Kata-kata ibu bakar semangat Mohammad Helmi harungi cabaran kewangan keluarga
Meski keluarganya pernah perlu bergantung pada ihsan orang lain, mahasiswa bernama Mohammad Helmi ini cemerlang dalam pelajaran, kini seorang intern di syarikat gergasi Apple. Apakah rahsianya?

Encik Mohammad Helmi jadikan kata-kata ibunya sebagai pembakar semangat harungi segala dugaan (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Bagi Mohammad Helmi, 24 tahun, masalah kewangan yang dihadapi semasa beliau kecil membentuk beliau menjadi seorang yang berdaya bingkas dengan iltizam kuat untuk mencorak hidup yang lebih baik buat dirinya sendiri dan keluarga.
Beliau masih ingat semasa zaman sekolah rendah, flat tiga bilik yang didiaminya bersama ibu bapa dan tiga adik, kadangkala diselubungi kegelapan kerana mereka lewat membayar bil elektrik.
Lampu koridor yang masuk dari pintu rumah menjadi sinar harapan untuk membolehkan Helmi belajar.
"Keadaan ini menyedarkan saya akan perlunya pengorbanan untuk hidup. Kadangkala kami hanya boleh makan nasi dan barang yang tahan lama seperti telur atau daging diproses," kongsi penuntut tahun akhir jurusan perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu kepada Mediacorp.
Perpustakaan-perpustakaan awam menjadi 'port' bagi Helmi yang akhirnya gemar membaca sebagai kegiatan selepas sekolah.
Malah keadaan kewangan keluarganya begitu serba kekurangan sehingga beliau tidak dibenarkan membawa pulang sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sehinggalah semua yuran sekolah yang tertunggak, dilangsaikan. Hanya slip keputusan diberikan kepadanya. Akhirnya Helmi mendapat sijil peperiksaannya beberapa minggu kemudian selepas yurannya dilunaskan.
Semua itu bagaimanapun tidak menghalang Helmi daripada mencatat prestasi baik semasa peperiksaan GCE O dan mendapat tempat di Politeknik Temasek.
Demi meringankan beban keluarga, beliau bekerja sambilan sehingga empat kali seminggu di sebuah restoran, selepas kuliah.
Helmi membawa pulang sehingga S$700 sebulan sewaktu penggal sekolah dan S$1,000 semasa waktu cuti untuk membiaya wang tambang pengangkutannya. Beliau turut memberikan sekitar 30 peratus pendapatannya kepada keluarga.
IBU TERPAKSA 'MEMINTA' SUPAYA KELUARGA DAPAT MAKAN
Ibu Helmi sering menyuarakan harapan agar anaknya itu berjaya, bukan demi ibunya, tapi demi masa depan anak itu sendiri. Ini dijadikan pembakar semangat buat Helmi.
"Beliau (ibu) tidak mahu kita lalui apa yang beliau lalui... Ini menjadi pedoman agar saya terus menumpukan kepada apa yang saya ingin capai dalam hidup ini."
Kadang-kadang apabila terlalu terdesak, ibunya terpaksa mengharapkan sumbangan ihsan barang dapur dari pemilik kedai-kedai berdekatan.
"Ini yang mendorong saya (untuk berjaya), jadi ibu tidak perlu lagi meminta-minta daripada orang lain... Saya mahu merubah hidup ibu," kongsi Encik Helmi.
MANFAATKAN PSEA, PROGRAM RANGKAIAN
Meskipun bersyukur dengan apa yang beliau ada, Helmi kadang-kadang terlepas peluang di universiti seperti misi belajar di luar negara kerana masalah kewangan.
Menurutnya, walaupun pihak sekolah menghulurkan bantuan bagi pelajar yang layak, mereka perlu membuat bayaran dahulu sebelum dibayar balik oleh pihak sekolah.

Namun, ini tidak bermakna Helmi terlepas semua peluang.
Dengan manfaatkan sumber sedia ada seperti geran bantuan universiti dan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) - yang membantu ibu bapa menabung bagi pembelajaran anak mereka pasca sekolah menengah - belia Melayu bersemangat ini dapat menyertai misi-misi kemasyarakatan luar negara dan sebuah program pertukaran pembelajaran di Universiti Inha, Korea Selatan.
Dua tahun lalu, Helmi juga menyertai MentorsHub, sebuah daya usaha yang memadankan karyawan unggul dengan para mahasiswa, terutamanya yang datang daripada keluarga susah atau ibu bapa tunggal.
"Jika anda ada rangkaian yang baik, (dihubungkan dengan) orang yang kenal orang (penting), lebih mudah untuk mencapai kejayaan," kata Encik Helmi.
"Peluang tidak akan datang bergolek; anda perlu keluar mencarinya dan dengan mengenali lebih ramai orang memberi anda lebih banyak peluang."
'INTERNSHIP' BERSAMA SYARIKAT APPLE
Mentor beliau, ketua operasi Bursa Saham Singapura (SGX) Jarod Ong, membantu beliau mengenal pasti bidang-bidang tumpuan yang seharusnya dan menggalakkan beliau mencuba bidang-bidang baru.
Ini mendorong Helmi memohon dan kemudian mendapat peluang latihan amali atau 'internship' bersama pasukan logistik syarikat Apple di Singapura.

Syarikat itu memberi beliau peluang untuk menajamkan kemahiran penyelesaian masalah dan pengurusan. Helmi juga diberi peluang membentangkan idea-idea kepada pihak-pihak berkepentingan seperti rakan kerjasama Apple di rantau ini.
Sebahagian huraian yang dicadangkannya diterima pakai dan sebahagian yang lain akan dilaksanakan di hujung tempoh latihan amali beliau itu.
Helmi bercita-cita untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa di syarikat itu atau di syarikat antarabangsa lain seperti Procter & Gamble dan Unilever apabila beliau tamat pendidikan tahun hadapan.
Menurut beliau, pencapaiannya sejauh ini adalah berkat daripada apa yang dilalui semasa kecil dahulu.
"Saya tidak berasa ketinggalan, sebaliknya saya bersyukur kerana apa yang berlaku pada masa itu tidak menghambat perjalanan saya," kongsi beliau.
"Kita tidak seharusnya melihat peluang orang lain dan merungut, sebaliknya cuba perbaiki peluang diri sendiri."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.