Jururawat jaga datuk cetus inspirasi Nur Afrah Mohamed sertai bidang kejururawatan
SINGAPURA: Ketika saya berusia 19 tahun, keluarga saya dikejutkan dengan berita bahawa datuk saya jatuh sakit akibat masalah buah pinggang gagal tahap akhir.
Ini menyebabkan datuk perlu dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan yang sepatutnya. Sepanjang waktu itu, saya dan keluarga melihat sendiri keprihatinan dan rasa belas ihsan yang diberikan jururawat kepada datuk.
Tanpa dijangka, ini kemudiannya membuat saya tergerak hati untuk menyertai bidang kejururawatan.
Beberapa tahun sudah berlalu sejak kejadian itu. Kini, pada usia 37 tahun, saya bertugas sebagai jururawat kakitangan kanan di dewan bedah utama (Major Operating Theatre - MOT) di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Di MOT, saya menggalas tanggungjawab menjadualkan kes bedah elektif dan kecemasan yang ada bagi pesakit. Ini termasuk melakukan pemeriksaan sebelum pembedahan, mengenal pasti pesakit yang betul dan prosedur yang sesuai, menyemak persetujuan pembedahan pesakit, lokasi pembedahan serta mengetengahkan sebarang alahan atau langkah berjaga-jaga yang mungkin ada pada pesakit.
Pada awalnya, saya juga sudah menjalani latihan dalam pelbagai disiplin di MOT. Sebagai contoh, saya mempunyai pengetahuan dan juga kemahiran sebagai jururawat pemulihan dan jururawat anestesia, dan ini membolehkan saya untuk mengambil peranan tambahan di MOT sekiranya perlu.
Selain daripada melaksanakan tanggungjawab profesional, saya juga merupakan seorang yang komited dan sejak di bangku sekolah lagi, mempunyai keinginan yang tinggi untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran. Sama seperti industri yang lain, setiap sijil pencapaian merupakan batu loncatan yang membolehkan seseorang itu memperkukuhkan lagi prospek kerjaya mereka.
Komitmen saya kepada pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja merupakan aspirasi peribadi, tetapi juga keperluan dalam industri jagaan kesihatan yang dinamik dan mencabar.
Oleh itu, dua tahun lepas, saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian dan mengambil ijazah Kejururawatan dari Universiti Northumbria di Kaplan. Keputusan ini sudah meningkatkan kefahaman saya tentang penjagaan pesakit, mengasah kemahiran teknikal saya dan memperkukuh keupayaan kepimpinan saya.
Sebagai contoh, modul “Undang-undang dan Etika dalam Penjagaan Kesihatan” yang saya ambil melengkapkan saya dengan keupayaan untuk mengemudi dilema etika yang kompleks dalam penjagaan kesihatan sambil memastikan saya mengutamakan kebajikan pesakit dan autonomi dalam keputusan profesional saya.
Sememangnya, walaupun bidang kejururawatan amat memuaskan, ia juga datang dengan pelbagai cabaran. Ada kalanya, saya perlu berhadapan dengan pesakit dan waris yang mencabar di tempat kerja dan ini memerlukan saya untuk berfikir secara kritis cara terbaik untuk menyelesaikan cabaran yang sedang dihadapi.
Pada masa yang lain, saya perlu bersedia untuk membantu menenangkan emosi pesakit yang mungkin merasa bimbang atau takut sebelum menjalani pembedahan. Setiap kali ini terjadi, saya akan menawarkan untuk memegang tangan pesakit apabila mereka dibawa masuk ke dewan bedah. Ia mungkin kelihatan seperti satu tindakan kecil, tetapi tindakan-tindakan inilah yang sering dihargai oleh pesakit yang bergantung kepada jururawat pada waktu mereka tiada sesiapa untuk berpaling.
Selain daripada itu, kemajuan teknologi juga merupakan salah satu cabaran di tempat kerja. Oleh kerana itu, saya perlu senantiasa memastikan bahawa saya mengikuti perkembangan terkini supaya dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
Memandangkan saya di penghujung program ini, saya berharap dengan ijazah yang bakal diraih, saya dapat memberi impak positif kepada kesihatan pesakit secara berterusan melalui penyediaan penjagaan yang berdasarkan bukti. Matlamat sebenar saya adalah untuk mencapai jawatan kepimpinan sebagai seorang Pendidik Klinikal, dan menjadi contoh teladan kepada kedua anak perempuan saya bahawa ia tidak pernah terlambat untuk meneruskan pembelajaran.
Kepada mereka yang sedang mempertimbangkan keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, nasihat saya adalah untuk mencari program yang fleksibel supaya anda dapat mengimbangi pelbagai tanggungjawab yang anda miliki, sama ada dalam kehidupan profesional mahupun peribadi.
Akhir sekali, pastikan anda mempunyai sistem sokongan yang kuat dan buat perancangan kewangan dengan baik.
CETUSAN ILHAM:
Nur Afrah Mohamed, lulusan Akademi Pengajian Tinggi Kaplan di Universiti Northumbria dalam jurusan Sains Kejururawatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.