Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Sesat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kisah kehilangan kanak-kanak ketika berkhemah di hutan bukan sesuatu yang baharu.

Bahkan sering dikaitkan dengan “penculikan” mangsa dan dibawa ke alam ghaib. Begitulah ringkasan novel kanak-kanak ini yang menjalinkan genre pengembaraan dan fantasi.

Sewaktu berkhemah dengan keluarganya di hutan Taman Negara Pahang, Imran telah tersesat dalam cuaca buruk ketika mencari kayu untuk menggantikan tiang khemah yang patah. Seorang budak lelaki misteri muncul menyelamatkannya daripada dipatuk ular tedung.

Imran segera dibawanya ke sebuah kawasan yang cantiknya luar biasa. Keadaan ini membuatnya kehairanan, umpama berada di syurga. Terdapat sebuah istana yang dihuni oleh seorang permaisuri, digelar Maharani, yang merupakan ibu kepada budak yang menyelamatkan Imran.

Dipanggil manja, Sayang, oleh Maharani, budak itu melayani Imran dengan amat baik sekali kerana mahu Imran menjadi sahabat sejati.

Kehidupan Imran penuh keseronokan di alam ajaib yang baru dihuni. Di sini, haiwan liar dan buas semuanya jinak-jinak belaka. Singa, harimau, rusa, gajah dan ular dijadikan teman hiburan. Imran mula melupakan hakikat dirinya telah tersesat di hutan, dan keinginan untuk disatukan kembali dengan keluarganya sudah terpadam daripada ingatan. Apatah lagi, beliau menerima layanan yang sungguh membahagiakan!

Malangnya, raja di alam ini zalim. Setelah membunuh raja terdahulu, iaitu suami kepada Maharani, dia memperisterikannya pula. Raja tidak menyukai Imran dan mengarahkannya ditangkap. Sayang, dengan bantuan Atuk, yang merupakan ayah kepada Maharani, segera menyelamatkan Imran dengan menyembunyikan beliau di sebuah gua.

Raja begitu marah lalu mengarahkan naga peliharaannya untuk mengesan Imran. Satu pertempuran terjadi antara Raja, naganya dan Atuk. Raja yang zalim berjaya ditewaskan dan kehidupan di alam itu kembali nyaman.

Imran dan Sayang, menjadi anak emas Maharani. Kedua-duanya dilatih ilmu bela diri sehingga mahir untuk menjadi tunggak penjaga keamanan negeri ghaib ini.

Ternyata, merekalah harapan Maharani yang kemudiannya mematahkan serangan dendam adik Raja yang zalim dan naga yang ditewaskan dahulu.

Walaupun dua bulan berlalu, ibu bapa Imran, Encik Aswad dan Puan Niza, tidak berputus asa untuk menemukan semula anak mereka.

Setelah pihak polis menghentikan usaha mencari Imran, pasangan ini mendapatkan bantuan ketua orang Asli, Tok Batin.
Tok Batin yang terkenal dan dihormati kerana kepakarannya dalam ilmu perhutanan dan pengetahuan tentang alam ghaib menerima amanah itu.

Kali ini, Imran berjaya ditemui di alam ghaib itu. Namun, usaha untuk membawa Imran kembali ke dunia nyata ternyata menghadapi pelbagai rintangan!

Apakah cabaran yang dihadapi Tok Batin? Berjayakah Imran dibawa keluar dari alam ghaib itu?

Pelbagai kisah misteri dan fantasi yang menyelubungi pengalaman Imran merentasi dua alam akan tersingkap apabila anda menikmati novel menarik ini!

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.


Tajuk: Sesat
Penulis: Nabun Ahmad
Penerbit: Ceras, Kuala Lumpur: Nabun Ahmad, 2022
Nombor panggilan: Malay Junior NAB
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita