Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Semuanya Untuk Cantik

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Semuanya Untuk Cantik

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 02:27PM
SINGAPURA: Apakah makna kecantikan, dan sejauh manakah ia membentuk cara kita melihat diri sendiri?

“Semuanya Untuk Cantik: Memahami Realiti Beauty Privilege Dalam Dunia Yang Hanya Menilai Kecantikan Luaran” mengajak pembaca merenung persoalan ini sekali gus menilai semula hubungan antara imej badan, harga diri dan penerimaan masyarakat tentangnya.

Kekuatan utama buku ini terletak pada gabungan kepakaran kedua-dua penulisnya. Arlina Arshad, yang mendalami bidang psikologi klinikal dengan pengkhususan dalam imej badan, berganding bahu dengan Dr Fatimah Mohd Nor, seorang pakar bedah plastik untuk mengetengahkan perbincangan yang menyeluruh, mengimbangi aspek psikologi dan fizikal tentang topik ini.

Penulisan mereka turut diperkuatkan dengan dapatan penyelidikan serta teori akademik yang mudah difahami.

Sebahagian besar buku ini berpaksikan pengalaman peribadi Arlina yang pernah bergelut dengan isu berat badan dan kesan kritikan terhadap penampilannya.

Pengalaman tersebut menjadi titik tolak kepada perbincangan yang lebih luas tentang bagaimana tekanan sosial membentuk persepsi seseorang terhadap tubuh dan dirinya sendiri sejak usia muda.

Pada masa yang sama, Dr Fatimah membawa perspektif yang tidak menghakimi terhadap mereka yang memilih untuk menjalani pembedahan plastik.

Sebaliknya, beliau memanusiakan kisah di sebalik setiap keputusan, menunjukkan bahawa keinginan untuk mengubah penampilan sering berpunca daripada rasa tidak yakin, pengalaman hidup atau keperluan mendapatkan penerimaan dan bukan sekadar mengejar kesempurnaan.

Perbincangan tentang media sosial juga sangat relevan. Penulis mengakui bahawa platform digital mempercepatkan budaya perbandingan dan meningkatkan kecenderungan terhadap gangguan imej badan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Namun, penulis turut mengingatkan bahawa tekanan terhadap standard kecantikan bukanlah fenomena baharu. Para pembaca diingatkan bahawa tekanan terhadap standard kecantikan sebenarnya telah lama dipupuk melalui iklan, majalah dan media tradisional.

Hal ini menunjukkan bahawa isu ini bukan sekadar fenomena digital, tetapi sebahagian daripada sistem sosial yang telah berakar umbi.

Bab mengenai layanan istimewa untuk orang cantik, atau “pretty privilege” turut mencetuskan renungan, meskipun topik tersebut boleh dikembangkan dengan lebih mendalam.

Penulis menolak optimisme palsu seperti ungkapan "cantik itu subjektif" sebagai penyelesaian mudah.

Sebaliknya, pembaca digalakkan mengamalkan belas ihsan terhadap diri sendiri serta memahami bahawa wajah hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan diri manusia.

Jika anda pernah mempersoalkan nilai diri di hadapan cermin atau ingin memahami bagaimana masyarakat membentuk definisi kecantikan, buku ini wajar dijadikan sebagai bahan bacaan pilihan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Semuanya Untuk Cantik: Memahami Realiti Beauty Privilege Dalam Dunia Yang Hanya Menilai Kecantikan Luaran
Penulis: Arlina Arshad & Dr Fatimah Mohd Nor
Nombor Panggilan: Malay Adult 111.85 ARL
Penerbit: Kajang, Selangor: Iman Publication, [2025]
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita