Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: ‘Vaksin: Dunia Pasca Pandemik’ luah suara, sudut pendapat remaja hadapi pelbagai situasi

Jika anda mencari bahan bacaan untuk remaja yang kurang berminat untuk membaca dalam bahasa ibunda ataupun yang kurang stamina membaca, buku Vaksin: Dunia Pasca Pandemik sesuai buat mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: ‘Vaksin: Dunia Pasca Pandemik’ luah suara, sudut pendapat remaja hadapi pelbagai situasi

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 26 Feb 2022 07:58PM Dikemas Kini : 26 Feb 2022 07:58PM

BERITAmediacorp: Jika anda mencari bahan bacaan untuk remaja yang kurang berminat untuk membaca dalam bahasa ibunda ataupun yang kurang stamina membaca, buku Vaksin: Dunia Pasca Pandemik sesuai buat mereka.

Terdapat 4 kekuatan yang dihidangkan naskhah ini.

Pertama, 14 karya berkaitan isu semasa berpotensi menyuntik semangat membangunkan diri dan berdaya bingkas dalam kalangan pembaca remaja. Menukil prakata penyuntingnya, buku ini turut menawarkan vaksin empati, inovasi dan tumbesaran minda untuk remaja mengharungi waktu-waktu mencabar.

Kedua, susunan karya dipecahkan kepada dua bahagian, seumpama suntikan dua dos pencegah vaksin sedia ada. Bahagian pertama memuatkan karya pendek sekitar 200 hingga 400 patah perkataan. Manakala bahagian seterusnya memuatkan karya yang panjangnya sekitar 800 hingga 1,200 patah perkataan. Penyusunan sebegini, membantu remaja membina stamina membaca secara berperingkat-peringkat.

Ketiga, karya-karya yang dihasilkan 14 penulis berbilang profil ini mewakili suara atau sudut pandangan remaja dalam menghadapi pelbagai situasi. Pembaca remaja mudah mengaitkan pengalaman dan jalan fikir watak utama dalam setiap cereka.

Keempat, buku ini mampu memperkayakan pengetahuan kosa kata dan merangsang perbincangan lanjut tentang setiap karya seusai kegiatan membaca. Selain glosari perkataan terpilih disediakan di penghujung setiap cerpen, soalan-soalan pencetus perbincangan lanjutan mempertajamkan kemahiran kefahaman tentang apa yang baru pembaca tekuni.

Terdapat beberapa karya yang wajar diberikan perhatian kerana memiliki kekuatan membentuk pemikiran kritis pembaca.

Antaranya, “Cita-cita Eli” karya Chempaka Aizim. Eli, bercita-cita untuk menjadi seorang pemandu kereta sewa persendirian seperti bapanya kerana “kerjaya” ini memungkinkan ahli keluarganya boleh meluangkan banyak masa untuk bersama.

Cerpen “Alpa” tulisan Pasidah Rahmat pula menuntut pembaca bersikap bertanggungjawab menjaga diri daripada dijangkiti wabak. Sifat memberontak, bongkak dan mementingkan diri sendiri watak Izwan menyebabkan adiknya, Azura, dirawat di ICU kerana komplikasi penyakit semput akibat jangkitan COVID-19!

Begitu juga dengan Syira dalam cerpen “Anime” karya Fathiah Jamal yang mengangkat kepentingan sifat empati dan sokongan teman sebaya dalam membantu pesakit disleksia membina keyakinan diri.

“Ratu Booktube” oleh Nur Khairiah mengedepankan idea menggalakkan amalan membaca dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan media sosial.

Ringkasnya, antologi ini menawarkan pilihan bahan bacaan yang segar untuk golongan remaja khususnya mereka yang liat membaca atau mempunyai stamina membaca yang rendah.

Manfaatkanlah juga antologi Pandemik: Antologi Fikyen Pendek (Nombor Panggilan Y SING Malay PAN) yang merupakan prequel kepada buku ini.

Tajuk: Vaksin: Dunia Pascapandemik
Penyunting: Mohd Tahir Talib & Nur-El-Hudaa Jaffar
Penerbit: Singapura: Ungu Pen, 2021.
Nombor Panggilan: Y SING Malay VAK
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa