil bahagian dalam aktiviti mengumpul dana bagi Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal (SPD). Acara itu melibatkannya berjalan sejauh 72 kilometer di Singapura dengan menaiki kerusi roda dan Zohra adalah salah satu daripada dua peserta berkerusi roda.

(Gambar: Joyee Koo)

Meskipun menderita sakit kronik dan kesan sampingan daripada ubat-ubatannya, Zohra berkata menyumbangkan suaranya kepada pelbagai badan seperti SPD, Persatuan Distrofi Otot Singapura dan Make The Change mendorongnya untuk terus maju dalam kehidupan.

Jadi, bagaimanakah Singapura dapat mendakapi masyarakat kurang upaya dengan lebih baik?

"Perjuangkan aksesibiliti apabila anda tidak melihatnya. Tanya dan periksa dengan pihak pengurusan, pihak berkuasa kerana ini tidak harus menjadi perjuangan kami (golongan kurang upaya) sahaja," katanya.

“Warga Singapura dapat lebih memahami, lebih bersifat ihsan dan berusaha mendidik diri sendiri dengan mengajukan soalan yang tepat. Pandanglah kami bukan hanya dengan belas kasihan, sebaliknya sebagai orang yang boleh mengecap pencapaian yang sama seperti orang lain.” 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan