Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: YouTuber Viral

Laila bertekad untuk berhenti sekolah walaupun bakal menamatkan alam persekolahannya dalam tiga bulan lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Laila bertekad untuk berhenti sekolah walaupun bakal menamatkan alam persekolahannya dalam tiga bulan lagi.

Semuanya berpunca daripada keyakinan kuat Laila bahawa alam persekolahan yang dilaluinya tidak memberi manfaat khususnya dari sudut menjana kemewahan.

Apatah lagi, Laila berjaya meraih pendapatan lebih RM20,000 sebulan hanya dengan menghasilkan kandungan video berbanding memanaskan bangku bilik darjah dalam tempoh yang sama!

Cikgu Aini, guru kaunseling sekolah Laila berusaha untuk menegahnya dengan berkongsi lima kes remaja yang “tewas” akibat ketaksuban menjadi terkenal di media sosial.

Kes pertama berkenaan Nora, seorang remaja yang dibelenggu hutang bernilai lima angka akibat mahu mendapatkan ramai pengikut di media sosial.
Sejak memiliki telefon sendiri, Nora mula taksub untuk menjana pengikut di media sosialnya, khususnya di Instagram.

Impiannya untuk menjadi “instafamous” menyebabkannya mengalami “mental addiction”, iaitu masalah ketagihan serius yang menyebabkannya melakukan sesuatu yang disukainya secara berterus-terusan dan berulang kali tanpa henti.

Nasihat Puan Aneesah, ibunya, untuk bijak menggunakan media sosial tidak diendahkan. Bahkan beberapa ketika, ibunya sendiri dibohongi.

Hubungan persahabatan dengan teman baiknya, Faiezah, turut dicemari dengan sikap angkuhnya sendiri.

Kecederaan yang dialami Nora dek melakukan aksi menangkap buah durian yang dilambung tinggi tidak membuatnya serik untuk menghasilkan kandungan yang menarik perhatian penonton.

Demi menambah pengikut laman media sosialnya, Nora terus menipu ibunya untuk meminjam kad kredit beliau untuk membayar kos perkhidmatan menambah pengikut dalam waktu singkat. Nilainya – RM25,000!

Perbuatan Nora membuat ibu bapanya marah dan kecewa. Sebagai usaha membayar balik hutang tersebut, Nora terpaksa melakukan pelbagai perkara seperti menjual pakaian dan barang-barang yang tak digunakan. Tekanan yang dialami Nora menyebabkan dia mengalami kemurungan.

Pada waktu sulit inilah, Nora mula insaf akan erti persahabatan yang sebenar dan bahaya ketaksuban menjadi terkenal di media sosial.

Dalam kes kedua, Rose, seorang pelajar, bersungguh-sungguh ingin memenangi gelaran Ratu Sekolah sempena jamuan akhir tahun sekolahnya.

Beliau ingin terkenal di media sosial apabila kelak berjaya merangkul gelaran itu.

Bagi merealisasikan impiannya, Rose mula mengamalkan diet pemakanan. Namun, sedikit amat kesan positifnya.
Carian di internet telah menemukannya dengan kaedah menguruskan badan menerusi pengambilan ubat-ubatan yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan.

“Kemajuan” dalam menguruskan badannya sering dimuat naik ke media sosialnya bagi menarik perhatian umum.

Walaupun perbuatan Rose diketahui ibunya lalu dihentikan, dia mengamalkan pula perbuatan memuntahkan semula makanan yang dimakannya. Obsesi beliau telah dirakam seorang budak nakal, dimuat naik ke Instagram lalu kisahnya menjadi viral!

Keadaan Rose yang semakin lemah menyebabkan beliau pengsan dan dikejarkan ke hospital. Sebelah buah pinggangnya terpaksa dibuang. Dinding perutnya juga mengalami luka-luka ulser selain gastrik yang serius!

Bacalah tiga lagi kes yang ditekuni oleh Laila dalam usaha guru kaunselingnya menahan dia daripada berhenti sekolah dan menyedarkannya tentang bahaya media sosial.

Adakah Laila akan tetap dengan keputusannya atau insaf dan bijak meletakkan kepentingan dalam kehidupannya sebagai pelajar dan remaja yang bijaksana?

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku-buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: YouTuber Viral
Penulis: Haida Kamarudin & Murni Safinaz
Nombor Panggilan: Teen Malay HAI
Penerbit: Berakas: Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan : Blink Book Sdn. Bhd., 2024
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan