Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Renda Cinta: Doa Ibu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Alam remaja dicitrakan dengan pelbagai pengalaman yang membentuk peribadi mereka. 

Disulami latar kehidupan di kampung, komik realiti nostalgia ini bukan sahaja menyentuh perasaan pembaca bahkan mengajak kita untuk menyelami kenangan sendiri tika melalui peristiwa-peristiwa yang dirakam oleh Ben Wong, seniman komik yang berbakat luar biasa ini. 

Sekali gus, merenungi tindakan yang diambil dan menilai semula kesan daripadanya.

Nama Ben Wong yang tercetak di kulit depan komik ini sendiri sudah cukup untuk meyakini pembaca tentang mutu bahan bacaan yang dipersembahkan. 

Beliau murupakan seniman komik pertama di dunia yang dua kali dinobat sebagai pemenang Anugerah Perak dalam Anugerah Manga Antarabangsa anjuran Yayasan Jepun pada 2007 dan 2015!

Kisah watak utama komik ini, Reda, dipenuhi dengan pengalaman yang berbaur indah dan kekacauan. Selaku anak bongsu yang tinggal berdua dengan ibunya, beliau memenuhi amanah meringankan beban kewangan keluarga dengan berjualan kuih-muih keliling kampung. 

Namun begitu, kenakalan remaja menarik-narik dirinya untuk bergaul dengan teman-teman yang bermasalah akhlak. 

Akibatnya, beliau yang sudah mempunyai rekod disiplin kurang baik di sekolah semakin terjerumus ke lembah pergaulan negatif.

Ruang untuk Reda memperbaiki reputasi dirinya di sekolah terbuka dengan kehadiran jirannya, Nadrah, seorang pelajar pintar, berdisiplin tinggi yang amat prihatin dengan perubahan pada dirinya. 

Namun begitu, kelemahannya menolak tarikan pengaruh buruk teman-temannya yang kurang bermoral menjadi hambatan kepada perubahan dalam dirinya.

Bahkan, Reda semakin “disedut” ke dalam kumpulan nakal yang kini dipimpin oleh Abang Hock, sepupu kepada seorang temannya yang nakal. Beliau diperkenalkan dengan keseronokan bermotosikal yang merupakan sebahagian daripada rancangan kumpulan tersebut memperalatkannya untuk misi rahsia.

Kepulangan abang kandungnya, Azmi, anak kesayangan ibunya, untuk menuntut harta peninggalan arwah bapa mereka secara paksa membuka satu lagi babak pedih dalam kehidupan keluarganya. 

Kegagalan Azmi untuk mendapatkan kemahuannya membuatkan dia amat marah sehingga “membuang” ibunya sendiri.

Semenjak kejadian itu, ibunya mengalami tanda-tanda kemurungan, ada waktu menatap gambar-gambar lama mengimbau saat-saat bahagia. Rakaman satu sosok tubuh yang tidak dikenali dalam sekeping gambar tersebut turut menimbulkan tanda tanya kepada Reda.

Pengakhiran komik ini dipenuhi banyak persoalan. 

Apakah masa depan pendidikan Reda di sekolah nanti? 

Bagaimanakah Reda bakal diperalatkan Abang Hock dalam memenuhi misi misteri kumpulannya? 

Apakah misi tersebut? 

Bagaimanakah dengan keadaan ibu Reda? Adakah Azmi akan kembali lagi untuk menggasak hati warisan keluarganya?

Namun, bagi pembaca remaja, pastinya persoalan paling utama ialah tentang hubungan antara Nadrah dan Reda dalam memaknakan erti persahabatan.

Bacalah susulan kisah komik bermutu ini untuk mengetahui lanjutan kisah mereka.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Renda Cinta: Doa Ibu
Editor: Ben Wong
Penerbit: Selangor: PTS Publishing House, 2019
Nombor Panggilan: Teens Malay 741.59595 WON -[CMX]
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita