Jual pelekat hidung senang nafas, Therapin milik belia 23 tahun ini berjaya tembusi pasaran Indonesia
(Dari kiri) Dua rakan berusia 23 tahun ini, Mohd Khai Irfan dan Cliff Leck menubuhkan jenama Therapin, yang khususnya menjual "nasal strip". (Gambar: Therapin)
- Sewaktu menyaksikan perlumbaan itu, Cliff Leck dan Mohd Khai Irfan perasan ‘nasal strip’, iaitu sekeping pelekat kecil dipasang pada hidung kuda-kuda tersebut.
- Berbekalkan keyakinan pasaran Singapura masih terbuka luas untuk produk itu, dua rakan berusia 23 tahun itu menubuhkan jenama Therapin, yang khususnya menjual "nasal strip".
- Memulakan jenama sendiri bukanlah tugas yang mudah, terutama bagi anak muda tanpa sebarang pengalaman perniagaan seperti Cliff dan Irfan.
- Memasuki tahun kedua pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan perniagaan, Irfan akur bahawa ia sukar untuk mengimbangi tuntutan perniagaan Therapin dan pelajarannya.
SINGAPURA: Siapa sangka sekadar menonton lumba kuda boleh mencetuskan idea untuk memulakan satu perniagaan?
Sewaktu menyaksikan perlumbaan itu, Cliff Leck dan Mohd Khai Irfan perasan ‘nasal strip’, iaitu sekeping pelekat kecil dipasang pada hidung kuda-kuda tersebut.
Bukan hiasan semata-mata, pelekat tersebut sebenarnya berfungsi melancarkan pernafasan dan menambah baik prestasi haiwan itu ketika berlumba.
Mereka sedar bahawa "nasal strip" bukanlah suatu produk yang baharu.
Ia sudah lama digunakan manusia untuk melegakan pernafasan, mengurangkan dengkur, malah popular dalam kalangan atlet-atlet antarabangsa ketika beraksi.
Berbekalkan keyakinan pasaran Singapura masih terbuka luas untuk produk itu, dua rakan berusia 23 tahun itu menubuhkan jenama Therapin, yang khususnya menjual "nasal strip".
Genap setahun sejak bertapaknya Therapin, ia sudah meraih pendapatan mencecah enam angka setiap bulan.
Bahkan, Therapin sudah berjaya menembusi pasaran Indonesia.
MULAKAN THERAPIN DENGAN MODAL S$10,000, HASIL SIMPANAN SENDIRI
Memulakan jenama sendiri bukanlah tugas yang mudah, terutama bagi anak muda tanpa sebarang pengalaman perniagaan seperti Cliff dan Irfan.
Mereka bagaimanapun membuktikan tiada yang mustahil, selagi ada semangat membara dan kegigihan.
Mereka memulakan perniagaan Therapin, hanya dengan modal S$10,000, hasil daripada tabungan masing-masing, termasuk pendapatan bekerja sebagai pemandu di syarikat logistik Lalamove.
Modal itu digunakan antaranya untuk menampung perbelanjaan untuk menguji produk dan menjalankan kempen pemasaran.
Ditanya apa kelainan yang ditampilkan dalam produk "nasal strip" keluaran Therapin, Irfan berkongsi:
"Kita perhalusi sejauh mana ia tahan melekat, bentuk dan bahannya agar ia selesa untuk orang ramai gunakan baik untuk bersukan mahupun tidur."
Sepanjang kira-kira tiga bulan, mereka menghasilkan tujuh prototaip sebelum akhirnya berpuas hati dengan mutunya.
"Ramai orang masih belum tahu tentang produk ini, meski ia wujud di pasaran lain seperti Amerika Syarikat. Jadi, kami melabur banyak dalam bengkel - bukan sahaja tentang produk kami, tetapi (pupuk pengetahuan untuk) bernafas dengan lebih baik dalam cuaca lembap ini dan bahawa pernafasan melalui hidung lebih bermanfaat daripada pernafasan dari mulut," ujar Irfan.
Mereka sasarkan produk "nasal strip" itu bukan sahaja untuk atlet, tetapi sesiapa sahaja yang aktif bersenam dan ingin memperbaiki pernafasan sewaktu tidur.
Untuk memperhalusi mutu produk mereka sebelum pelancarannya, mereka memanfaatkan acara HYROX 2024 untuk menguji cuba produk tersebut.
"HYROX ialah platform besar, dipenuhi ramai atlet. Jadi, memang adalah peluang terbaik untuk cuba. Kami rasa, jika pelekat ini boleh lekat sepanjang senaman mereka, pasti anda boleh guna di mana-mana dan pada bila-bila masa," jelas Khai Irfan kepada BERITA Mediacorp.
Sejak dilancarkan pada September 2024, kira-kira 10,000 pek "nasal strip" sudahpun dijual menerusi wadah onlinenya.
Ia dijual pada harga S$34, dengan jumlah pelekat cukup untuk digunakan selama 30 hari.
Selain "nasal strip", Therapin meluaskan tawarannya dengan menawarkan juga produk pita mulut (atau "mouth tape").
Ia berfungsi mengurangkan berdengkur ketika tidur, meningkatkan pengambilan oksigen dan bahkan mencegah mulut kering atau sakit tekak pada waktu pagi.
PILIH INDONESIA UNTUK KEMBANGKAN PERNIAGAAN SEBAB ....
Selepas kira-kira tiga bulan bertapak di sini, Therapin melebarkan sayapnya ke Indonesia.
Mengulas sebab Indonesia dipilih sebagai destinasi untuk mengembangkan perniagaan mereka, Irfan menjelaskan:
"Kami rasa yang pasaran (di Indonesia) lebih besar daripada Singapura dan orang di sana kurang sensitif pada harga."
Sebagai langkah permulaan menembusi pasaran Indonesia, mereka cuba mendapat maklum balas di acara Siksorogo Lawu Ultra, iaitu acara larian di sekitar Gunung Lawu, di sempadan Jawa Tengah dan Jawa Timur.
"Kira-kira ribuan orang datang dan mencuba. Kebanyakan beri reaksi positif. Dari situlah kami ambil keputusan untuk jual di sana dan bentangkan idea-idea kami kepada pelabur yang berbeza," ujar Irfan.
Therapin mula dijual di Indonesia pada Disember 2024, di wadah Shopee dan Tokopedia.
AKUR PENTING IMBANGI PELAJARAN, MESKI SIBUK KENDALI PERNIAGAAN THERAPIN
Memasuki tahun kedua pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan perniagaan, Irfan akur bahawa ia sukar untuk mengimbangi tuntutan perniagaan Therapin dan pelajarannya.
Irfan bertanggungjawab atas aspek pemasaran perniagaan Therapin, manakala Cliff pula mengurus bahagian operasi dan logistik.
Sokongan keluarga bagaimanapun jadi tulang belakang Irfan untuk terus mengejar impiannya.
"(Keluarga saya) sangat menyokong terutamanya, ibu dan bapa saya. Mereka mahu saya fokus kepada perniagaan dan juga, dalam pelajaran saya. Kedua-duanya amat penting bagi hala tuju saya ke arah kejayaan," luah anak bongsu dalam empat adik-beradik itu.
Beliau sempat berkongsi bagaimana bapanya, pelakon, pengarah dan hos televisyen, Khairudin Samsuddin, memberi dorongan kepadanya.
Menurut Irfan, bapanya itu rajin kongsi ilmu pemasaran dan ada kalanya muncul di media sosial Therapin untuk mempromosikan produk anaknya.
Mengongsi rancangan seterusnya bagi Therapin, genap setahun ia bertapak, Irfan dan Cliff berhasrat memperluas tawaran produk keluaran Therapin demi menjadikannya jenama kesihatan dan kesejahteraan tempatan yang semakin dikenali ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.