Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Graduan NUS manfaatkan pengalaman, bergelut kesihatan mental untuk beri sokongan kepada masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Graduan NUS manfaatkan pengalaman, bergelut kesihatan mental untuk beri sokongan kepada masyarakat Melayu

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 04 Aug 2024 11:53PM Dikemas Kini : 05 Aug 2024 12:04AM
SINGAPURA: Beberapa hari sebelum Cik Aisha Shamsudin memulakan pengajian kursus ijazah Sarjana Muda di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2020, seorang rakan yang tertekan menelefonnya untuk memberitahu bahawa dia ingin membunuh diri.

Walaupun kawannya tidak meneruskan rancangan itu, pengalaman berkenaan tetap memberi kesan kepada Cik Aisha.

Beliau turut menyedari bahawa dengan menjadi orang yang boleh dipercayai kepada rakannya itu, ia menyebabkan "tangki (emosinya) sendiri diisi" sehingga penuh.

"Pada keesokan harinya, saya mengalami keresahan (anxiety) atau sesuatu seperti itu - saya tidak boleh berhenti menangis dan saya mengalami masalah bernafas," katanya kepada Mediacorp.

Wanita berusia 24 tahun itu menggambarkan kejadian itu sebagai satu "titik perubahan" yang menyebabkan dirinya memandang serius terhadap kesihatan mental, dan kemudian mendapatkan bantuan.

Menghadapi cabaran dalam hidupnya sendiri - seperti diagnosis barah ibunya dan kehilangan sumber pendapatan keluarga - Cik Aisha diberi diagnosis keresahan dan gangguan kemurungan pada 2021.

Namun, setelah meluangkan masa untuk menangani kondisinya itu dan "mempelajari keupayaannya", beliau turut membantu orang lain sebagai sokongon kesihatan mental di kolejnya.

Beliau turut mengetuai beberapa program yang bertujuan membantu masyarakat Melayu/Islam.

Ini sedang beliau mengimbangi tuntutan akademik yang kian bertambah dalam tahun-tahun akhir pengajiannya, yang mana beliau akhirnya lulus dengan ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian Tertinggi.

Pencapaian graduan perhubungan dan media baharu itu turut diiktiraf dalam ucapan Presiden NUS di acara majlis permulaan universiti pada bulan lalu.

Profesor Tan Eng Chye berkata: "Meskipun terpaksa berdepan semua cabaran yang dihadapi, beliau berjaya memanfaatkan masanya di NUS sebaik mungkin, dan tidak pernah menolak peluang untuk terus menyokong orang lain."

PERGELUTAN SELAMA BERTAHUN-TAHUN

Cik Aisha, kakak sulung kepada seorang adik, telahpun berasa kurang keyakinan diri dalam beberapa tahun sebelum memasuki universiti.

Ketika tahun peperiksaan peringkat A pada 2018, ibunya didiagnos dengan penyakit barah.

Walaupun ibunya cuba meremehkan keadaan itu - dengan memberitahu anak-anaknya bahawa ia berada pada tahap dua sedangkan ia di tahap tiga - ia tidak meredakan kebimbangan Cik Aisha kerana dia "amat rapat" dengan ibunya.

Cik Aisha juga cuba untuk membantu dengan sebahagian besar kerja di rumah, seperti memasak dan mencuci baju untuk meringankan tugas ibunya.

Namun, menghadapi keadaan ini di rumah serta "cabaran persahabatan yang sering dihadapi remaja berusia 17 tahun" ternyata memberi kesan kepada Cik Aisha.

Secara emosi, remaja yang biasanya peramah ini mula "bersifat introvert, sangat pendiam". Walaupun menerima beberapa anugerah akademik dalam tahun pertama di maktab rendah, keputusan peringkat A beliau kurang cemerlang, dan beliau terpaksa menduduki semula peperiksaan itu pada 2019.

Keadaannya juga tidak menjadi semakin reda dalam tahun pertama di universiti.

Dalam keadaan yang masih bimbang tentang ibunya yang baru sahaja selesai menjalani rawatan kemoterapi pada waktu itu, pendapatan bapanya, seorang ejen hartanah, turut terjejas dengan ketara akibat pandemik COVID-19.

MENDAPATKAN BANTUAN

Cik Aisha memberitahu Mediacorp bahawa beliau menimbangkan untuk mendapatkan rawatan seawal 2018 lagi, dan telahpun menghubungi talian bantuan Pasukan Penilaian Kesihatan Masyarakat (Chat) yang diuruskan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).

Namun, untuk merujuknya bagi mendapatkan bantuan lanjut atau diagnosis, pasukan Chat memberitahunya bahawa dia perlu memberitahu ibu bapanya kerana usianya yang muda.

"Saya tidak mahu memberitahu mereka. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya rasa ia berpunca daripada perasaan saya yang tidak mahu membebankan mereka dengan (perkara kesihatan mental) ini pada waktu itu," katanya.

Dia tetap mendapatkan sokongan daripada NUS, seperti bantuan kakitangan universiti. Namun, beliau mengetahui bahawa dirinya memerlukan lebih banyak bantuan.

"Sewaktu cuti musim panas, saya hanya menangis setiap hari, saya tiada kawalan ke atasnya," kata Cik Aisha.

Kadangkala, beliau akan bangun tidur dengan perasaan sedih yang tidak dapat dijelaskan dan tidak mempunyai motivasi untuk melalui sepanjang hari, tambahnya.

Beliau akhirnya ke poliklinik untuk mendapatkan bantuan pada tahun akademik pertama pada Mei 2021 dan mendapatkan temu janji dengan seorang pakar lebih tiga bulan kemudian.

Selepas mendapatkan diagnosis, Cik Aisha menggunakan tahun akademik yang seterusnya untuk menyesuaikan perubatan yang diambil dengan keperluan tugas sekolah.

"Dengan diagnosis itu, saya mempelajari lebih lagi mengenai diri saya. Mempelajari tentang keupayaan saya sebelum melakukan apa-apa (aktiviti)," katanya.

"USAHA PERIBADI" SAYA

Dengan keyakinan untuk memanfaatkan baki masa pengajian tingginya, Cik Aisha berusaha menyumbang semula kepada masyarakat.

Ini dimulakan dengan menjadi penyokong kesihatan mental menerusi inisiatif 'Peer Student Supporters' di kolej kediamannya. Beliau kemudian menjadi pengerusi inisiatif tersebut pada tahun terakhirnya.

Menerusi usaha ini, beliau dilatih untuk memberikan sokongan sesama pelajar kepada mereka yang mungkin mengalami isu kesihatan mental, dan mengendalikan acara untuk menggalakkan kesejahteraan mental.

"Ia tentunya usaha peribadi, kerana saya melaluinya sendiri dan saya berharap lebih ramai orang mengetahui tentang (cabaran kesihatan mental), dan bahawa mereka tidak segan untuk membincangkan tentangnya," katanya.
Yakin untuk memanfaatkan baki tahun pengajiannya, Cik Aisha Shamsudin menjadi seorang penyokong kesihatan mental menerusi inisiatif Peer Student Supporters di kolej kediamannya. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
Cik Aisha juga aktif dalam pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat Melayu/Islam, dengan minat yang dipupuk "tanpa disedari" oleh beberapa pengalaman "kurang selesa" ketika membesar sebagai seorang kaum minoriti, tambahnya.

"Saya rasa (pengalaman) saya adalah akibat empati dan pemahaman yang kurang. Itulah mungkin sebabnya mengapa tanpa disedari, saya melakukan beberapa perkara di kolej kediaman saya untuk meningkatkan kesedaran mengenai budaya dan agama."

Tahun lalu, beliau menganjurkan sebuah acara Ramadan dan Hari Raya buat julung-julung kalinya, Raya with Ridge, bersama kolej kediamannya.

Selain memaparkan persembahan perayaan, acara itu turut melibatkan sebuah sesi perkongsian bagi peserta bukan Melayu/Islam untuk lebih mempelajari mengenai kaum minoriti itu.

Beliau juga aktif dalam komuniti Bahasa Melayu NUS dan memegang peranan bimbingan.

Antara lain, beliau mengetuai sebuah program bantuan bagi pelajar prauniversiti untuk memahami bagaimana kehidupan pelajar di dalam kampus, serta sebuah acara untuk menyediakan para siswazah buat kehidupan selepas menamatkan pengajian menerusi perbincangan bersama pakar kerjaya dan kewangan.

"TIDAK MENGAPA UNTUK BERUNDUR"

Sedang kehidupannya di universiti semakin rancak, Cik Aisha juga membuat kemajuan besar dalam segi emosi.

“Saya hanya mengalami gangguan sekali sahaja, sehari sebelum penyerahan (tesis). Ia berubah dari tahun pertama kepada tahun keempat,” katanya sambil mengimbau bagaimana dia sering menangis pada permulaannya.

Dia mengaitkan sebahagian kejayaannya kepada rakan-rakan dan kakitangan yang memberikan sokongan di NUS.

Sebagai contoh, penyelia tesisnya memberitahunya bahawa universiti "bukan hanya (mengenai) pengajian" dan menggalakkannya untuk meneruskan aktiviti yang diminatinya, selagi pengajiannya tidak terjejas.

Ketua bersama beliau untuk salah satu aktiviti kokurikulum juga merupakan pelajar tahun akhir seperti beliau tetapi dengan garis masa penghantaran tesis yang berbeza daripada beliau.

Oleh itu, mereka bergilir-gilir untuk mengundurkan diri daripada peranan kepimpinan apabila diperlukan.

"Mempunyai rakan yang memahami atau orang yang bekerja dengan anda (adalah penting)," katanya. "Tetapi sudah tentu, ia di samping menentukan keupayaan anda sendiri terlebih dahulu."
Cik Aisha juga berkata bahawa adalah penting bagi golongan muda untuk tidak terjebak dalam perlumbaan demi menggapai kejayaan dan menyedari had mereka sendiri, demi kesihatan mental dan emosi mereka.

Sebagai contoh, sebagai pelajar, "adalah perkara biasa untuk berasa tertekan" untuk mengikuti latihan amali pada setiap cuti semester kerana takut ketinggalan berbanding rakan-rakan mereka yang melakukannya.

"Tetapi jika tempoh rehat itu adalah satu-satunya masa yang anda boleh berehat untuk diri sendiri, maka lakukan sahaja. Tidak mengapa untuk mengundurkan diri."

Jika anda, atau sesiapa yang dikenali perlu menghubungi bantuan, anda boleh menghubungi talian bantuan berikut:

Samaritans of Singapore: 1767 (telefon), 9151 1767 (WhatsApp/ teks), emel di pat [at] sos.org.sg.

Youthline (bagi individu sehingga 35 tahun): +65 6436 6612 (telefon), +65 8533 9460 (pesanan teks) ,e-mel di hello [at] youthline.sg.

Touchline oleh Touch Community Services: 1800 377 2252

Tinkle Friend (bagi pelajar sekolah rendah): 1800-274-4788
 
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan