Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Pesanan Terakhir & Monyet Nakal dengan Semut

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Pesanan Terakhir & Monyet Nakal dengan Semut

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 21 Dec 2024 01:37PM Dikemas Kini : 21 Dec 2024 01:40PM
SINGAPURA: Bijak bergaul, menghargai insan-insan di sekeliling mereka dan juga kesedaran tentang kepentingan hidup bermasyarakat merupakan antara perkara yang boleh kanak-kanak pelajari daripada membaca dua buah buku tulisan penulis Brunei ini.

Karya “Pesanan Terakhir” mengisahkan tentang hubungan akrab lagi istimewa antara seorang kanak-kanak perempuan, Amni, berusia 10 tahun dengan kucing peliharaannya, Tom-Tom.

Amni, anak yatim sejak beliau dilahirkan kemudian kehilangan ayahnya ketika usianya lapan bulan. Semenjak itu, beliau dijaga oleh neneknya. Kehadiran Tom-Tom tanpa diduga berjaya menyerikan hidupnya.

Hampir setiap hari mereka bermain bersama-sama di hadapan rumah nenek. Tom-Tom pandai menangkap ikan. Ikan-ikan yang ditangkap Tom-Tom kemudian dimasak oleh neneknya.

Amni yang sangat senang berkawan dengan Tom-Tom enggan bermain dengan kawan-kawannya yang lain. Beliau hanya mendiamkan diri apabila neneknya menasihatinya untuk bersama-sama dengan kawan-kawannya itu.

Suatu hari, Tom-Tom hanyut dibawa arus sungai yang mengalir deras. Peristiwa ini menyebabkan Amni bersedih dan menjadi pendiam. Segala usaha neneknya untuk menceriakan Amni tidak berjaya.

Pertemuan Amni dengan Tom-Tom dalam mimpi mengubah keadaan. Nasihat Tom-Tom agar Amni mencari sahabat baharu dan menghargai orang-orang yang masih ada di sekelilingnya dituruti.

Semenjak hari itu, Amni kembali bahagia. Kini, beliau mengisi masa dengan melakukan perkara yang berfaedah seperti membantu neneknya bercucuk tanam selain bermain dengan kawan-kawan sekampung.

Daripada kisah ini juga, pembaca kanak-kanak belajar untuk sentiasa menghargai hubungan sedia ada selain meluaskan jaringan persahabatan. Mereka juga dinasihati untuk menuruti bimbingan golongan dewasa bagi menyelesaikan sesebuah masalah.

Menerusi kisah “Monyet Nakal dengan Semut” pula, kanak-kanak akan membaca tentang tiga ekor anak monyet yang suka mengacau kehidupan flora dan fauna di sekeliling mereka.

Sebuah tempat yang dipenuhi rumput-rumput hijau dan bunga yang berwarna-warni dirosakkan mereka dalam masa yang singkat. Anak gajah sering dibuli mereka hingga menyebabkannya menangis. Semut-semut yang tinggal di dalam sebuah busut yang tersembunyi di sebalik lalang juga tidak terselamat daripada diganggu mereka.

Akibat “diserang” anak-anak monyet ini, Sang Ratu semut mengarahkan “pasukannya” untuk membalas tindakan monyet-monyet ini. Kecederaan yang dialami oleh monyet-monyet ini agak serius. Selain bengkak-bengkak di tubuh, ketiga-tiga anak monyet ini juga mengalami luka akibat gigitan semut yang banyak.

Akhirnya, anak-anak monyet ini menyesali perbuatan mereka. Kemaafan daripada anak gajah dipinta. Mereka juga mula mengisi masa dengan menolong ibu bapa mereka mencari makanan.

Menerusi kisah ini, pembaca kanak-kanak meraih kesedaran bahawa setiap tindakan jahat yang dilakukan pasti mendapat balasan sewajarnya.

Penjagaan alam flora dan fauna juga merupakan tanggungjawab kita bersama.

Dalam hidup bermasyarakat, pembaca juga diingatkan untuk sentiasa menghormati hak orang lain selain mengamalkan sikap bekerjasama dalam menjaga kesejahteraan semua.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku-buku ini di perpustakaan NLB.


Tajuk Buku 1: Pesanan Terakhir
Tajuk Buku 2: Monyet Nakal dengan Semut
Penulis: Wathiqah Amirah Haji Wasli
Nombor Panggilan: Junior Malay WAT
Penerbit: Berakas: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 2021
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan