Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Sosiologi Rasuah: Sifat, Fungsi, Punca dan Pencegahan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Karya Syed Hussein Alatas (SHA) ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1968 dalam Bahasa Inggeris.

Ia telah diangkat sebagai karya penting di peringkat antarabangsa yang mempengaruhi kajian terkemudian tentang isu rasuah dan korupsi.

Terbitan 2024 dalam Bahasa Melayu ini membuktikan perkara berkenaan rasuah yang telah diperincikan oleh SHA lebih lima puluh tahun lalu masih relevan hingga ke hari ini.

Tajuk yang sama juga telah diterbitkan oleh LP3ES, yang merupakan terjemahan dalam Bahasa Indonesia pada tahun 1980-an.

Dalam buku ini, SHA menekankan bahawa rasuah merupakan fenomena sosial yang rumit kerana berkait dengan dimensi sejarah, politik dan ekonomi.

Beliau membidas pihak Barat yang menyifatkan rasuah sebagai masalah negara atau masyarakat yang terkebelakang dan kurang maju. Beliau juga menegaskan bahawa pemerintahan kolonial yang menggalakkan sistem pentadbiran yang kurang telus.

Pendapat sesetengah pihak bahawa rasuah itu perlu untuk memudahkan pelaksaaan sesuatu tugas disangkal keras oleh SHA. Sebaliknya beliau mengecam rasuah sebagai amalan yang merosakkan diri dan masyarakat.

Prasarana pemerintahan dan kerangka undang-undang yang lemah membolehkan rasuah berleluasa. Ini akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah terhakis.

Oleh itu SHA menyarankan jalan keluar yang merangkumi pelbagai kaedah untuk menangani masalah rasuah daripada pelbagai sudut.

Selain daripada penggubalan undang-undang, SHA menyeru kepada golongan elit dan intelektual untuk membentuk masyarakat yang mempunyai dasar etika yang kukuh.

Bentuk dan cara rasuah akan berubah mengikut peredaran masa. Maka, nilai dan sikap pihak pemerintah dan masyarakat yang menitikberatkan ketelusan, sifat amanah serta bertanggungjawab yang akan menentukan keberkesanan usaha melawan rasuah.

Walaupun buku ini bersaiz kecil dan hanya setebal 110 halaman, ia sarat dengan keprihatinan SHA akan masalah rasuah yang menghambat kemajuan sesebuah negara.

Selain buku ini, SHA juga menghasilkan beberapa karya lain yang turut membincangkan masalah rasuah seperti “The Problem of Corruption” dan “Corruption and the Destiny of Asia”.

Sejajar dengan hasrat penerbit, diharap pembaca dapat menghadam konsep dan gagasan SHA untuk turut memainkan peranan membangunkan negara dan masyarakat yang bersih daripada rasuah.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Sosiologi Rasuah: Sifat, Fungsi, Punca dan Pencegahan
Penulis: Syed Hussein Alatas
Penerbit: Bandar Baru Bangi, Selangor: Intisari, an imprint of Kawah Buku, 2025
Nombor Panggilan: Adult Malay 364.1323 ALA
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita