Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: 'Raja Rojak' papar kulinari berbilang kaum & budaya S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Singapura memang terkenal dengan pilihan makanan yang beraneka.  

Salah satu makanan yang sangat digemari ramai ialah rojak.  

Malahan, terdapat pelbagai jenis rojak dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang budaya dan bangsa. 

Oleh itu, buku ”Raja Rojak” ini sangat sesuai dibaca bersama kanak-kanak sebagai usaha permulaan untuk memperkenalkan mereka kepada kepelbagaian makanan rakyat Singapura!

Menerusi buku ini, kanak-kanak akan mempelajari bahawa rojak merupakan sejenis makanan amat terkenal yang boleh didapati dalam masakan masyarakat India, Melayu dan Cina.  

Walau bagaimanapun, cara masakan atau persiapannya berbeza.  

Perbezaannya terletak pada bahan-bahan masakan yang digunakan untuk menimbulkan perisa yang berlainan.  

Contohnya, bahan utama dalam Rojak India ialah vadai udang, sementara bahan utama Rojak Melayu (Rojak Bandung) ialah sotong dan kangkung.  Rojak Cina (Rojak Char Kuey) pula banyak menggunakan nanas dan Char Kuey.  

Walaupun begitu, ketiga-tiga jenis rojak masih mempunyai ciri persamaan.  

Ramuan seperti timun dan kacang perlu ada. Kuah untuk disiram pada rojak ataupun dicecah juga tidak ketinggalan.  

Secara tidak langsung, buku ini menyerlahkan keunikan masyarakat Singapura yang berbilang budaya dan bangsa menerusi paparan kepelbagaian tradisi kulinarinya.  

Jalan cerita buku ini juga mengetengahkan adab berniaga yang patut diteladani sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang perniagaan.  

Setiap penulis maklum bahawa buku kanak-kanak harus mempunyai visual yang menarik untuk memikat perhatian pembaca sasaran.  

“Raja Rojak” berjaya dari aspek ini kerana ilustrasi watak-wataknya sungguh comel dan lucu.  

Ilustratornya bijak mengisi setiap muka surat dengan lukisan atau coretan yang lembut dan tidak begitu tajam serta kasar. Teknik sebegini lebih berkesan untuk menarik perhatian si kecil. Saiz buku berukuran A4 ini cukup besar dan selesa untuk dipegang pembaca. Teksnya juga mudah dibaca.

Buku ini pasti membuka selera para pembaca segenap lapisan usia untuk makan dan membaca!

Tajuk Buku: Raja Rojak
Penulis: Nur Shabrina Binte Mohd Afendi & Nur Shaliza Binte Zulkifli
Nombor Panggilan: J SING NUR
Penerbit: Singapura: Pustaka Nasional, 2021
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan