Lulusan Duke-NUS Abu Bakar Othman ingin guna kemahiran kejuruteraan & perubatan jadikan sistem kesihatan lebih baik
Abu Bakar Othman (ketiga dari kiri), merupakan antara 121 lulusan Sekolah Perubatan Duke-NUS, yang diraikan dalam satu majlis di Academia, yang terletak di Kampus Hospital Besar Singapura (SGH) pada Mei lalu. (Gambar: yumiayummi/Instagram, Abu Bakar Othman)
- Dengan memanfaatkan asas kukuh dalam kejuruteraan, Abu Bakar Othman berhasrat untuk menjadi seorang doktor perubatan — bukan sahaja mampu merawat pesakit, tetapi juga melakarkan huraian inovatif bagi memperhalusi sistem jagaan kesihatan agar dapat memberi manfaat yang lebih meluas kepada masyarakat setempat.
- Abu Bakar, 28 tahun, merupakan antara 121 lulusan Sekolah Perubatan Duke-NUS, yang baru saja diraikan dalam satu majlis di Academia, yang terletak di Kampus Hospital Besar Singapura (SGH) pada Mei lalu.
- Abu Bakar memilih untuk menelusuri bidang Nefrologi Intervensi, khususnya dalam usaha memantau fistula arteriovenous (AV fistula) — saluran darah khas yang digunakan dalam rawatan dialisis — menggunakan teknologi ultrabunyi.
- Sebagai individu yang menempuh laluan unik dalam melangkah masuk ke dunia perubatan, Abu Bakar menasihatkan mereka yang berminat agar mendapatkan pendedahan awal, baik menerusi kegiatan kesukarelawanan mahupun menerusi latihan pemerhatian kerjaya doktor secara langsung ('shadowing').
Sejak awal lagi, beliau menyimpan impian yang lebih besar!
Dengan memanfaatkan asas kukuh dalam kejuruteraan, beliau berhasrat untuk menjadi seorang doktor perubatan — bukan sahaja mampu merawat pesakit, tetapi juga melakarkan huraian inovatif bagi memperhalusi sistem jagaan kesihatan agar dapat memberi manfaat yang lebih meluas kepada masyarakat setempat.
Kini, impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Sudah genap sebulan, Abu Bakar bergelar seorang doktor di SingHealth.
Abu Bakar, 28 tahun, merupakan antara 121 lulusan Sekolah Perubatan Duke-NUS, yang baru saja diraikan dalam satu majlis di Academia, yang terletak di Kampus Hospital Besar Singapura (SGH) pada Mei lalu.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.
Abu Bakar, bahkan juga daripada kohort sulung yang lulus di bawah program laluan kemasukan bersyarat bersama NUS dan SUTD.
Program khas, yang dikenali sebagai 'SUTD-Duke-NUS Special Track', mula diperkenalkan kepada kohort SUTD yang memulakan pengajian pada tahun 2018. Ia bermatlamat untuk melahirkan doktor yang bukan sahaja mahir dalam amalan perubatan, tetapi juga mampu memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan mutu sistem jagaan kesihatan.
Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama antara SUTD dan Sekolah Perubatan Duke-NUS.
Beliau menamatkan pengajiannya dengan ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Pembangunan Produk pada 2021 selepas tiga setengah tahun. Kemudian, beliau menyambung pengajian perubatannya selama empat tahun di Duke-NUS. Laluan tersebut sudahpun ditetapkan sebaik sahaja beliau diterima masuk ke SUTD berdasarkan keputusan pra-universitinya.
Ditanya mengapa beliau lebih cenderung kepada laluan tersebut berbanding kemasukan langsung ke sekolah perubatan, Abu Bakar berkongsi:
"Saya rasa bidang kejuruteraan membolehkan saya memperluaskan kemahiran saya dan memberi saya peluang untuk meneroka potensi teknologi dalam mencipta inovasi dalam bidang perubatan."
"Ia pasti telah memberi saya latar belakang analitis yang baik yang diperlukan dalam bidang perubatan," tambahnya.
SUKAR IMBANGI MASA BERSAMA KELUARGA DAN PELAJARAN
Mengimbas kembali perjalanannya menuntut di sekolah perubatan itu, Abu Bakar akur bahawa tahap intensiti pengajian di Duke-NUS jauh berbeza berbanding ketika di SUTD.
"Secara peribadi, meluangkan masa bermutu bersama rakan-rakan dan keluarga mencabar pada mulanya, dan kadang-kadang sehingga membuat saya rasa terasing," luahnya.
Mengutamakan hubungan erat bersama keluarga serta rakan-rakannya, Abu Bakar sedar beliau perlu mengorak langkah mengatur masa dengan lebih bijak untuk memastikan beliau dapat fokus terhadap pelajarannya tanpa mengabaikan tulang belakangnya.
Sebagai sebahagian daripada keperluan kurikulum di Duke-NUS, setiap pelajar dikehendaki melakukan tesis penyelidikan selama lapan bulan.
Abu Bakar memilih untuk menelusuri bidang Nefrologi Intervensi, khususnya dalam usaha memantau fistula arteriovenous (AV fistula) — saluran darah khas yang digunakan dalam rawatan dialisis — menggunakan teknologi ultrabunyi.
RANCANGAN SETERUSNYA?
Meskipun beliau baru saja memulakan tugasnya sebagai doktor perubatan, Abu Bakar tidak menolak kemungkinan untuk mendalami bidang-bidang khusus yang lebih bersifat prosedural.
“Saya masih meneroka, tetapi saya cenderung ke arah bidang seperti Perubatan Kecemasan atau Radiologi Intervensi kerana melihat pesakit pulih dengan drastik amat memuaskan," ujarnya.
Sebagai individu yang menempuh laluan unik dalam melangkah masuk ke dunia perubatan, Abu Bakar menasihatkan mereka yang berminat agar mendapatkan pendedahan awal, baik menerusi kegiatan kesukarelawanan mahupun menerusi latihan pemerhatian kerjaya doktor secara langsung ('shadowing').
Tambah beliau, dalam dunia perubatan yang sentiasa berubah dan berkembang pesat, sikap ingin belajar sepanjang hayat juga adalah sangat penting.
"(Bidang perubatan ini) sangat berkait rapat dengan kehidupan orang lain, jadi seseorang perlu komited untuk berkhidmat dan berinteraksi," jelas Abu Bakar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.