Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Lulusan Lasalle, Nurul Izzaty, lukis 'live' gambar mempelai di majlis kahwin SG & Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Lulusan Lasalle, Nurul Izzaty, lukis 'live' gambar mempelai di majlis kahwin SG & Malaysia

Cik Nurul Izzaty melukis di majlis perkahwinan. (Gambar: blush_65/Instagram)

SINGAPURA: Pada hari-hari biasa, Nurul Izzaty Mohd Sozali, 28 tahun, melukis pada bangunan-bangunan di Resorts World Sentosa (RWS). Namun pada hujung minggu, beliau melukis di majlis orang kahwin.

Dengan cat minyak dan kanvas, lulusan Lasalle itu bersahaja melukis gambar mempelai di tengah-tengah ramai tetamu yang sering tertanya-tanya: "Apa yang budak ni sedang lakukan di sini?"

Melukis gambar pengantin dan mencuba menyiapkan lukisan itu sebelum majlis berakhir, adalah khidmat 'live painting' yang ditawarkan Cik Izzaty bersama rakan niaganya, Saifullah Zulkifli, 26 tahun.
Ia satu khidmat yang mempelai boleh dapatkan untuk menyerikan lagi atau menyuntik satu keunikan pada majlis masing-masing.

IDEA TERCETUS SEMASA SEDANG RANCANG PERKAHWINAN

Menceritakan kepada kru Nadi Kampus, Encik Saifullah berkata beliau mendapat idea untuk menawarkan khidmat ini ketika sedang merancang perkahwinannya sendiri.

"Waktu itu saya meninjau-ninjau khidmat vendor di Singapura. Ada macam-macam seperti vendor aiskrim, jurugambar, video dan kompang. (Namun) saya mahukan perkara yang sangat unik," kongsi ahli strategi jenama yang juga mesra disapa sebagai Saiful.

"Jadi saya tinjau pula laman luar negara... Apakah yang boleh menjadikan perkahwinan saya unik? Dalam satu senarai, tertulis 'live wedding painting'," tambah beliau.

Percubaan Encik Saiful mencari penyedia Singapura yang menawarkan khidmat melukis untuk mengabadikan detik istimewa di majlis persandingannya, bagaimanapun tidak membuahkan hasil.
Encik Saiful dan Cik Izzaty di majlis perkahwinan klien mereka. 

"Kalau saya dapatkan khidmat ini dari luar negeri, harganya amat mahal... dalam AS$4,000 (S$5,425) hingga AS$6,000 (S$8,140)," cerita Encik Saiful lagi.

Dari situlah timbul idea untuk menawarkan khidmat tersebut di Singapura. Sebagai permulaan, Encik Saiful mencari artis yang ingin bekerjasama dengannya.

"Saya mengirimkan mesej kepada beberapa artis bebas di Singapura menerusi satu laman. Daripada 12 orang, Izzaty menyahut cabaran untuk menjalankan perniagaan ini (bersama saya) seperti sekarang," katanya lagi.

Perniagaan yang mereka mulakan dinamakan "Blush65".
"Ia sangat unik. Pada saya, kalau orang belum pernah cuba, bagus buat kita sebagai seorang yang kreatif, mencuba atau meneroka idea-idea baharu," ulas Cik Izzaty.

AWALNYA SEGAN TAPI JADI LEBIH YAKIN DIRI

Pada 2021, Cik Izzaty melukis di majlis perkahwinan pertamanya. Ia satu pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan sehingga sekarang kerana tidak pernah menyangka dirinya berani berbuat demikian.

"Saya memang seorang jenis yang pemalu. Jadi bila cakap pasal orang ramai ni saya memang menggeletar, apa lagi melukis depan orang ramai," luah beliau.

"Pengalaman pertama membuat 'live painting' adalah majlis pasangan Cina. Kami tidak tahu apa yang perlu dijangkakan. Jadi saya sekadar melukis apa yang saya lihat. Ia mencabar kerana saya tidak boleh fokus dan saya rasa sangat gementar kerana saya berasa orang ramai sedang melihat saya."
Diam tak diam, Cik Izzaty sudah melukis di 15 majlis merata Singapura dan bahkan, sejauh Selangor di Malaysia.

Beliau akur dirinya "masih pemalu" tetapi ini caranya untuk terus 'tidak kisah' menjadi tumpuan di majlis perkahwinan:

"Saya yakinkan diri bahawa saya melakukan ini untuk klien. Kalau ada yang melihat saya, ia satu perkara yang baik. Mereka bukannya menghakimi saya dan kalau mereka berbuat begitu pun, saya akan mencuba untuk tidak menghiraukannya."

Cik Izzaty juga berkongsi, minatnya terhadap seni mula berputik sejak kecil dan sumber inspirasinya pula ialah ibunya sendiri.
Cik Izzaty bersama ibunya. 

"Ibu sayalah yang mendekatkan saya dengan dunia seni… Ibu saya dia pandai menjahit and dia pun pandai melukis, terutama sekali potret. Saya rasa saya mewarisi darah seninya," seloroh Cik Izzaty.

MEMASARKAN PERNIAGAAN TIDAK MUDAH

Lumrah orang berniaga pasti berdepan cabaran. Bagi Encik Saiful dan Cik Izzaty, salah satunya adalah meyakinkan para mempelai untuk mendapatkan khidmat mereka.

"Amat susah sekali sebab mereka lebih biasa mendengar tentang khidmat-khidmat yang konvensional," kata Encik Saiful sambil merujuk kepada khidmat kompang, aiskrim dan sebagainya.

"Dalam sepuluh orang pasangan, hanya satu atau dua yang akan berkata: Okay saya inginkan 'live wedding painting ini'. Lapan yang lain macam... hmm bolehkah ini membuat perkahwinan saya amat gah? Mereka nak cuba apa yang kawan-kawan mereka telah buat."
Para tetamu Melayu juga, kata Cik Izzaty, nampaknya masih belum begitu tahu tentang kewujudan khidmat ini.

"Kadang-kadang mereka tanya apa yang sedang saya lakukan. Maka itu saya rasa penting untuk saya menghabiskan lukisan di majlis agar tetamu dapat mengagumi lukisan itu," jelas Cik Izzaty.

HARGA KHIDMAT IZZATY & SAIFUL

Kini anda sudah tahu tentang khidmat melukis secara langsung di majlis perkahwinan. Yang bermain di fikiran sekarang tentunya: Berapa harga yang perlu dibayar untuk khidmat Blush65?

Encik Saiful menjelaskan kepada Nadi Kampus, khidmatnya ditawarkan pada harga antara S$900 hingga S$5,000 kerana ia bergantung kepada banyak faktor.

"Salah satu faktornya adalah saiz canvas - kecil, sedang, besar, atau besar sekali. Lagi satu faktor adalah berapa banyak figura manusia ada di dalam lukisan itu," terang Cik Saiful.

"Kadang-kadang klien kami, mereka mahu 'letak' anggota keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik. Kadang-kadang mereka mahu letak haiwan peliharaan seperti kucing."
Menurut Cik Izzaty, beliau lazimnya dapat menyiapkan 90 peratus lukisan sebelum majlis berakhir. Beliau kemudian akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk memperkemas lukisannya sebelum ia dapat diserahkan kepada mempelai.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan