Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Isu kesihatan mental kian meluas dalam kalangan anak muda, adakah belia cukup peka?

Anggaran Waktu Membaca:
Isu kesihatan mental kian meluas dalam kalangan anak muda, adakah belia cukup peka?

(Gambar hiasan: iStock)

BERITAmediacorp: Isu kesihatan mental kian menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan belia hari ini.

Hasil beberapa tinjauan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa sejumlah anak muda masih bergelut dengan isu kesihatan mental, meskipun kehidupan sudah mula kembali seperti biasa secara beransur-ansur di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Tinjauan Belia TODAY 2022 misalnya, mendapati lebih sepertiga daripada belia yang ditinjau akur bahawa mereka lebih mudah terjejas dari segi mental dalam tempoh tiga bulan lalu. Yang menariknya, keresahan berkaitan COVID-19 tidak lagi menjadi faktor utama. Jadi, apakah yang menjadi punca?

Selain itu, dengan masalah kesihatan mental semakin meluas dalam kalangan belia, timbul persoalan sama ada belia cukup peka dengan isu kesihatan mental yang membelenggu diri mereka?

SEKITARAN PUNCA UTAMA BELIA TERDEDAH ISU KESIHATAN MENTAL

“Tekanan mental boleh datang dari mana-mana. Oleh itu, ia adalah salah untuk masih menganggap bahawa isu kesihatan mental itu berpunca daripada kelemahan dan kurang kesungguhan dalam diri seseorang itu untuk menanganinya sedangkan persekitaran adalah antara punca utama belia terdedah kepada isu kesihatan mental,” jelas Cik Nazurah Supari, seorang kaunselor dengan lima tahun pengalaman memberi khidmat kaunseling berhubung isu kesihatan mental.
 
Cik Nazurah Supari, seorang kaunselor dengan lima tahun pengalaman memberi khidmat kaunseling berhubung isu kesihatan mental.
Di tengah-tengah inflasi yang melambung tinggi, masalah kewangan merupakan antara faktor utama yang membelenggu belia hari ini. Belia juga kian resah memikirkan tentang masa depan mereka, termasuk dari segi pendidikan, kerjaya mahupun keluarga.
Cik Nazurah menambah bahawa belia di Singapura turut berdepan kesukaran menangani persekitaran yang sangat berdaya saing. Lebih-lebih lagi, persekitaran tersebut wujud di setiap fasa kehidupan mereka, dari bangku sekolah hingga menjangkaui alam pekerjaan.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada tekanan yang dihadapi belia dalam memastikan diri mereka sendiri kekal berdaya saing.

KEPEKAAN TERHADAP ISU KESIHATAN MENTAL

Memandangkan terdapat kesedaran yang meluas berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan belia, persoalannya adalah sama ada belia mempunyai sumber bantuan dan sokongan yang mencukupi untuk memastikan mereka peka terhadap isu kesihatan mental dan benar-benar memahaminya.

“Antara halangan yang seringkali dipetik oleh belia-belia yang pernah saya berhubung dengan adalah pengaruh anggota keluarga. Jurang generasi menyebabkan pemahaman yang berbelah bagi berhubung isu kesihatan mental. Ada yang mempengaruhi belia untuk menganggap isu kesihatan mental mereka itu sebagai tidak penting kerana ia berpunca daripada diri mereka sendiri,” kongsi Cik Nazurah kepada BERITAmediacorp.

Hakikatnya, kesan pengaruh sedemikian tidak boleh diperlekehkan sama sekali. Ini kerana ia mampu menghambat usaha meningkatkan kepekaan belia berhubung isu kesihatan mental mereka.

Oleh yang demikian, Cik Nazurah menzahirkan harapan agar sumber bantuan dan sokongan bagi golongan belia terus disemak secara berkala untuk memastikan ia tidak memupuk sebarang salah tanggapan berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan belia.

Ini agar ia dapat mewujudkan persekitaran yang sihat bagi belia supaya tidak berasa keberatan untuk tampil mendapatkan bantuan bagi menangani isu kesihatan mental.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan