Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Warisan Sakral Dari Perspektif Bahasa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Amalan dan ritual yang bertujuan memohon kebaikan dan menghindarkan bahaya sudah wujud berzaman lamanya.

Bahkan, hampir semua masyarakat di seluruh pelosok dunia memiliki petua, mantera, kepercayaan dan upacara tertentu mereka tersendiri.

Begitu juga dengan masyarakat di Nusantara, masih ada amalan dan ritual Melayu yang dipraktikkan walaupun Islam telah berkembang di rantau ini.

Buku ini merupakan satu usaha pendokumentasian untuk melestarikan warisan leluhur buat rujukan generasi akan datang.

Setebal 159 muka surat, buku ini dibahagikan kepada sembilan bab di mana setiap bab membincangkan aspek berbeza berkaitan amalan dan ritual sakral masyarakat di Malaysia.

Umpamanya, kajian Hishamudin Isam dan Mashetoh Abdul Mutallib yang terkandung dalam bab dua, merakamkan amalan penduduk kampung di Batu Pahat, Johor menyanyikan senandung mantera atau bacaan berlagu sebagai “pendinding” bagi tanaman dan haiwan ternak agar terpelihara daripada gangguan perosak.

Yang menariknya, para pengamal senandung mantera tidak lagi yakin sepenuhnya tentang kesan perbuatan mereka. Namun, tetap melakukannya kerana sudah terbiasa, untuk beradu suara, menghiburkan diri dan sebagainya.

Dalam bab lapan, Norhaniza Abdul Khairi pula membentangkan tentang pantang larang terpilih masyarakat Melayu berdasarkan penelitian beliau. Antara pantang larang yang beliau senaraikan termasuk jangan meniarap sambil mengangkat dan bersilang kaki, kerana mengundang padah emaknya mati; dilarang kencing di atas busut, nanti buruk kemaluan; makan nasi sampai habis, kalau tidak nasi menangis; dan jangan mandi malam, nanti paru-paru berair.

Menurut beliau, pantang larang merupakan medium pendidikan tidak formal yang berfungsi sebagai peraturan, tegahan dan kaedah untuk membentuk keperibadian masyarakat Melayu mengikut adat dan adab mereka.

Selain itu, ada juga perbincangan tentang mantera “Rinait Tingolig” iaitu amalan masyarakat Kadazan Dusun di Sabah (bab enam), dan kepercayaan “Po-Pi” orang Cina di Malaysia (bab tujuh).

Walaupun buku ini bersifat akademik, ia tetap sesuai sebagai bacaan umum untuk mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang warisan sakral masyarakat di rantau ini yang menampilkan kearifan tempatan (local wisdom) yang terkumpul sejak turun-temurun.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Warisan Sakral Dari Perspektif Bahasa
Penyunting/editor: Mohd Khaidir Abdul Wahab & Hasmidar Hassan
Penerbit: Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2025
Nombor Panggilan: 306.4409595 WAR
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita