Skip to main content

Nadi Kampus

Impian sejak kecil jadi kenyataan; usaha dua beradik Tastybites.sg

Anggaran Waktu Membaca:
Impian sejak kecil jadi kenyataan; usaha dua beradik Tastybites.sg

Nur Syafiqah (kiri) dan Nur Syakirah (kanan), pemilik Tastybites.sg. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

SINGAPURA: Nur Syafiqah Abdul Rahman, 23 tahun dan adiknya, Nur Syakirah, 22 tahun, tidak memilih laluan yang biasa. 

Syafiqah berkelulusan Diploma Kejuruteraan Digital, sementara Syakirah pula menggenggam Diploma Reka Bentuk dan Pemasaran Pakaian.

Selepas menamatkan pengajian mereka, adik beradik ini memilih untuk menjadi usahawan kek. Kini mereka mengendalikan Tastybites.sg, perniagaan kek dari rumah.

Sejak 2023, Syafiqah dan Syakirah sudah menyiapkan lebih 1,500 tempahan kek khas yang unik. 

Lebih manis lagi, Tastybites.sg mencerminkan semangat gotong royong keluarga dengan ayah, abang, serta sepupu mereka sentiasa membantu membuat penghantaran kepada pelanggan. 

“Kadang-kadang kami rasa macam menyusahkan keluarga,” kata Syakirah. “Tetapi mereka betul-betul ikhlas membantu.”

KELUARGA TULANG BELAKANG Tastybites.sg

Kek tempahan yang dibuat oleh Tastybites.sg. (Gambar: Instagram/Tastybites.sg)

Sememangnya keluarga menjadi tulang belakang kejayaan Tastybites.sg. Setiap kek yang keluar dari dapur rumah mereka di Hougang, bukan sahaja hasil usaha dua beradik ini, tetapi juga dukungan seluruh keluarga.

“Dari sejak kecil lagi, saya suka tengok video orang buat kek. Saya ulang tengok video yang sama banyak kali. Saya cakap pada diri sendiri, satu hari nanti saya mahu buat seperti itu,” kongsi Syafiqah mengenai minatnya terhadap dunia pembuatan kek yang bermula sejak beliau berusia lapan tahun.

Langkah demi langkah mereka mengubah impian itu menjadi kenyataan. 

Maka lahirlah Tastybites.sg, yang mula menjual kerepek kentang telur asin (salted egg chips) pada 2018. 

Syafiqah dan Syakirah kemudian beralih kepada tawaran kek tempahan khas selepas didorong sepupu mereka untuk cuba menjual kek cawan.

Dari situ mereka menerima pesanan kek pertama mereka.

“Setiap tempahan adalah peluang untuk saya terus belajar,” jelas Syafiqah kepada Nadi Kampus.

SYAFIQAH, SYAKIRAH ADA PERANAN TERSENDIRI DI Tastybites.sg

Meski berkongsi minat yang sama, adik beradik ini memainkan peranan berbeza.

Nur Syafiqah (kanan) dan Nur Syakirah (kiri). (Gambar: Tastybites.sg)

Syafiqah lebih banyak berada di dapur. Latihan dalam bidang kejuruteraan memberi kelebihan dari segi ketelitian dan pendekatan teknikal. 

“Saya perlu tahu macam mana nak ‘engineer’ kek. Kalau kek bertingkat, perlu cucukkan kayu sebagai tulang tengah untuk sokong,” katanya.

Syakirah pula memberi tumpuan kepada pemasaran dan media sosial. Latar belakangnya dalam bidang reka bentuk dan fesyen membantu memastikan jenama Tastybites.sg menonjol. 

“Kerana kami dalam zaman yang semua orang tengok media sosial. Apa-apa cerita, apa-apa ada di Instagram, Facebook dan sebagainya. Jadi, saya rasa sekarang pemasaran online sangat penting untuk menjual produk ” katanya.

Tambah Syakirah lagi kebanyakan pelanggan tahu tentang Tastybites melalui Instagram.

MULA-MULA RAGU

Keputusan mereka untuk memberikan tumpuan penuh kepada Tastybites sebagai kerjaya sepenuh masa, tidak mendapat sokongan sebulat suara orang di sekeliling mereka. Ada yang meragui keputusan Syakirah dan Syafiqah.

Nur Syafiqah (kiri) dan Nur Syakirah (kanan) menyiapkan kek kahwin 5 tingkat mereka. Antara kek tempahan pertama oleh Tastybites. (Gambar: Tastybites.sg)

“Kenapa ambil diploma kejuruteraan, kemudian buat kek?” soalan itu sering mereka dengar. 

Malah ada yang menganggap mereka tidak akan bertahan lama.

“Pada mulanya kami rasa tersinggung. Tetapi bila orang cakap begitu, kami jadi lebih bersemangat,” kata Syakirah.

Bagi mereka, belajar tidak semestinya bermakna seseorang harus terus bekerja dalam bidang yang sama. 

Apa yang penting ialah memilih laluan yang memberi mereka kebahagiaan.

“Walaupun saya dapat tempahan 50 kek dalam seminggu, saya melakukan sesuatu yang saya benar-benar suka. Jadi saya tidak rasa tertekan,” ujar Syafiqah.

“Sekarang fokus kami ialah menggembirakan pelanggan,” jelas Syakirah pula. “Kalau pelanggan gembira, kami pun rasa puas.”

Bahkan, Syafiqah melihat setiap kek sebagai cabaran baharu. Dia masih ingat lagi menerima tempahan yang cukup mencabar untuk menyiapkan kek perkahwinan lima tingkat. “Kami cuba pujuk pelanggan untuk buat tiga tingkat. Tapi dia mahu lima juga. Cabaran besar, tetapi bila kek itu siap dan diletakkan di atas meja, perasaan puas memang luar biasa.”

IMPIAN TERCAPAI 

Hari ini, pelanggan mereka harus buat tempahan kek bertahun-tahun lebih awal. Ada yang sanggup berkata, “Pada tahun 2027 atau 2028, saya mahu kek kahwin daripada kamu. Tolong teruskan buat kek.”

Kek perkahwinan antara tempahan yang dibuat oleh Tastybites. (Gambar: Instagram/Tastybites.sg)

Kata-kata semangat itu memberi motivasi kepada mereka untuk terus maju dan bukti usaha yang dilakukan sejauh ini tidak sia-sia belaka.

Bagi Syafiqah, ia juga satu aspirasi peribadi dan janji pada diri sendiri. 

“Saya buat ini untuk diri saya. Ini menjadi impian saya sejak dari kecil lagi. Budak yang suka tengok video kek di YouTube dan berangan-angan untuk cuba. Sekarang saya ada peluang itu, dan saya mahu lakukan yang terbaik.” katanya kepada Nadi Kampus sambil bersenyum puas.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita