Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Lulusan Politeknik SG cipta aplikasi bantu adik autistik berkomunikasi

Anggaran Waktu Membaca:
Lulusan Politeknik SG cipta aplikasi bantu adik autistik berkomunikasi

Ilzymanshah Kamarudin, 21 tahun (kanan), bersama adiknya, Irhamshah Kamarudin, 19 tahun (kiri) dan Ilhanshah Kamarudin, 11 tahun (tengah). (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Gambarkan senario ini. Rasa marah sedang meluap-luap di dada kerana ada yang menyinggung perasaan anda.

Namun ketika jiwa sedang memberontak, tiada kata yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Satu-satunya cara untuk menyampaikan apa yang terbuku dalam hati sekadar kepingan kertas yang mengandungi gambar-gambar.
Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp
Untuk mengatakan "Saya marah kerana ada yang mengambil roti saya" misalnya, anda perlu mengacukan jari telunjuk ke sekurang-kurangnya tiga gambar (muka marah, tangan dan roti) sambil membelek-belek kepingan kertas yang telah disusun menjadi satu.

Inilah hakikat yang dilalui ramai individu autistik seperti Ilhanshah Kamarudin yang tidak berupaya bertutur dengan lancar.

Ilhanshah, 11 tahun, didiagnos dengan gangguan spektrum autisme (ASD) tujuh tahun lalu.
Gambar: Ilzymanshah Kamarudin
Mujur rasa sayang keluarga lapan beranak terhadap si bongsu ini begitu besar sehinggakan dua abangnya, Ilzymanshah Kamarudin, 21 tahun, dan Irhamshah Kamarudin, 19 tahun, ikhtiar untuk menghasilkan satu aplikasi cukup unik.

Fungsi aplikasi itu sama seperti WhatsApp atau Telegram tetapi ia menggunakan gambar dan audio. Aplikasi itu dipanggil @Messenger.

BAGAIMANA @Messenger MEMBANTU?

Ilzymanshah menjelaskan kepada kru Nadi Kampus bahawa "kepingan kertas" yang digunakan adiknya sebelum ini dikenali sebagai alat komunikasi augmentatif dan alternatif (AAC).

Menurutnya, kaedah tersebut semakin tidak berkesan sedang Ilhanshah membesar dan kosa kata yang diketahui tidak semuanya tersedia dalam bentuk gambar.

"Dia punya kosa kata, dia punya bahasa, memang tukar-tukar. Kalau kami mahu tukar buku kecilnya, harus sunting lagi, cetak lagi," terang Ilzymanshah yang merupakan anak ketiga dalam keluarga.

Lulusan Politeknik Singapura itu juga mahu Ilhanshah belajar berdikari dan kekal berhubungan dengan ibu bapa mereka ketika berada di luar.
Ilzymanshah (kiri), Irhamshah (tengah) dan Muhammad Husaini (kanan) mempamerkan aplikasi @Messeger di Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura (Switch) 2024, untuk mendapatkan nasihat daripada pakar industri serta megintai peluang kerjasama bagi aplikasi itu. (Gambar: Ilzymanshah Kamarudin)
Belia itu lantas memanfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman yang diraih daripada pengajiannya dalam Diploma Reka Bentuk Pengalaman Pengguna Berkomunikasi untuk mencipta @Messenger.

Aplikasi tersebut diusahakan Ilzymanshah sejak Jun lalu di bawah syarikat pemulanya, Assistive Technologies. Rakannya, Muhammad Husaini, 21 tahun, turut membantu dalam pembangunan aplikasi.
Ilhanshah pada umumnya boleh menggunakan papan kekunci yang dipenuhi dengan ikon gambar untuk mengirimkan apa yang ingin dikatakan.

Menariknya, mesej itu akan diubah kepada format teks buat si penerima. Apabila penerima membalas dalam bentuk teks pula, Ilhanshah akan menerimanya dalam bentuk ikon gambar ataupun audio.

APP MAHU DISEDIAKAN BUAT KELUARGA SENASIB PADA HARGA RENDAH

Pada awalnya, Ilzymanshah membangunkan aplikasi @Messenger kerana rasa tanggungjawabnya sebagai seorang abang.

Beliau bahkan sanggup membelanjakan ratusan dolar daripada koceknya sendiri untuk membiayai segala kos untuk mencipta aplikasi itu.

"Namun semakin kami menggunakannya, kami nampak ada (potensi) untuk aplikasi ini (dimanfaatkan) keluarga lain, terutama sekali keluarga yang tidak mampu mendapatkan aplikasi dan platform yang mahal sekarang," kata Ilzymanshah yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara.

Ilzymanshah juga mengambil langkah untuk menghuraikan beberapa isu berkaitan akses dan kos.

"Semua aplikasi dalam pasaran sekarang berharga antara S$300 dengan S$400 dan ia (harus dimuat turun ke dalam) iPad, iOS," jelasnya.

Dalam erti kata lain, seseorang itu perlu terdahulu membeli iPad sebelum dapat menggunakan aplikasi sedia ada. Ini sekali gus meningkatkan kos keseluruhan yang perlu ditampung keluarga pengguna.
Maka Ilzymanshah memastikan @Messenger yang dicipta dapat dimuat turun ke dalam semua peranti Android dan iOS. Dengan cara ini, keluarga kurang berkemampuan tidak lagi perlu membelanjakan "kos tambahan".

Di samping itu, @Messenger boleh didapatkan pada harga S$20 setahun atau S$1.99 sebulan. Harga itu jauh lebih rendah berbanding aplikasi-aplikasi AAC sedia ada.

Ditanya sebab harga itu ditetapkan sedemikian rupa, Ilzymanshah menjelaskan: "Kami mahu memberikan peluang kepada ibu bapa untuk mencuba aplikasi kami pada harga yang 'murah' sedikit.

"Jadi kalau anaknya tidak suka, tidak gunakan, boleh batalkan (langganan) dan mereka boleh jimatkan wang itu," katanya.

TERIMA GERAN S$50,000 KEMBANGKAN INOVASI

@Messenger belum lagi dilancarkan atau tersedia buat orang ramai.

Pun begitu, inovasi Ilzymanshah telah berjaya menerima geran berjumlah S$50,000 daripada VentureForGood (VFG) EnergiSE kendalian raiSE.

Geran itu bertujuan menyokong syarikat pemula yang berusaha membawa kesan sosial yang positif.
Inovasi Ilzymanshah telah berjaya menerima geran berjumlah S$50,000 daripada VentureForGood (VFG) EnergiSE kendalian raiSE. (Gambar: Ilzymanshah Kamarudin)

Dengan geran yang diterima, Ilzymanshah dan pasukannya merancang untuk memperhalusi lagi aplikasi mereka agar ia dapat dipasarkan kepada orang ramai.

Aplikasi @Messenger boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Appstore bermula Januari tahun depan.

Ilzymanshah kini menanam harapan untuk bekerjasama dengan sekolah pendidikan khas tempatan pula, seperti Sekolah AWWA dan Sekolah Pathlight, agar aplikasi @Messenger dapat disertakan dalam kurikulum pelajar.

"Harapan saya adalah bagi aplikasi ini digunakan oleh semua orang, bukan sahaja mereka yang kurang upaya, tetapi orang-orang lain pun, untuk berhubung dan berkomunikasi dengan sesiapa yang mungkin mengenali seseorang yang sukar bertutur," kata Ilzymanshah.

"Berikanlah peluang dan alat untuk bertutur dan berkomunikasi dengan mereka."

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan