Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Si Gadis & Kucingnya

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Si Gadis & Kucingnya

Buku 'Si Gadis & Kucingnya'. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 09 May 2026 03:20PM Dikemas Kini : 09 May 2026 03:23PM
SINGAPURA: Jalan cerita komik “Si Gadis & Kucingnya”, yang merupakan adaptasi daripada “She and Her Cat” oleh Makoto Shinkai, berkembang perlahan dan menyenangkan seperti perubahan musim yang menjadi getar nadi ceritanya.

Kisah ini bermula apabila Miyu membawa pulang seekor kucing jalanan bernama Chobi pada suatu hari dalam musim bunga. Semenjak detik itulah, hubungan antara seorang gadis muda dan kucingnya mula terjalin. Komik yang mengusik emosi ini, mengangkat tema perubahan, kesunyian dan kehadiran teman yang mampu memberikan makna kepada hari-hari yang terasa kosong.

Sebahagian besar cerita disampaikan dari sudut pandangan Chobi yang amat mengagumi dan mengasihi Miyu setulus hati. Melalui pandangan seekor kucing yang amat menyayangi tuannya, pembaca dapat melihat sisi Miyu yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Oleh sebab seluruh dunianya tertumpu kepada Miyu, Chobi peka terhadap perkara-perkara kecil tentang gadis itu, seperti caranya bercakap, termenung sendirian dan tika dia pulang lewat.

Dari situlah, pembaca perlahan-lahan memahami kesunyian dan beban emosi yang dipendam Miyu. Perspektif Chobi tentang gadis itu menyerlahkan lapisan hubungan emosi yang lembut antara mereka berdua.

Seiring perubahan musim, kisah Miyu turut bergerak memasuki fasa kehidupan dewasa yang semakin rumit. Miyu digambarkan sebagai seorang anak muda yang sedang cuba menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam hidupnya, daripada menerima perkahwinan baharu ibunya sehinggalah dia belajar membina hubungan dengan orang di sekelilingnya.

Dalam dunia yang sering terasa asing baginya, Miyu juga bergelut untuk berkomunikasi secara semula jadi sehingga dia sanggup membaca buku tentang cara berbual dengan orang lain. Perincian tindakan dan peribadi seperti ini menjadikan wataknya hidup dan dekat dengan pembaca, terutama mereka yang pernah melalui fasa mencari dan membina keyakinan diri.

Nada cerita juga berubah mengikut musim. Babak-babak musim luruh dan musim sejuk terasa lebih melankolik, sunyi dan perlahan, seiring emosi Miyu yang semakin sarat dengan bebanan. Namun, komik ini tidak tenggelam dalam kesedihan semata-mata. Sedikit demi sedikit, rasa ketenangan dan bahagia mula menjelma.

Seperti kebanyakan karya genre “slice of life” atau sebahagian daripada kehidupan, “Si Gadis & Kucingnya” tidak digerakkan oleh konflik besar. Sebaliknya, kekuatannya terletak pada detik-detik kecil yang perlahan-lahan membina emosi dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Komik ini sesuai untuk remaja yang lebih matang kerana temanya menyentuh soal kesunyian, hubungan kekeluargaan, pencarian diri dan cabaran memasuki alam dewasa.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.


Tajuk: Si Gadis & Kucingnya
Penulis: Makoto Shinkai
Nombor Panggilan: Malay Teen 741.5952 SHI [CMX]
Penerbit: Kuala Lumpur: Kadokawa Gempak Starz, 2025.
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita