Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Wayang Kulit Aidin

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam dunia Melayu, peranan Sang Pencerita sudah wujud sejak zaman dahulu lagi.

Gelaran yang diberikan bergantung kepada cara dan gaya penyampaiannya yang berbeza.

Sebagai contoh, di Kelantan beliau dipanggil Tok Selampit, yang bercerita dengan iringan muzik.

Di Perlis, beliau diberi gelaran Awang Batil oleh kerana cara penyampaiannya yang menggunakan batil iaitu sebuah bekas air yang diperbuat daripada tembaga.

Di kepulauan Jawa pula, tugas bercerita dijalankan oleh Tok Dalang dalam seni persembahan tradisional wayang kulit.

Kepelbagaian dalam seni penceritaan ini bukan sahaja mencerminkan daya kreatif masyarakat Melayu tetapi juga penekanan terhadap penyampaian sebuah cerita.

Dalam usaha kita melestarikan seni dan budaya Melayu, bagaimanakah pula seni penceritaan dapat diperkenalkan dan disampaikan kepada generasi muda dengan cara dan gaya yang tidak membosankan?

Salah satu caranya ialah melalui sastera kanak-kanak. Melalui alur cerita yang menarik serta watak-watak yang senang untuk dikenal pasti, kanak-kanak akan dapat mengaitkan kisah yang diceritakan dengan pengalaman mereka sendiri, memupuk jati diri, pada masa yang sama mempelajari tentang seni dan budaya masyarakat mereka.

Ditulis oleh Ismadiana Muhamad, “Wayang Kulit Aidin” merupakan sebahagian daripada siri buku cerita bergambar Siri Pengkarya Singapura yang diterbitkan Alam Cahaya dan disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Sesuai untuk dibaca bersama kanak-kanak prasekolah, siri ini merangkumi enam buku bergambar yang ditulis oleh sekumpulan pendidik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Buku-buku yang dihasilkan mengandungi kisah-kisah bertemakan budaya, permainan tradisi, hobi, serta tempat-tempat menarik di Singapura.

“Wayang Kulit Aidin” mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama Aidin yang sangat gemar bermain dengan bayang-bayang, sehinggakan ayahnya membelikan Aidin mainan wayang kulit. Setiap hari beliau bermain wayang kulit bersama kakak dan ayahnya.

Namun pada suatu hari, wayang kulit Aidin patah. Walaupun berasa amat sedih, Aidin tidak berputus asa malah melakukan pelbagai cara untuk membaiki wayang kulitnya.

Buku ini amat sesuai dibaca bersama dengan kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Selain memperkenalkan kepada pembaca kanak-kanak tentang budaya dan warisan, ia juga mempunyai nilai pengajaran tentang pentingnya sikap tidak berputus asa serta berdaya bingkas dalam menyelesaikan masalah.

Menarik untuk diperhatikan juga bagaimana penulis memilih untuk tidak melibatkan sebarang bantuan daripada orang dewasa sepanjang percubaan Aidin untuk membaiki wayang kulitnya, sehinggalah beliau menyelesaikan masalah tersebut secara berdikari.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku-buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Wayang Kulit Aidin
Penulis: Ismadiana Muhamad
Penerbit: Singapura: Alam Cahaya, 2025
Nombor Panggilan: Junior Singapore ISM
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita