ePustaka: Sesayup Jalan
SINGAPURA: Sesayup Jalan ialah kumpulan puisi Dr. Zurinah Hassan yang pertama.
Bahkan bertambah keistimewaan naskhah ini kerana beliau juga merupakan penulis wanita pertama yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara wanita pertama Malaysia pada 2016.
Termuat dalam kumpulan puisi ini adalah 37 buah sajak yang ditulis dari 1967 hingga 1973.
Menurut Dr. Zurinah, penulis kelahiran Kedah pada 1949 ini, sajak-sajak ini pada keseluruhannya merupakan “suara hati seorang anak muda”. Kebanyakan karya yang terkandung dalam buku ini pernah disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Utusan Zaman, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat.
Kumpulan puisi ini terbahagi kepada tiga bahagian.
Bahagian pertama singkat sahaja dan memaparkan sajak-sajak tentang keindahan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di mana beliau mengikuti pengajian untuk memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian).
Sajak-sajak dalam bahagian kedua pula menunjukkan perjalanan beliau mencari erti kehidupan sebagai anak muda yang sedang mendewasa. Perasaan yang paling terserlah dalam bahagian ini ialah keresahan dan kesunyian. Contohnya, dalam sajak bertajuk “Di Padang Pasir Yang Penuh Manusia”, Zurinah menggambarkan kesepian, “Tahun demi tahun / manusia kian kejar-mengejar / tiada masa lagi untuk menoleh ke kanan dan kiri / dan memberi salam / jadilah mereka semakin jauh / bagi tidak mengenali lagi / sesama sendiri.”
Bahagian terakhir kumpulan puisi ini pula bertemakan penderitaan yang sentiasa hadir dalam masyarakat bahkan menjadi perkara biasa.
Beliau menggambarkan kepahitan yang dilalui oleh golongan kurang bernasib baik. Umpamanya, dalam sajak berjudul “Kawan”, beliau menulis: “Hari ini serinya telah hilang / tinggal keluh lemas / dilemaskan bayaran yuran dan harga buku / sedang ayah kekosongan saku.”
Sebenarnya, kumpulan puisi ini diterbitkan kali pertama pada 1974 atas galakan dan sokongan Naib Canselor USM ketika itu, Tan Sri Datuk Profesor Hamzah bin Sendut. Ia juga mencipta sejarah sebagai buku pertama terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Pada tahun lalu, ia diterbitkan kembali oleh penerbit yang sama dan diberikan wajah baharu.
Terbitan terkini ini juga diiringi beberapa gambar yang merakamkan kegiatan-kegiatan penulis termasuk persembahan deklamasi sajak di atas pentas.
Kumpulan puisi ini baik dibaca dan dinikmati untuk lebih mengenali Sasterawan Negara Dr. Zurinah Hassan.
Selain rakaman sejarah yang meruntun emosi, pembaca juga pasti terdorong untuk merakam secebis kehidupan sendiri menjadi kenangan dan pedoman abadi.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Sesayup Jalan
Penulis: Zurinah Hassan
Penerbit: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2023
Nombor Panggilan: Adult Malay 899.281 ZUR
Pengulas: Toffa Abdul Wahed, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.