Skip to main content

Nadi Kampus

Hasil lukisan Nisa’ Tuzzakirah dalam ‘Egg & Friends’ pikat pelanggan sejauh Kanada

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil lukisan Nisa’ Tuzzakirah dalam ‘Egg & Friends’ pikat pelanggan sejauh Kanada
Nisa’ Tuzzakirah Sahlan dengan produk 'Egg & Friends'. (Gambar: Fatyn Afiqah Abdul Samad)

SINGAPURA: Tanpa pendidikan seni formal, Nisa’ Tuzzakirah Sahlan membuktikan bahawa minat dan kerja keras dapat merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang pelukis dan usahawan. 

Beliau yang kini mencecah 30 tahun lebih dikenali melalui jenamanya sendiri, ‘Egg & Friends’ dan peluang kerjasama dengan jenama besar termasuk Lee Hwa Jewellery. 

DARI ALIRAN MADRASAH DAN MEMUPUK MINAT MELUKIS

Bagi dirinya, segalanya bermula di rumah. Nisa’ mula melukis sejak kecil, mendapat inspirasi daripada ibunya yang gemar membuat lakaran dalam buku telefon kecil.

“Saya selalu ingat Umi saya melukis di buku telefonnya. Dari situlah timbul rasa ingin tahu saya,” jelas Nisa’.

Kalau ada yang main masak-masak waktu kecil, Nisa' pula selalu bersama ibunya dalam permainan ‘restoran’. 

Mereka akan melukis gambar makanan seperti nasi goreng dan mi soto untuk ‘dipesan’ dalam restoran. 

Setelah itu, Nisa’ mula mengisi buku notanya dihadiahkan oleh keluarganya dengan lukisan demi lukisan. 

Latar belakang pendidikan Nisa’ juga berbeza daripada kebanyakan penggiat seni. Nisa’ menuntut di madrasah sepenuh masa yang tidak menawarkan subjek seni visual.

“Saya belajar melukis sendiri. Segalanya saya pelajari daripada buku kanak-kanak, komik dan bahan bacaan di perpustakaan," kongsi Nisa' kepada wartawan Fatyn Afiqah. 

Tanpa bimbingan formal, beliau cuba teroka dengan pelbagai gaya seni sebelum membentuk identitinya sendiri. 

Beliau turut menjadikan akaun peribadinya di Instagram, @nzakrh, sebagai platform utama untuk berkongsi hasil karya. 

Apa yang pada awalnya sekadar ruang peribadi untuk memuat naik ilustrasi, kini berkembang menjadi akaun perniagaan rasmi bagi jenama ‘Egg & Friends’.

Watak ‘Egg’ menjadi penggerak utama dalam jenama 'Egg & Friends'. Nama itu dipilih secara sengaja dan dekat di hati.

“Ada hari kita rasa muka macam ‘telur’ sebab gaya tudung kita,” ujar Nisa’ sambil tertawa kecil.

Namun di sebalik pengalaman lucu itu, Nisa’ ingin mengetengahkan realiti kehidupan wanita moden yang berhijab. 

“Saya mahu cipta watak yang menggambarkan wanita 'hijabi' biasa yang melalui cabaran dan perasaan harian seperti kita semua,” jelasnya.

“Apabila orang mula komen ‘saya pun pernah rasa macam ni’, saya sedar watak 'Egg' ini benar-benar dekat di hati mereka juga,” kata Nisa'.

JENAMA 'EGG & FRIENDS' DIGEMARI RAMAI

Dorongan untuk menjadikan hobi ini sebagai sumber rezeki datang daripada suami, keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Mereka yang selalu kata, ‘kenapa tidak jual produk?’ Pada awalnya saya ragu-ragu, tapi akhirnya saya cuba,” kata Nisa’.

Produk 'Egg & Friends'. (Gambar: Fatyn Afiqah Abdul Samad)

Kini, di bawah jenama ‘Egg & Friends’, beliau menjual pelbagai barangan seperti pelekat, beg jinjing, buku nota dan juga stokin, semuanya menampilkan ilustrasi eksklusif hasil tangannya sendiri. 

Hasil kerja dan jenamanya di bawah ‘Egg & Friends’ sudah mula menarik perhatian para pelanggan luar negara seperti Brunei, Malaysia dan sejauh Kanada.

Setiap keluaran baharu dirancang teliti dan melibatkan pengikutnya di media sosial. 

Nisa’ turut berkongsi bahawa proses menghasilkan satu koleksi baharu bukanlah sesuatu yang singkat. 

Dari peringkat perancangan idea sehinggalah kepada produk akhir, semuanya boleh mengambil masa tiga hingga enam bulan.

“Saya suka tanya mereka dahulu, hendak warna apa, produk jenis apa. Saya rasa penting untuk libatkan mereka yang menyokong saya,” ujarnya.

Walaupun perlu memegang pelbagai peranan sebagai ilustrator, pereka, jurugambar malah khidmat pelanggan, Nisa’ tetap positif. 

“Memang mencabar tetapi saya masih belajar. Suami dan keluarga banyak memberi sokongan,” kata Nisa’.

BEKERJASAMA BERSAMA BADAN-BADAN NEGARA

Sejak mula bergiat aktif pada 2018, karya Nisa’ semakin mendapat perhatian pelbagai organisasi dan jenama popular. 

Antara kerjasama yang paling bermakna termasuk reka bentuk bungkusan edisi terhad untuk Lee Hwa Jewellery serta projek ilustrasi dengan beberapa masjid seperti Masjid Al-Falah pada 2018.

Produk 'Egg & Friends'. (Gambar: Fatyn Afiqah Abdul Samad)

Ia merupakan satu projek yang memaparkan tokoh-tokoh Islam dan hasilnya masih dipamerkan di masjid itu hingga hari ini.

“Walaupun bukan projek besar, ia sangat memberi kesan. Ia menaikkan keyakinan diri saya dan membuka banyak peluang lain,” kongsinya.

Projek itu yang disiapkan ketika beliau baru dua tahun bergelar pelukis, menjadi titik tolak yang memperkukuh semangatnya untuk menyahut lebih banyak cabaran dalam bidang seni.

Karya Nisa' memaparkan tokoh-tokoh Islam yang kekal dipamerkan di Masjid Al-Falah. (Gambar: Nisa' Tuzzakirah)

Pada tahun-tahun berikutnya, Nisa’ terus mencuri perhatian dengan projek khas untuk Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), termasuk ilustrasi sempena Hari Raya 2023.

IMPIAN NISA' UNTUK MASA AKAN DATANG

Kini, Nisa’ merancang setiap keluaran barangan dengan tema tersendiri. 

“Sebelum ini saya hasilkan tema ‘growth’ tentang perkembangan diri. Sekarang saya sedang fikirkan tema baharu untuk koleksi seterusnya,” kata Nisa'. 

“Saya harap saya dapat terus melukis selama-lamanya. Kalau boleh melukis tanpa risau tentang duit. Itu yang terbaik sebab pada asasnya, saya melukis kerana saya cintakan seni,” tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ft/FT
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita