Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Sang Pemimpi Besar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sastera kanak-kanak merupakan suatu wadah untuk para penulis menyampaikan idea yang ingin dikedepankan dengan tujuan untuk mendidik dan menghiburkan pembaca muda.

Setiap cerita yang dihasilkan berpotensi memperluaskan pemikiran kanak-kanak serta membentuk pandangan hidup mereka.

Namun kandungan yang dihasilkan untuk kanak-kanak secara amnya boleh dikenal pasti di bawah dua kategori ideologi yang sangat berbeza.

Pertama, kita mempunyai genre sastera yang konservatif, yang kekal sebagai alat untuk mendidik dengan menitikberatkan nilai moral dan adab.

Kedua, kita juga ada genre sastera kanak-kanak yang bersifat progresif, yang memperkasakan pembaca melalui isu-isu kemanusiaan serta persekitaran.

Buku bergambar “Sang Pemimpi Besar” karya Maya Lestari dan Valentina Kris Utami ini dapat kita golongkan dalam kategori kedua, iaitu yang berteraskan cita kemanusiaan.

Karya ini yang berdasarkan kisah benar tentang seorang pemimpi besar bernama Hidayat Palaloi yang amat terkesan dengan kerosakan hutan bakau di sebuah desa seorang teman. Bagi mengatasi masalah tersebut, beliau bercadang untuk mengajak penduduk desa menanam bakau.

Selain penekanan terhadap pentingnya mengadakan perbincangan serta menggunakan kebijaksanaan dalam memberikan saranan, buku ini juga seolah-olah menanam benih harapan untuk kanak-kanak turut dapat memainkan peranan penting dalam proses membangunkan masyarakat yang peka terhadap kesejahteraan alam sekitar.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang tentang apa yang dilihat pada ilustrasi kulit buku serta pada setiap muka surat. Mereka juga boleh diajak untuk membicarakan perasaan pelbagai watak sepanjang penceritaan. Ini dapat membantu perkembangan sosioemosi mereka.

Buku ini merupakan sebahagian daripada siri buku cerita bergambar “Becoming a Changemaker: Menjadi Penggerak Perubahan” yang menampilkan 12 kisah pembaharu Indonesia.

Diusahakan oleh dua buah gerakan iaitu Room to Read dan Ashoka, siri ini digunakan sebagai alat literasi untuk menanam sifat suka membaca buku dalam diri kanak-kanak yang berusia 7 hingga 12 tahun.

Setiap kisah yang diceritakan memberi semangat dan iktibar kepada pembaca supaya tidak gentar menghadapi masalah serta berani membuat perubahan.

Lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam kami.

Tajuk: Sang Pemimpi Besar
Penulis: Maya Lestari dan Valentina Kris Utami
Penerbit: Indonesia: Bhuana Ilmu Populer, 2022.
Nombor Panggilan: J P MAY
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita