Ibu jadi inspirasi Muhammad Haziq Zaid ceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak
SINGAPURA: Saya membesar dengan mendengar cerita-cerita ibu saya tentang kerjayanya sebagai seorang pendidik. Hal ini membuat saya terdorong untuk menceburi bidang pendidikan, khususnya pendidikan awal kanak-kanak.
Ini kerana saya akur bahawa guru pendidikan awal kanak-kanak memegang peranan penting dalam membentuk asas perkembangan kanak-kanak yang baik.
Saya menjalani program ijazah di Kaplan kerana ingin meningkatkan ilmu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Saya juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana faktor-faktor seperti latar belakang ibu bapa atau dasar-dasar pemerintah membentuk dan mempengaruhi pendidikan dan pengalaman awal kanak-kanak secara keseluruhannya.
Memilih untuk melanjutkan ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah satu perkembangan yang semula jadi bagi diri saya. Program ini menawarkan latihan dan pengetahuan khusus yang saya percaya dapat meningkatkan keupayaan saya untuk membuat perubahan yang bermakna dalam kehidupan kanak-kanak.
Kurikulum yang menyeluruh, ditambah dengan pengalaman praktikal, melengkapkan saya dengan kemahiran dan keyakinan yang diperlukan sebagai seorang pendidik yang cemerlang.
Dengan melalui modul yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah di Kaplan, saya dapat meluaskan perspektif saya terhadap pendidikan awal kanak-kanak dan juga ragam kanak-kanak. Ijazah ini memberikan saya pemahaman yang lebih mendalam tentang perkembangan kanak-kanak, strategi pengajaran yang berkesan, dan kepentingan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif.
Saya turut berpeluang untuk berhubung dengan rakan-rakan dan mentor yang berkongsi minat yang sama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Secara keseluruhannya, program ini sudah menjadi pemangkin dalam kerjaya saya sebagai seorang guru pendidikan awal kanak-kanak dan mengukuhkan komitmen saya untuk memupuk pengalaman pendidikan yang positif untuk kanak-kanak.
"MELETIHKAN", PENTINGNYA PENGURUSAN MASA
Sepanjang kursus ijazah ini, saya menghadapi beberapa cabaran yang ketara. Kesukaran utama adalah untuk mengimbangi tugas-tugas kerja dengan tugasan kursus ijazah. Kursus ini dijalankan selepas waktu bekerja, jadi ia sangat meletihkan.
Pengurusan masa amat penting kerana saya mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu ditangani. Saya perlu memastikan semua tugasan kerja diselesaikan dengan baik di samping memenuhi kehendak akademik.
Untuk mengatasi cabaran ini, saya mengamalkan teknik pengurusan masa yang berkesan seperti membuat jadual yang teratur, menetapkan keutamaan, dan mengambil masa untuk berehat dan menjaga kesejahteraan diri. Dengan ketekunan dan disiplin, saya berjaya menyelesaikan kursus ini walaupun menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya pengurusan masa yang baik dan keupayaan untuk mengatasi tekanan, yang semuanya penting dalam kerjaya sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak.
Antara pengalaman yang paling berharga semasa menjalani kursus ijazah ini adalah apabila saya bertemu dengan rakan-rakan sekelas buat pertama kali selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan. Kebanyakan kursus dijalankan secara online semasa pandemik tetapi apabila keadaan bertambah baik dan sesi bersemuka diperkenalkan semula, kami dapat menghadiri beberapa sesi secara bersemuka. Ini menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Rakan-rakan sekelas sangat penting kerana kami saling memberi semangat dan membantu satu sama lain.
Pengalaman lain yang tidak dapat dilupakan ialah menyiapkan kertas disertasi. Proses menyelesaikan kertas penyelidikan ini memerlukan banyak usaha dan dedikasi. Keseronokan yang saya rasakan daripada menyiapkan tugasan dan menjalankan penyelidikan pastinya menjadi satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Meskipun berasa lega apabila menghantar kertas tersebut buat kali terakhir, saya juga berasa sedih kerana ia menandakan bahawa saya sudah tiba di penghujung program ini. Melalui program ini, saya turut belajar tentang pentingnya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
PELAJAR DEWASA JANGAN TAKUT LANJUT PENGAJIAN
Kepada para pelajar dewasa seperti saya yang sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran, usah takut untuk mencuba. Meskipun anda menggalas pelbagai tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah, jangan takut untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang seterusnya. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan kunci perkembangan diri dan kerjaya anda.
Pengurusan masa semestinya salah satu kunci kejayaan. Anda perlu bijak mengurus masa anda dan mengimbangi antara tugasan kerja dan tugasan akademik. Ini boleh dilakukan dengan membuat jadual yang teratur dan menetapkan keutamaan. Pastikan anda juga mempunyai waktu rehat yang mencukupi.
Sokongan daripada rakan sekelas, rakan sekerja, dan keluarga adalah sangat penting. Jangan segan untuk meminta bantuan dan nasihat apabila diperlukan. Rangkaian sokongan yang kuat boleh membantu anda untuk melalui cabaran yang dihadapi.
Selain itu, cuba nikmati setiap langkah dalam perjalanan pembelajaran anda. Walaupun kadangkala ia sukar dan meletihkan, setiap tugasan dan cabaran ialah peluang untuk berkembang dan mempelajari sesuatu yang baharu.
Ada kalanya, anda mungkin berasa terbeban dan ingin menyerah kalah. Usah berputus asa dan ingatlah tujuan dan impian anda. Tetapkan matlamat yang jelas dan teruskan usaha sehingga anda mencapainya. Percayalah pada diri sendiri dan kemampuan anda. Setiap langkah kecil membawa anda lebih dekat kepada impian dan kejayaan anda.
Akhir sekali, pentingnya pembelajaran sepanjang hayat tidak boleh diabaikan. Pelajaran tidak berhenti setelah tamat program. Teruskan mencari ilmu dan memperkaya diri dengan pengetahuan baharu. Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja dapat membantu dalam kerjaya anda tetapi juga memperkaya kehidupan anda secara keseluruhan.
CETUSAN ILHAM:
Muhammad Haziq Zaid, 33 tahun, lulusan Akademi Pengajian Tinggi Kaplan di Universiti Northumbria dalam jurusan Pendidikan Kanak-Kanak dan Tahun-Tahun Awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.