Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Saya Sedang Berusaha

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Saya Sedang Berusaha

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 07 Dec 2024 10:02PM Dikemas Kini : 07 Dec 2024 10:07PM
SINGAPURA: Buku bergambar “Saya Sedang Berusaha” memaparkan sebuah cerita penuh inspirasi tentang seorang kanak-kanak yang berjaya mengatasi masalahnya dengan sokongan daripada gurunya.

Terdapat dua perkara penting yang diketengahkan dalam cerita ini – kesedaran tentang Ketidakupayaan Pembelajaran Spesifik (SLD) dan pentingnya guru yang terlatih dalam pendidikan kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran.

Dalam cerita ini, seorang kanak-kanak perempuan bernama Aishah dipaparkan sebagai seorang pelajar yang kerap mengelamun dan sangat imaginatif. Namun demikian, beliau lemah dalam pelajaran disebabkan kesukaran yang dialaminya dalam aspek mengira dan membaca.

Akibatnya, beliau tidak dapat menjawab soalan-soalan gurunya dengan betul meskipun telah berusaha sedaya upaya.

Ada segelintir para pendidik ataupun ibu bapa yang mengalami keadaan ini. Walaupun terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kelemahan kanak-kanak dalam pelajaran mereka, salah satu sebab yang patut diambil kira adalah kewujudan ketidakupayaan pembelajaran.

Terdapat beberapa jenis ketidakupayaan pembelajaran yang dihadapi segelintir kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

Dalam buku ini, penulis secara khusus menggunakan contoh Ketidakupayaan Pembelajaran Spesifik (SLD). Beliau menjelaskan tentang tanda-tandanya menerusi watak Aishah. Beliau melihat banyak huruf dan nombor bergerak dan menari-nari walaupun huruf-huruf dan nombor-nombor ini hadir dalam bahan bercetak.

Oleh kerana Aishah seorang kanak-kanak, beliau tidak tahu bahawa kesukaran yang dialaminya bukanlah sesuatu yang normal. Justeru, beliau berasa marah, keliru dan kurang bersemangat di sekolah.

Mujurlah Aishah mempunyai seorang guru yang sangat prihatin tentang keadaannya. Menerusi watak gurunya yang bernama Cikgu Hana, penulis menunjukkan bahawa kehadiran seorang pendidik yang berpengetahuan tentang ketidakupayaan pembelajaran sangatlah penting.

Pengetahuan dan kemahiran Cikgu Hana dalam bidang ini dapat membantu Aishah mengatasi cabarannya melalui teknik-teknik pengajaran yang berbeza. Teknik-teknik ini lebih sesuai untuk Aishah kerana ia membantu otaknya memproses maklumat dengan berkesan.

Dengan kemahiran dalam bidang ini, dedikasi dan sikap prihatin terhadap anak-anak muridnya, Cikgu Hana banyak menabur bakti dan jasa.

Walaupun pembaca sasaran cerita ini ialah kanak-kanak, ia juga menjadi galakan kepada para pendidik untuk sentiasa mempertingkat kemahiran dan memperluaskan pengetahuan mereka dalam bidang pendidikan kanak-kanak.

Kisah ini juga menjadi teladan tentang jasa seorang guru kepada masyarakat. Maka itu, ibu bapa dan para penjaga perlu memberikan kerjasama dan penghormatan yang tinggi kepada para guru kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan anak-anak kita, sekali gus membantu mencorak masa depan mereka.

Buku ini juga mengajar kita untuk tidak menilai dan menghukum seseorang berdasarkan kekurangannya sebelum mengenali cabaran dan kesukaran yang dihadapinya terlebih dahulu.

Kerap kali, kekurangan dan kelemahan seseorang merupakan manifestasi luaran yang disebabkan oleh cabaran yang dilaluinya.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk Buku: Saya Sedang Berusaha
Penulis: Nurhafizah Ramli
Nombor Panggilan: J P Malay NUR
Penerbit: Kajang, Selangor: Aras Mega (M) Sdn. Bhd., 2024
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan