Faiq Faran aktif menabur bakti meski masih menuntut di politeknik; jasa diiktiraf NYAA
Kehidupan di luar negara tidak sentiasa indah, bak pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

(Gambar: Facebook/Republic Polytechnic)
Bagi Faiq Faran, beliau sekeluarga perlu menetap di Arab Saudi dari 2015 hingga 2018 kerana tuntutan kerja ayahnya. Walaupun gaya hidup di sana lebih santai dan memberi lebih banyak masa bersama keluarga, Faiq menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan yang berbeza.
“Pada masa itu, wajib untuk mengambil subjek seperti Al-quran, pengajian Islam, bahasa Arab dan Urdu. Saya perlu belajar semua subjek itu dan ia amat mencabar,” kongsi Faiq.

Malangnya, Faiq berdepan cabaran baharu ketika ingin memasuki sekolah menengah. Beberapa sekolah menolak permohonannya kerana beliau tidak mempunyai sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Faiq bahkan perlu menjalani satu peperiksaan khas untuk layak memasuki sekolah menengah.
“Apabila saya menduduki peperiksaan itu, saya gagal dengan teruk. Saya masih ingat, secara keseluruhan saya dapat markah satu angka untuk peperiksaan Matematik dan Sains," cerita Faiq.
"Ketika itu saya amat sedih. Ayah berada dengan saya dan saya boleh nampak kesedihan di wajahnya," tambah belia itu yang kini berusia 19 tahun.
Sejak itu, Faiq berjanji untuk berusaha sebaik mungkin demi membanggakan ibu bapanya. Selama sebulan, beliau tekun mempelajari sukatan pelajaran Singapura.
Usahanya membuahkan hasil apabila beliau lulus peperiksaan dan diterima masuk ke Sekolah Menengah Naval Base.

SERTAI PELBAGAI PERTUBUHAN, AKTIF BANTU MASYARAKAT
Mujur pengalaman pahit yang dilalui ketika baru memasuki alam remaja tidak mematahkan semangat Faiq. Peristiwa tersebut sebaliknya membuat Faiq lebih matang dan terdorong untuk membantu sesiapa yang dalam kesusahan.
Faiq kini penuntut tahun kedua dalam bidang sains farmaseutikal di Republik Politeknik tetapi beliau aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan di beberapa pertubuhan.
"Saya mula berkecimpung dalam bidang kesukarelawanan ketika di menengah dua, dan ketika itu saya menyertai kumpulan Belia Masjid Assyafaah," kata Faiq.

"Kami akan pergi ke satu dormitori di Woodlands dan bekerjasama dengan pekerja-hijrahan di sana. Kami akan melakukan aktiviti dengan mereka seperti boling, bufet, bersukan dan memberi ceramah tentang kesihatan mental serta hak pekerja," ujarnya.

Bagi Faiq, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan menjadi dorongan utamanya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
"Ia membuat saya berasa terhutang budi atas jasa mereka, dan saya ingin membalas kebaikan itu dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan," katanya.

DIIKTIRAF DENGAN ANUGERAH PENCAPAIAN BELIA KEBANGSAAN
Atas jasa dan sumbangannya kepada masyarakat, Faiq dianugerahkan Anugerah Emas Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) pada 10 Januari tahun ini.
"Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur dan bangga, diiktiraf oleh anugerah ini sebagai seorang sukarelawan. Dan ia jadi sumber motivasi saya untuk melakukan kebaikan kepada masyarakat," kata Faiq.
Penerima anugerah dinilai berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk keupayaan mengendalikan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Faiq terus aktif menyumbang tenaga dan kemahirannya sekalipun menerima anugerah tersebut bulan lalu. Beliau sudahpun mempunyai rancangan untuk meluangkan masa bersama golongan kurang daya penglihatan menerusi satu usaha dipanggil kem 'Beyond Barriers'.
Kem itu berlangsung pada hujung minggu ini (8-9 Mac). Ia diadakan hasil kerjasama dengan Belia Masjid Daerah Utara dan disokong Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH).

Antara aktiviti yang bakal dijalankan termasuk bengkel kesihatan mental, pendidikan mengenai pemakanan sihat, serta pengenalan kepada cara membaca Braille.
Di sebalik kesibukan akademiknya, Faiq sering mengingatkan diri tentang kegagalannya dalam peperiksaan kemasukan ke sekolah menengah.
"Ia membuat saya selalu cabar diri saya untuk melakukan yang terbaik, dan menolong masyarakat untuk mendapatkan sokongan yang mereka perlukan, seperti sokongan yang saya pernah terima dahulu," luahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.