Skip to main content

Nadi Kampus

Lebih 170 pelajar IHL ganding bahu jayakan Rentak Budaya, saji persembahan sarat nilai tradisi

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 170 pelajar IHL ganding bahu jayakan Rentak Budaya, saji persembahan sarat nilai tradisi

Persembahan dikir barat ini antara yang disajikan di acara Rentak Budaya, yang berlangsung di Wisma Geylang Serai pada Ahad (6 Julai). (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Lebih 170 pelajar daripada sekitar 10 Institut Pengajian Tinggi (IHL) — termasuk universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) setempat — menjayakan acara Rentak Budaya.

Ia berlangsung pada Ahad (6 Julai) di Wisma Geylang Serai dan dibuka kepada orang ramai.

Acara dwitahunan anjuran Persatuan Bahasa Melayu (Perbayu) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu bertujuan untuk meraikan dan menghidupkan kembali nilai-nilai budaya Melayu dalam kalangan belia, selaras dengan tema tahun ini, "Telatah Nenek Moyang".

Rentak Budaya kali ini mengetengahkan nilai tradisi seperti pantang larang dan peribahasa Melayu, yang meskipun berakar dalam masyarakat lampau, tetap relevan dalam kehidupan seharian hari ini — bak kata pepatah, yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Ketua Rentak Budaya Nazifah Mursyidah merupakan mahasiswa Tahun 3 di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dalam jurusan Pengajian Melayu dan Pendidikan. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Mengulas lanjut pemilihan tema tersebut bagi acara kali ini, ketua Rentak Budaya Nazifah Mursyidah berkata:

"Objektif utamanya ialah untuk menyatukan generasi dahulu dengan generasi muda sekarang agar mereka dapat faham bahawa kami semua hidup dalam satu warisan, iaitu warisan nenek moyang kita."

Orang ramai dihiburkan dengan persembahan silat ini, yang dijayakan para pelajar dari beberapa IHL setempat. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)

Daripada tarian, dikir barat sehinggalah silat, pelbagai persembahan disajikan oleh para pelajar, di acara Rentak Budaya, berteraskan tema tersebut.


 
Astaka ini antara yang didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai menyelami aspek seni warisan Melayu termasuk tulisan jawi dan peribahasa. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Selain itu, beberapa astaka turut didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai menyelami aspek seni warisan Melayu termasuk tulisan jawi dan peribahasa.

Antara mereka yang mencurahkan tenaga dan bakat untuk menjayakan acara tersebut, termasuk Rynie Afiqah Roslan, yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam jurusan teknologi makanan.



 
Rynie Afiqah Roslan, yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di Institut Teknologi Singapura (SIT), menjayakan persembahan tarian tradisional Inang dan Joget, bersama 13 pelajar lain dari SIT, NUS dan NTU di acara Rentak Budaya itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Bagi penyertaan sulungnya dalam acara Rentak Budaya, Rynie menjayakan persembahan tarian tradisional Inang dan Joget, bersama 13 pelajar lain dari SIT, NUS dan NTU.

"(Apa) yang menarik bagi saya ialah saya dapat berkenalan dengan pelajar-pelajar baharu daripada sekolah, universiti yang lain dan juga bekerjasama dengan mereka untuk acara ini. Acara ini membenarkan kami untuk pamerkan kepada masyarakat bahawa belia masih berminat dalam warisan budaya Melayu," jelasnya kepada BERITA Mediacorp.

Suasana di sekitar Wisma Geylang Serai ketika berlangsungnya acara Rentak Budaya. (Gambar: Fatyn Abdul Samad/BERITA Mediacorp)

Setelah genap 10 bulan menggembleng tenaga untuk menjayakan acara Rentak Budaya, Nazifah — mahasiswa Tahun 3 di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dalam jurusan Pengajian Melayu dan Pendidikan —berkongsi harapan jawatankuasanya dengan penganjuran acara itu.

"Kami ingin merapatkan jurang generasi antara yang muda dengan yang tua dan ini diserlahkan dalam tema telatah nenek moyang. Dan juga kami merasakan bahawa penting bagi generasi muda untuk kenal pasti akan nilai warisan nenek moyang kita," luah Nazifah.

RAHAYU MAHZAM PUJI USAHA BELIA SEBAGAI PELAPIS PENTING WARISAN BUDAYA MELAYU

Acara Rentak Budaya juga diserikan dengan kehadiran Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam, selaku tetamu kehormat.

Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam, menghadiri acara Rentak Budaya itu, selaku tetamu kehormat. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Cik Rahayu melahirkan rasa bangga terhadap usaha belia daripada pelbagai latar belakang bersatu, menggembleng tenaga untuk menonjolkan bakat mereka sambil memartabatkan seni warisan Melayu.

"Ada generasi pelapis yang berani mendukung dan cinta kepada bahasa dan budaya kita. Saya rasa ini amat memberangsangkan memberi kita harapan agar terpelihara warisan kita pada masa akan datang," ujar Cik Rahayu.

Ditanya sebab penganjuran acara sedemikian penting bagi generasi muda, Cik Rahayu berkata:

"Ini penting kerana perlu ada landasan atau ruang untuk anak-anak muda kita berkumpul, mencapai satu matlamat yang sama iaitu untuk mempamerkan budaya dan bahasa kita.

"Saya rasa juga penting untuk kita menggunakan idea dan kreativiti mereka untuk mengadakan sesuatu yang lebih segar, sesuatu yang bersesuaian dengan generasi dan zaman ini," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita