Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Hamizah Myra bangkit selepas kehilangan ayah, hamil pada usia 17 tahun; muncul sebagai valediktorian NUS

"Saya dapat tahu diri saya hamil pada tahun pertama di maktab rendah dan saya ingat masa depan saya sudah berakhir," kongsi anak muda yang kemudian bangkit semula dan kini muncul sebagai graduan cemerlang NUS dan malah dipilih sebagai 'valediktorian'.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Anak muda ini kehilangan ayahnya secara mengejut setahun sebelum peperiksaan GCE O.

Pada usia muda 17 tahun pula, beliau didapati hamil dan terpaksa melakukan pelbagai pengorbanan untuk membesarkan anaknya, sambil terus berusaha untuk mencapai cita-citanya.

Kesemua cabaran yang menimpa Hamizah Myra Mohammad Hamdan tidak menghambat beliau. Sebaliknya menjadi pendorong utama sehingga beliau berjaya menggenggam ijazah Kepujian Kelas Pertama dari Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS) Universiti Nasional Singapura (NUS).
Malah lebih membanggakan lagi, pelajar bidang Pengajian Global dan Sosiologi ini dipilih menjadi valediktorian atau penyampai ucapan dalam majlis konvokesyennya minggu lalu.
Gambar: Hamizah Myra
Anak muda berusia 24 tahun ini kini seorang penolong pengatur program di sebuah badan pemikir "Tech for Good Institute".
 
KEHILANGAN AYAH SEMASA BERUSIA 15 TAHUN

Semasa dihubungi BERITA Mediacorp, Myra berkongsi bahawa ayahnya, yang juga merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarganya, meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu beliau berusia 15 tahun.

"Saya mahu katakan kepadanya yang saya hargai segala pengorbanannya untuk keluarga kami, dia bangun seawal 6.00 pagi dan hanya pulang ke rumah pada tengah malam, demi mencari wang yang mencukupi agar kami sekeluarga dapat hidup dengan selesa," kata Myra, mengenang jasa bapanya.
Gambar: Hamizah Myra

Kakak Myra terpaksa berhenti sekolah selepas menduduki peperiksaan GCE A dan bekerja sepenuh masa untuk menyara mereka sekeluarga.

Myra, yang tidak sampai hati melihat pengorbanan kakaknya, pula mengambil pelbagai peluang pekerjaan yang ada demi membantu keluarganya.

"Saya jadi guru tuisyen, penjual runcit, juruwang semuanya hanya untuk memastikan keluarga saya dijaga," kongsi Myra.

Namun, anak muda ini bertekad untuk bersikap positif dengan cabaran yang menimpa.

"Saya rasa mungkin ada hikmah di sebalik semua ini kerana ia membantu saya mengurus masa dengan lebih baik lagi," tambah Myra lagi.


HAMIL PADA USIA 17 TAHUN, TAPI BANGKIT DARI KESILAPAN...

Beberapa tahun kemudian, semasa berusia 17 tahun pula, Myra didapati hamil dan terpaksa mengulangi tahun pertamanya di maktab rendah.

"Ia merupakan detik yang sangat mengecewakan bagi saya dan saya fikir, masa depan saya sudah berakhir," kata anak muda ini.

"Saya fikir, saya tidak boleh menduduki peperiksaan GCE A, tidak dapat masuk universiti," tambahnya lagi.

Peristiwa ini bagaimanapun tidak menghalangnya, tetapi menjadi pembakar semangat baginya untuk terus bekerja keras demi menampung kehidupan anaknya yang kini berusia 7 tahun.

Gambar: Hamizah Myra
Beliau juga bersyukur dengan sokongan keluarga yang berada di sisinya dalam semua masa-masa sukar.

JAGA ANAK SAMBIL KEJAR IMPIAN

Hakikatnya, sebagai seorang ibu dan pelajar sepenuh masa, pasti bukan mudah untuk menggalas semua tanggungjawab yang ada pada usianya yang sangat muda.

"Saya asyik mengejar masa, bergegas dari rumah ke sekolah, atau dari sekolah anak saya dan kemudian pulang ke rumah untuk belajar," kongsi anak muda bercita-cita tinggi ini.
 
Gambar: Hamizah Myra
"Kadang kala saya akan rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa secukupnya bersama anak saya kerana perlu bekerja atau belajar," tambahnya lagi.

Namun, beliau bersyukur ibunya tampil ke hadapan untuk menjaga anaknya selain menyediakan sekitaran yang stabil dan penuh kasih sayang agar Myra dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan kerjayanya.
 
Gambar: Hamizah Myra
"Berkat jasa ibu saya, saya dapat menghadiri kelas, terus bekerja tanpa merisaukan tentang anak saya," kata pelajar cemerlang ini.

"Sebagai seorang ibu muda, pelajar sepenuh masa, pekerja sambilan, anak dan juga seorang adik, saya tidak dapat mencapai semua kejayaan ini tanpa sokongan, kasih sayang dan kebaikan orang-orang di sekeliling saya," ujar Myra.
Gambar: Hamizah Myra
"Saya juga bersyukur anak saya sangat memahami pelbagai tanggungjawab yang saya ada," tambah Myra ketika dihubungi BERITA Mediacorp.

HADAPI STIGMA MASYARAKAT DENGAN PENUH POSITIF

Ditanya bagaimana beliau menghadapi stigma masyarakat berhubung masa lalunya, ini jawapan Myra...

"Ramai orang luar dan malah saudara mara akan mempunyai tanggapan mereka tentang saya dan mereka fikir pilihan dan identiti saya akan menjadi sebab saya tidak akan berjaya dari segi akademik dan kerjaya tapi saya tekad untuk biarkan tindakan dan kejayaan saya yang menjadi bukti," kata Myra.

"Saya juga sering mengingatkan diri saya tentang apa yang sebenarnya penting buat saya - keluarga, anak dan minat saya," luahnya.
Gambar: Hamizah Myra
"Sebagai seorang ibu muda, pelajar sepenuh masa, pekerja sambilan, anak dan seorang adik, saya akur saya tidak mencapai kejayaan ini tanpa sokongan, kasih sayang dan kebaikan hati orang di sekeliling saya," ujarnya.

NASIHAT KEPADA GADIS MUDA LAIN

Ditanyakan apakah nasihatnya kepada gadis-gadis muda lain yang mungkin pernah melalui pengalamannya, Myra menekankan bahawa pengalaman unik seseorang itu sebenarnya sumber kekuatan dan jangan biarkan kata-kata orang lain menjejas anda.

"Laluan anda mungkin berbeza daripada orang lain tapi ia tetap bernilai, jadi jangan biarkan masa lalu anda menentukan masa depan anda dan jadikan kisah hidup anda sesuatu yang anda ingin banggakan," kata belia ini.
 
Myra yang kini bertugas sebagai Penolong Pengatur Program di Tech for Good Institute, berharap untuk terus menceburi bidang kajian dan penggubal dasar, terutama dalam isu-isu wanita.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ia
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan