Golongan belia lebih cenderung lapor tahap tinggi pengasingan sosial dan kesunyian: Tinjauan IPS
Lebih separuh golongan muda berusia antara 21 dengan 34 tahun kadangkala berasa bimbang jika perlu berbual dengan seseorang secara empat mata, sebaliknya mereka mendapati ia lebih mudah untuk berkomunikasi secara online.
Ini adalah sebahagian daripada dapatan lebih luas satu tinjauan baharu bahawa golongan muda lebih berkemungkinan melaporkan tahap lebih tinggi pengasingan sosial dan kesunyian.
Dapatan tinjauan itu - sebuah tinjauan prapersidangan yang dijalankan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) didedahkan di persidangan Singapore Perspectives 2024 hari ini (29 Jan).
Dianjurkan setiap tahun, Singapore Persepectives iaitu persidangan perdana IPS - bertujuan untuk mendampingi warga Singapura dalam perbahasan mengenai cabaran dasar awam yang dihadapi oleh negara ini.
Persidangan pada tahun ini bertema "Belia" dan ia terdiri daripada tiga forum online yang diadakan pada 22 Januari, disusuli dengan persidangan secara fizikal pada 29 Januari.
Sebelum persidangan itu, IPS menjalankan tinjauan untuk memahami tanggapan, nilai dan pendapat warga Singapura terhadap pelbagai isu berkisarkan keluarga, kesejahteraan, pekerjaan, penglibatan sivik dan peralihan hidup, ia menyatakan dalam satu kenyataan media hari ini.
Tinjauan itu yang dijalankan antara November dengan Disember 2023, meninjau 2,356 rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura berusia 21 hingga 64 tahun.
Antara dapatan utamanya adalah:
PENGASINGAN SOSIAL DAN KESEJAHTERAAN
Semasa pandemik COVID-19, apabila perintah berkurung dan langkah penjagaan jarak selamat menjejas komunikasi harian dengan rakan-rakan dan anggota keluarga, keprihatinan mengenai "wabak kesunyian" semakin meningkat, menurut IPS.
Walaupun kesunyian sering dicirikan sebagai isu warga emas, kajian terkini menunjukkan bahawa golongan muda juga tidak terkecuali daripadanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.