Skip to main content

Nadi Kampus

Falah Yusrina antara pertama uji sampel COVID-19, kini pantau wabak berjangkit di makmal negara

Anggaran Waktu Membaca:
Falah Yusrina antara pertama uji sampel COVID-19, kini pantau wabak berjangkit di makmal negara
Falah Yusrina Zailani berkhidmat sebagai pegawai saintifik di Makmal Kesihatan Awam Nasional. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Diterbitkan : 27 Dec 2025 07:00AM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 12:04PM
SINGAPURA: Sedang para petugas barisan hadapan bertungkus-lumus menangani krisis kesihatan yang belum pernah dialami bila COVID-19 mula melanda, terdapat juga kelompok lain yang memainkan peranan penting di balik tabir dalam usaha mengekang penularan wabak berjangkit itu.

Petugas yang dimaksudkan ialah mereka di sebalik proses pengesanan virus, ketika ancaman itu masih belum diketahui sepenuhnya.

Di dalam makmal hospital, sampel demi sampel dianalisis untuk membantu doktor dan pihak berkuasa memahami ancaman wabak yang sedang merebak.

Antaranya ialah Falah Yusrina Zailani, yang ketika itu berkhidmat sebagai pegawai teknologi makmal perubatan di Hospital Besar Sengkang. Beliau terlibat secara langsung dalam ujian sampel awal virus COVID-19.
Related article image
Falah (paling kanan) semasa bertugas di Hospital Besar Sengkang. (Gambar: Falah Yusrina)
Namun, dalam suasana penuh ketidaktentuan itu, beliau memilih untuk merahsiakan tugasannya daripada keluarga dan kenalan.

"Saya tidak mahu risaukan mereka. Lepas satu atau dua tahun pandemik, baru saya (katakan kepada mereka)... Oh sebenarnya saya setiap hari uji (patogen) COVID," cerita anak sulung tiga beradik itu.

"Lama-kelamaan mereka okey. (Mereka berkata)... Oh dah satu tahun masih okey. Jadi insya-Allah okeylah."
Related article image
Falah bersama keluarganya. 
KINI PEGAWAI SAINTIFIK DI MAKMAL KESIHATAN AWAM NASIONAL

Hingga ke hari ini, Falah, 31 tahun, masih menguji pelbagai jenis patogen termasuk denggi dan juga Zika.

Namun, graduan sains bioperubatan itu kini berkhidmat sebagai pegawai saintifik (virologi) di Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) yang merupakan sebahagian daripada Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

"Saya sebahagian daripada Pasukan Pengawasan. (Kami) membantu mencegah penyakit berjangkit daripada merebak dalam masyarakat," jelas Falah.

Beliau juga menganggap pekerjaannya itu cukup istimewa dan cocok dengan keperibadiannya.
"Saya ini seorang 'introvert' (tidak suka bergaul). Saya tidak suka berada di barisan hadapan. Jadi saya rasa (bidang) sains perubatan ini membolehkan saya untuk membantu masyarakat dari belakang tabir," ujarnya lagi.

Menurut Falah, gambaran orang ramai terhadap tugas di makmal juga tidak selalu mencerminkan realiti sebenar.

Pegawai saintifik sepertinya tidak setiap hari berdepan dengan patogen berbahaya atau eksotik. Malah, sebahagian ujian yang dijalankan hanya melibatkan komponen patogen seperti protein termasuk virus flu.

Pun begitu, Falah tidak menafikan perasaan takut itu pernah wujud dalam dirinya, terutama apabila berdepan dengan patogen 'baharu'.

"Lama-kelamaan kami sudah terbiasa bekerja di sini sebab kami ada protokol. Protokol ini membantu melindungi kami sebagai pekerja dan juga (kami) ada pemikiran bahawa kita ingin membantu masyarakat, terutama sekali semasa pandemik COVID. Kita rasa sedih apabila melihat masyarakat berdepan masalah," kongsinya kepada wartawan Afiqah Hussain.

PERJALANAN UNTUK BERGELAR PEGAWAI SAINTIFIK

Semasa di bangku sekolah, Falah tidak pernah menyangka beliau akan menjadi seorang pegawai saintifik yang menguji pelbagai jenis patogen.
Related article image
Falah bersama rakan-rakan di sekolah. (Gambar: Falah Yusrina)
Beliau hanya mula menyedari dan memahami kerjaya ini dengan lebih mendalam selepas mula bertugas di sebuah hospital awam.

"Saya mula bekerja di makmal diagnostik di hospital awam dahulu. Saya memperoleh lebih banyak pengalaman dan dari situ saya mula lebih menyedari tentang bidang ini,” kongsi Falah.

Di Politeknik Ngee Ann, beliau mengikuti pengajian dalam bidang berkaitan bioperubatan dan menyambung pelajaran di Universiti Queensland dalam jurusan berkaitan.

"Jadi apabila peluang untuk bekerja di NPHL dibuka kepada saya, saya terus menerimanya."
Related article image
(Gambar: Falah Yusrina)
Bagi yang berminat untuk menjadi seorang 'virologist' seperti dirinya, Falah berkata minat serta asas sains yang kukuh amat penting.

Beliau sendiri banyak bertanya dan membuat penelitian sebelum benar-benar yakin bahawa inilah kerjaya yang diminatinya.

"Selain mempunyai asas yang baik, latihan teknikal juga sangat penting. Pengalaman teknikal ini biasanya diperoleh melalui penyelidikan, latihan industri atau bekerja di makmal diagnostik," kata Falah.

"Terokai sains secara umum dahulu. Apabila sudah tahu bidang pilihan, barulah anda boleh memperoleh pengalaman yang diperlukan," tambahnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita