Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Trampolin Ciptaan Nadia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Nadia ingin ke bulan! Keinginannya telah didengari seekor burung hantu bijaksana yang menyarankan beliau membuat sebuah trampolin. Menurutnya, alat ini dapat membantu Nadia melompat tinggi ke langit.

Nadia segera menyiapkan trampolinnya yang pertama. Ia diperbuat daripada hula dan pita pembalut berwarna perak.

Namun, ciptaannya ini tidak membantunya melompat tinggi.

Beliau segera menghasilkan trampolin kedua menggunakan batang buluh dan segulung tikar getah. Walaupun beliau berjaya melompat lebih tinggi daripada sebelumnya, ciptaan kali ini masih belum dapat memenuhi hasratnya.

Nadia tidak berputus asa dan terus menghabiskan masa hari-hari seterusnya menyiapkan lebih banyak trampolin pelbagai ciri.

Beliau berusaha menghasilkan trampolin yang besar, kukuh malah yang tinggi.

Malangnya, tiada satu pun yang sempurna untuk “menerbangkan” dirinya ke bulan!

Semua trampolin yang dihasilkan akhirnya terbengkalai kehilangan fungsi sehingga pada suatu masa banyak haiwan mengunjungi rumahnya untuk mengambil trampolin-trampolin tersebut dengan izinnya.

Si orang utan yang malas mahukan trampolin merah untuk memetik buah rambutan yang ranum dari pokok.

Harimau bintang berkaki tempang pula mendapatkan trampolin rotan berwarna kuning untuk menyimpan makanannya di atas pokok.

Haiwan-haiwan lain datang menyusul untuk memiliki kesemua trampolin Nadia yang ada.

Si burung hantu bijaksana yang bersimpati dengan Nadia terus berfikir dan akhirnya mendapat idea baru untuk memenuhi impian Nadia mendarat di bulan.

Apakah idea tersebut?

Masihkah ada peluang untuk Nadia mendakap hajatnya?

Nikmatilah cerita menarik ini yang sarat dengan nilai pengajaran murni. Antaranya, pembaca dididik tentang kepentingan sikap bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa dalam mencapai cita-cita.

Deria kreatif pembaca turut dirangsang berpaksikan pengetahuan sains dalam menghuraikan cabaran semasa.

Pelbagai inisiatif Nadia menghasilkan banyak trampolin dengan ciri-ciri berbeza menjadi sorotan penting penulis dalam menggalak kanak-kanak bereksperimen dengan objek-objek di sekeliling mereka bagi membantu menghasilkan sesuatu yang membantu mereka mencapai impian mahupun keinginan.

Sekali gus, menggalak kanak-kanak mengasah kemahiran menyelesaikan masalah.

Lungsurilah laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg atau https://nlb.overdrive.com untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam bahan bacaan ini.

Tajuk Buku: Trampolin Ciptaan Nadia
Penulis: Darren C. Ong
Penerbit: Singapura: Lembaga Perpustakaan Negara, 2022.
Nombor Panggilan: J SING Malay ONG
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan