Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Sebelah Subang Intan Siti Khadijah

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Sebelah Subang Intan Siti Khadijah

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 26 Apr 2025 09:20PM Dikemas Kini : 26 Apr 2025 09:22PM
SINGAPURA: Sabtu 15 Mac 1986. Inilah tarikh berlakunya tragedi runtuhnya Hotel New World yang terletak di simpang antara Owen Road dan Serangoon Road.

Musibah yang meragut nyawa 33 orang mangsa ini telah mengejutkan rakyat and pemerintah Singapura.

Di dalam buku ini, penyair Hartinah Ahmad menceritakan kembali sejarah hitam yang terjadi lebih 39 tahun lalu melalui sebuah karya puisi esei yang disusun panjang sebanyak 57 perenggan.

Beliau membuka puisi esei ini dengan paparan watak utama, Siti Khadijah, sedang berdiri di tapak bangunan Hotel New World yang dilewatinya setiap tahun setelah kehilangan suami tercinta akibat runtuhan tersebut.

Karya ini sebenarnya berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam sebuah artikel mengenai runtuhan Hotel New World yang diperolehi daripada Perpustakaan Negara Singapura yang disertakan di bahagian nota kaki puisi esei ini.

Kebanyakan bahan kajian untuk artikel tersebut pula terdiri daripada berita yang diterbitkan oleh media tempatan.

Hartinah Ahmad secara peka telah mengubah butiran sejarah tentang peristiwa malang tersebut menjadi sebuah karya kreatif yang berbentuk puisi.

Beliau menulis karya ini dengan membentangkan kronologi atau garis masa peristiwa yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas bangunan itu runtuh termasuk menggambarkan kebingungan, kerunsingan dan kehibaan yang dialami oleh anggota keluarga mangsa-mangsa yang masih tertimbus di bawah batu-batu besar, pecahan kaca dan ceracak besi.

Gejolak mengejar masa untuk menyelamatkan para mangsa dapat dirasai terutamanya dengan penggunaan frasa-frasa yang berkaitan dengan konsep waktu pada seluruh puisi esei ini seperti 'fajar', 'pagi', 'tengah hari', 'malam', 'detik', 'minit', 'masa', 'jam', 'hari bulan', 'tarikh', 'Sabtu', 'Selasa' dan 'sekelip mata'.

Keperitan dan kepasrahan menunggu mangsa diselamatkan turut disorot penulis. Contohnya: “Tiap detik yang berlalu begitu menyeksa / sudah kering air mata dari robek hati yang luka / selepas 83 jam operasi menyelamat diteruskan juga / merasa sudah tiada lagi yang bernyawa / tiba-tiba penyelamat mengesan bunyi / ketukan lemah berterusan dicari / di timbunan batu di bawah meja / Chua Kim Choo bercucuran air matanya / mangsa terakhir ditemui masih bernyawa.”

Ramai yang tidak menduga malapetaka seperti ini boleh berlaku di Singapura. Buku ini amat penting dalam usaha merakam dan mengenang peristiwa duka ini dan mangsa-mangsa yang terkorban serta jasa para penyelamat yang telah bertungkus lumus siang dan malam untuk menyelamatkan mereka.

Namun begitu, pembaca ulasan ringkas ini pasti masih tertanya-tanya apakah peranan atau simbol sebelah subang intan Siti Khadijah dalam karya. Makanya, bacalah terus untuk menyelongkar kisahnya.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Sebelah Subang Intan Siti Khadijah
Penulis: Hartinah Ahmad
Penerbit: Singapura: Ombak Scripthouse Production, 2025
Nombor Panggilan: Adult SING 899.281 HAR
Pengulas: Toffa Abdul Wahed, Pustakawan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan