Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Tony Tapir dan Rakan-Rakan

Tiada makhluk di dalam dunia ini yang mampu hidup bersendirian.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Tony Tapir dan Rakan-Rakan

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 31 May 2025 03:47PM Dikemas Kini : 31 May 2025 03:48PM

SINGAPURA: Tiada makhluk di dalam dunia ini yang mampu hidup bersendirian.

Manusia saling bergantung antara satu sama lain — begitu juga dengan haiwan.

Inilah mesej utama yang diketengahkan dalam “Tony Tapir dan Rakan-Rakan”, sebuah buku kanak-kanak yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mengangkat nilai-nilai murni seperti keberanian dan empati.

Selain itu, jiwa kemasyarakatan turut ditekankan.

Buku karya Patricia G.I Chew yang asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris ini memperkenalkan pembaca kepada pelbagai watak haiwan yang menghuni Hutan Malar Hijau. Setiap watak, antaranya Rex Sang Singa yang berani, Muna Si Monyet yang nakal, dan Rajah Si Gajah yang gagah, mencerminkan kepelbagaian sifat dan keupayaan.

Walaupun begitu, haiwan-haiwan ini mampu hidup dalam aman dan harmoni.

Namun kedamaian itu tergugat apabila satu tragedi berlaku — anak kepada Oona Si Orang utan ditemui mati dalam keadaan yang amat mencurigakan. Lebih membimbangkan, kejadian tersebut pernah terjadi sebelum ini. Semakin hari, semakin banyak penghuni hutan menjadi mangsa kematian misteri!

Akibatnya, Hutan Malar Hijau mula dilanda suasana tegang, dipenuhi rasa takut, syak wasangka dan kebimbangan. Bagi mengembalikan keamanan Hutan Malar Hijau, para haiwan mengetepikan perbezaan antara mereka dan bersatu untuk merungkai misteri yang melanda kediaman mereka.

Dari segi penyampaian, bahasa yang digunakan di dalam buku ini mudah difahami dan sesuai untuk pembaca muda. Dialog antara watak-watak haiwan pula disampaikan dengan cara yang ringkas membuat pembacaan lebih menyeronokkan.

Selain itu, elemen visual di dalam buku ini turut memainkan peranan besar dalam menarik minat pembaca. Setiap permulaan bab dihiasi dengan ilustrasi berwarna-warni yang ceria dan menarik hati. Ilustrasi ini bukan sahaja memperindahkan buku, malah menguatkan daya tarikan untuk kanak-kanak terus membaca hingga ke penghujung cerita.

Secara keseluruhannya, buku ini mengajak pembaca muda untuk menghargai kepelbagaian sifat dalam masyarakat, menyemai nilai hormat dan bekerjasama ke arah kebaikan bersama. Ia menyampaikan mesej bahawa setiap individu — tidak kira latar belakang, peranan atau kekuatan — mempunyai tempat dan sumbangan dalam masyarakat. Kepelbagaian bukan kelemahan, tetapi ia merupakan kekuatan apabila diraikan dengan kebijaksanaan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Tony Tapir dan Rakan-Rakan
Penulis: Patricia G.I Chew
Penerbit: Singapura: Poppet, 2024
Nombor Panggilan: J SING CHE
Pengulas: Sakinah Yusof, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita