Skip to main content

Nadi Kampus

Filem arahan pelajar TP ini 'Juang' di awan biru dalam penerbangan SIA

Anggaran Waktu Membaca:
Filem arahan pelajar TP ini 'Juang' di awan biru dalam penerbangan SIA

Naqib Putra Zalman, pengarah filem pendek, Juang. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

SINGAPURA: Bagi kebanyakan pelajar, projek akhir tahun menandakan hampir tamatnya pengajian dan merupakan salah satu syarat penting untuk mendapatkan sijil tamat sekolah. Bagi sekumpulan lulusan muda Politeknik Temasek  (TP), projek mereka itu kini tersedia di awan biru, lebih tepat lagi sehingga 11,000 meter di udara.

Mereka merupakan pelajar dari Sekolah Reka bentuk TP, dan projek yang dimaksudkan ialah filem berjudul 'Juang' yang diarahkan oleh Naqib Putra Zalman, 23 tahun. 

Skrin hiburan Singapore Airlines yang kini menayangkan filem Juang. (Gambar: Politeknik Temasek)

Filem itu dihasilkan pada 2022 dan menang Anugerah Emas - Filem Pelajar Terbaik di Pesta Filem New York 2023.

Ia mencapai satu lagi kejayaan apabila dipilih untuk ditayangkan dalam penerbangan SIA selama tiga bulan sempena sambutan SG60.

“Saya rasa sangat bangga dan juga terkejut. Saya dan rakan saya mula menghasilkan Juang sejak tahun 2022. Jadi bila filem ini kembali ditayangkan semula, rasanya seperti ia diberi ‘kehidupan kedua’,” kata Naqib.

Juang mengisahkan perjalanan seorang atlet MMA muda yang mengejar impiannya sambil bergelut dengan hubungan rumit bersama ibunya.

Naqib menerima berita mengenai tayangan Juang di SIA daripada pensyarahnya sendiri.

“Pensyarah kami yang maklumkan bahawa beberapa filem kami akan ditayangkan dalam pesawat Singapore Airlines. Jadi, penumpang yang menaiki SIA boleh menonton hasil kerja kami,” kongsinya dengan penuh rasa syukur.

Naqib Zalman (kedua daripada kiri) bersama rakan-rakan Politeknik Temasek. (Gambar: Instagram/knockoutfilms)

Walaupun duduk di kerusi pengarah, Naqib menegaskan bahawa Juang adalah hasil usaha bersama teman-teman sekampus. 

“Kami tidak ada dana untuk koreografer profesional, jadi kami cuba buat sendiri. Mujurlah jurukamera saya dan beberapa rakan sekelas memang ada latar belakang seni mempertahankan diri seperti judo. Kami bergabung tenaga untuk hasilkan koreografi itu sendiri. Ia satu pengalaman baharu, tapi menyeronokkan,” ceritanya.

Naqib Zalman (tengah), di sebalik tabir filem Juang. (Gambar: Instagram/knockoutfilms)

Inspirasi Juang datang daripada keinginan Naqib untuk menekankan kepentingan berkomunikasi dengan orang tersayang. 

“Saya percaya kita tidak patut simpan terlalu banyak perkara di dalam hati kerana akhirnya ia boleh jadi lebih teruk,” jelasnya. 

Pemilihan tema MMA pula diilhamkan daripada kisah rakan penyunting filem itu, yang mempunyai kenalan dalam dunia seni mempertahankan diri.

Sejak ditayangkan, Juang menerima sambutan positif termasuk daripada keluarganya sendiri. 

“Bila keluarga saya menonton Juang, mereka sangat bangga. Mereka jarang berpeluang lihat hasil kerja saya sebelum ini. Jadi bila mereka dapat tonton filem ini, mereka nampak apa yang saya sebenarnya mampu lakukan. Itu satu penghormatan besar bagi saya,” kata Naqib.

Sejak menamatkan pengajian pada 2022, Naqib terus bergiat sebagai pembikin filem bebas dan penulis skrip.

Beliau aktif menghasilkan karya demi mengasah kemahiran dan mengejar cita-cita jangka panjangnya menjadi seorang penulis skrip.

Cita-cita utamanya tetap jelas: “Matlamat utama saya adalah untuk terus menulis skrip dan mengasah bakat sebagai penulis skrip. Itu impian saya, untuk jadi seorang penulis skrip dan menghasilkan lebih banyak karya yang bermakna.” kata Naqib.

Anda boleh tonton Juang, di sini. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita