ePustaka: ‘Sima Guang dan Balang Besar: Sebuah Cerita Rakyat Cina’
Buku bergambar memainkan peranan penting dalam mendidik kanak-kanak tentang nilai pengajaran moral dan peribadi murni.

(Gambar: NLB)
BERITAmediacorp: Buku bergambar memainkan peranan penting dalam mendidik kanak-kanak tentang nilai pengajaran moral dan peribadi murni.
Antara kandungan yang sering dikedepankan dalam menjayakan usaha ini ialah cerita rakyat.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cerita rakyat adalah cerita rekaan yang disukai ramai pada zaman dahulu dalam sesuatu masyarakat yang diturunkan daripada generasi kepada generasi secara lisan.
Cerita Sima Guang dan Balang Besar tergolong dalam kategori ini. Ia mengisahkan satu peristiwa yang berlaku di sebuah perkampungan Cina.
Sekumpulan kanak-kanak sedang seronok bermain sembunyi-sembunyi apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam balang air yang besar setelah tergelincir dari atas pokok tempat beliau bersembunyi.
Teman-temannya tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menyelamatkannya kerana saiz balang air tersebut yang melampaui saiz tubuh mereka sendiri.
Ada yang mula menangis sementara ada dalam kalangan mereka yang mendapatkan bantuan.
Dalam keributan keadaan, hanya Sima Guang tenang dalam usahanya menyelamatkan temannya itu.
Dipendekkan cerita, Sima Guang dianggap sebagai wira setelah berjaya menyelamatkan nyawa temannya.
Walaupun cerita rakyat ini amat ringkas, ia sarat dengan pelbagai pengajaran.
Antaranya, kepentingan memiliki kebijaksanaan dalam menghuraikan masalah. Sifat setiakawan turut ditekankan dalam menjalani kehidupan seharian.
Selain itu, para pembaca cilik juga diingatkan tentang sikap bertanggungjawab menjaga keselamatan diri dan ahli kumpulan ketika menjalani apapun aktiviti.
Oleh kerana cerita rakyat diperturunkan secara lisan, perubahan dan penyesuaiannya dengan masa serta situasi boleh terjadi termasuklah latar budaya dan fizikalnya.
Namun, dasar mendidik nilai murninya tetap dikekalkan.
Makanya, tiada kemustahilan sebuah cerita rakyat yang berasal dari negeri Cina boleh terdapat persamaannya dengan cerita rakyat di Nusantara.
Begitu juga sebaliknya.
Nikmatilah juga judul lain daripada siri buku Si Cilik Hebat = Litle Kids, Big Ideas ini termasuklah Hang Nadim dan Todak.
Lungsurilah laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.
Tajuk: Sima Guang dan Balang Besar: Sebuah Cerita Rakyat Cina = Sima Guang and The Giant Jar: A Chinese Folktale
Penulis: Diceritakan semula oleh Lee Seow Ser; diterjemahkan oleh Hidayah Amin
Penerbit: Singapore : Helang Books, sebuah imprin Archipelago Consultancy, 2022.
Nombor Panggilan: SING Malay 398.2095 LEE-[FOL]
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.