Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: 'Ustaz Avengers' suntik inspirasi; perkasa kerohanian remaja

Sempena meraikan bulan Ramadan, komik ini amat sesuai dimanfaatkan para remaja untuk bermuhasabah diri.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Ustaz Avengers' suntik inspirasi; perkasa kerohanian remaja

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 23 Apr 2022 10:13PM Dikemas Kini : 23 Apr 2022 10:20PM

BERITAmediacorp: Sempena meraikan bulan Ramadan, komik ini amat sesuai dimanfaatkan para remaja untuk bermuhasabah diri.

Empat kisah pendek yang dipaparkan bukan sahaja membuat pembaca merenung ke dalam diri, bahkan mendorong mereka untuk memperbaiki peribadi dengan mendekatkan diri kepada Pencipta.

Kisah “Kejutan” mendedahkan realiti keadaan remaja masa kini yang sering terdedah kepada pengaruh negatif dunia digital yang terlalu mudah diakses menerusi telefon bijak.

Kelemahan iman dan tanpa kebijaksanaan penggunaannya menyebabkan ramai remaja, termasuk dalam kalangan pelajar di institusi keagamaan terjerumus ke lembah kemaksiatan.

Peranan ibu bapa, sifat bertanggungjawab remaja berserta sokongan para pendidik penting bagi menjamin kesejahteraan maruah diri dan golongan muda.

Kisah “Baik’kan Allah?” mengajak pembaca bersyukur dengan kurniaan-Nya. Pertemuan Ustaz dan Muiz dengan Luqman, pemuda yang cacat pada kaki dan tangannya, pasti menginsafkan para pembaca. Luqman tidak pernah kesali keadaan dirinya, bahkan berterusan mensyukuri nikmat ini dengan melaksanakan semua perintah Ilahi dengan gigih sekali.

Kisah Luqman mengejutkan remaja yang alpa terhadap pelbagai kenikmatan kurniaan-Nya agar segera “kembali ke pangkal jalan”.

Usia bukan penghalang bagi seseorang untuk memperbaiki diri. Rasa tanggungjawab terhadap diri, agama dan keluarga akan mendorong kita untuk mencari ruang dan peluang untuk menuntut ilmu tanpa rasa malu. Begitulah ringkasan kisah “Al-Quran Buruk”.

Apakah erti kejayaan di dunia jika hubungan dengan Ilahi tidak selari?

Inilah isu yang dibangkitkan dalam “Solehkah Aku?”. Badrul, seorang pelajar cemerlang, buntu apabila perlu menguruskan jenazah ayahnya yang baru berpulang dek kekurangan dirinya dalam hal keagamaan.

Mujurlah, mendapat bantuan ustaz dan para jemaah di surau untuk melaksanakan fardu kifayah ini.

Ringkasnya, komik setebal 97 halaman yang menghimpunkan beberapa kisah benar ini pasti dapat menyuntik motivasi kepada pembaca remaja untuk memperkasakan sudut kerohanian mereka.

Lungsuri laman katalog kami https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang komik ini.

Tajuk: Ustaz Avengers
Penulis/Pelukis: Syakirin Yuslan, Afiq Syazwan/Syafy Zahin.
Penerbit: Batu Caves, Selangor: Puteh Press an imprint of Open Bridge Publications Sdn Bhd., 2020 ©2019
Nombor Panggilan: Y Malay 741.59595 SYA -[CMX]
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan