ePustaka: Selamat Pulang, Bayang
Anggaran Waktu Membaca:
Buku berjudul 'Selamat Pulang, Bayang'. (Gambar: NLB)
New: You can now listen to articles.
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: “Selamat Pulang, Bayang” karya Husna Rosli, mengangkat tema yang dekat dengan realiti belia dan remaja masa kini, khususnya tentang pembulian, pencarian identiti diri dan sisi gelap manusia yang sering tersembunyi di sebalik imej yang dipaparkan kepada dunia.
Berlatarkan era media sosial yang membentuk persepsi serta hubungan manusia dengan begitu kuat, novel ini membawa pembaca menyelami hakikat bahawa setiap insan mempunyai lapisan peribadi, pengalaman dan luka yang tidak semestinya terlihat pada zahirnya.
Kisah ini mengikuti Dalili, seorang gadis yang dibesarkan dalam persekitaran yang terjaga dan memandang dunia secara hitam putih. Apabila melangkah ke alam kolej dan hidup berdikari buat pertama kali, Dalili masih berpegang kepada prinsip bahawa kebaikan pasti mengatasi kejahatan.
Sikapnya yang sentiasa berusaha memenuhi harapan orang lain akhirnya membawanya bertembung dengan Camilla dan Eryna, dua pelajar yang digeruni ramai kerana sikap mereka yang suka membuli.
Konflik bermula apabila Dalili cuba mempertahankan seorang mangsa buli. Namun, tindakan yang dianggap mulia itu menjadikannya sasaran baharu. Dari sinilah cerita bergerak ke arah konflik yang semakin berat sehingga memuncak dalam satu insiden yang menyebabkan Dalili koma. Dalam keadaan antara hidup dan mati, Dalili bertemu dengan sebuah “bayang” dan berpeluang menyaksikan kehidupan Camilla dan Eryna dari sudut yang tidak pernah diketahuinya.
Bahagian inilah yang menjadi kekuatan utama novel ini.
Husna Rosli tidak sekadar menampilkan pembuli sebagai watak yang jahat semata-mata, sebaliknya berusaha menelusuri faktor yang membentuk mereka.
Eryna bergelut dengan isu imej tubuh serta tekanan keluarga, manakala Camilla pula membesar dalam persekitaran rumah tangga yang penuh penderaan dan kemarahan yang tidak pernah terungkai.
Pendekatan ini menjadikan tema pembulian lebih bernuansa dan mengingatkan pembaca bahawa tingkah laku yang menyakitkan sering berpunca daripada luka yang lebih mendalam.
Pada masa yang sama, novel ini turut mencerminkan realiti semasa, apabila pembulian tidak lagi terhad kepada ruang fizikal.
Pengaruh media sosial, keinginan untuk diterima, obsesi terhadap penampilan dan tekanan untuk menampilkan kehidupan yang sempurna menjadi antara isu yang mewarnai penceritaan.
Melalui tema-tema ini, novel ini memperlihatkan bagaimana penghakiman, perbandingan sosial dan tekanan masyarakat boleh mempengaruhi pembentukan seseorang individu.
Walaupun bahagian awal novel terasa agak tergesa-gesa dan plotnya tidak begitu luar biasa, jalan ceritanya tetap mudah diikuti dan mengalir dengan lancar.
Bahasa yang digunakan juga merupakan antara kekuatan novel ini. Dalam suasana novel kontemporari yang sering bergantung kepada campuran Bahasa Inggeris, Husna Rosli memilih untuk mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan konsisten.
Namun begitu, terdapat beberapa bahagian dialog dan naratif yang terasa sedikit kaku, sekali gus mengurangkan kesan pembacaan dalam sesetengah adegan.
Perkembangan watak utama dan antagonis juga agak terhad menjelang penutup cerita. Meskipun pembaca diberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang latar belakang mereka, perubahan yang benar-benar ketara pada watak-watak utama tidak banyak diperlihatkan.
Pembaca yang lebih matang mungkin dapat menjangka beberapa perkembangan cerita dan mendapati pengolahan temanya agak konvensional.
Namun begitu, secara keseluruhannya, karya ini tetap menawarkan perspektif yang bermakna tentang kesan pembulian dan pentingnya memahami jiwa insan dengan lebih mendalam, sambil mengingatkan bahawa setiap daripada mereka memiliki bayang-bayang yang tidak selalu kelihatan pada pandangan mata.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Selamat Pulang, Bayang
Penulis: Husna Rosli
Nombor Panggilan: HUS
Penerbit: Batu Caves, Selangor: Bookiut, imprin kepada Open Bridge Publication, 2024
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.