Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Perubatan Zaman Pertengahan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahukah anda bahawa tukang gunting rambut pada Zaman Pertengahan bukan sekadar memotong rambut, bahkan boleh juga mencabut gigi pelanggan?

Ngeri, tetapi benar. Fakta menarik ini hanyalah satu daripada pelbagai trivia pelik dan mengujakan yang boleh anda temui dalam buku Perubatan Zaman Pertengahan karya Nicola Barber, yang telah diterjemahkan ITBM.

Buku ini membawa kita kembali ke dunia antara tahun 500 Masihi hingga 1400 Masihi, zaman yang sering digelar “Zaman Gelap”. Namun, apabila menelusuri halaman demi halaman, jelas bahawa zaman ini tidaklah “segelap” yang disangka. Walaupun pengetahuan ilmu sains masih terhad dan sikap masyarakat terhadap penyakit banyak dipengaruhi kepercayaan karut dan tahyul, usaha untuk merawat pesakit tetap dilakukan dengan penuh kesungguhan.

Selain bidang perubatan di Eropah, penulis turut menyorot kemajuan penting dalam dunia Islam yang ketika itu menjadi pusat ilmu perubatan. Para tokoh dan ilmuwannya menghasilkan ensiklopedia perubatan, memperkenalkan kaedah pembedahan yang lebih sistematik, serta menubuhkan hospital yang lebih tersusun.

Seawal abad ke-9, hospital dalam dunia Islam sudah mempunyai kompleks yang lengkap, termasuk wad berasingan, sistem pengajaran untuk pelajar perubatan, selain farmasi dan perpustakaan, walaupun bentuknya berbeza daripada institusi moden hari ini.

Pastinya, perbincangan tentang Zaman Pertengahan tidak lengkap tanpa menyentuh tentang wabak Maut Hitam. Buku ini menjelaskan bagaimana wabak besar dan pelbagai penyakit merebak merentasi negara dan benua. Tanpa pengetahuan tentang bakteria atau virus, masyarakat pada waktu itu mencuba pelbagai cara untuk melindungi diri. Ada yang berkesan, namun ada juga yang sekadar mitos, seperti menembak meriam api untuk “membersihkan” udara.

Secara keseluruhannya, buku ini sesuai untuk pembaca yang ingin memahami sejarah perubatan secara visual dan padat. Dengan penerangan yang jelas serta susunan topik yang teratur, buku ini memperlihatkan bagaimana manusia, walaupun dengan keterbatasan ilmu, tetap berusaha mencari jawapan bagi permasalahan kesihatan dan memperbaiki kehidupan mereka.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Perubatan Zaman Pertengahan
Penulis: Nicola Barber
Nombor Panggilan: Teen 610.902 BAR
Penerbit: Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2024.
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita