Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Penyakit Cinta

Shamsiar pulang ke kampung setelah tamat persekolahan agama peringkat menengah selama empat tahun di Padang.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Penyakit Cinta

Novel berjudul 'Penyakit Cinta'. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 02:00PM
  • Artikel ini mengulas Penyakit Cinta karya Hamka, tentang Shamsiar yang pulang ke kampung selepas empat tahun belajar agama di Padang tetapi sukar menyesuaikan diri dengan masyarakatnya.
  • Shamsiar mengimpikan suami berpendidikan dan menolak nikah paksa, namun tekanan jodoh, rasa terasing dan didikan akhlak yang lemah membawa kepada gangguan mental.
  • Hasan, lulusan Perguruan Thawalib, cuba memodenkan pendidikan pondok sebelum bertemu Shamsiar dalam perhimpunan umum, lalu mereka berkahwin dengan restu keluarga.
  • Novel ini menyorot cinta, rumah tangga, adat, pendidikan dan kemajuan masyarakat; maklumat pinjaman boleh disemak melalui katalog NLB, menurut pengulas Herman Rothman.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Shamsiar pulang ke kampung setelah tamat persekolahan agama peringkat menengah selama empat tahun di Padang.

Walaupun tercapai hajat keluarganya menjadikan beliau anak perempuan yang terpelajar, alim dan mengerti agama, Shamsiar tetap terikat hidupnya dalam lingkungan masyarakat yang ketinggalan jauh dalam mengenal erti kemajuan.

Kedudukan Shamsiar yang dimuliakan keluarganya memberi ruang kepada beliau tidak terlibat dalam urusan di rumah. Kesempatan itu dimanfaatkannya untuk “mengaji” novel-novel percintaan, sekali gus mempengaruhi pendiriannya tentang calon suami.

Beliau tidak akan menikah paksa, bersuami tua dan berpoligami. Yang diimpikan, menjadi isteri kepada suami yang sehaluan dengannya, sama-sama memahami erti kemajuan dan berpendidikan.

Walaupun telah hampir setahun pulang ke kampung, Shamsiar masih belum bekerja ataupun bertemu jodohnya bahkan tidak begitu pandai menguruskan kerja di dapur, malah gagal memenuhi secubit harapan kaum wanita di kampungnya untuk mengimami solat Subuh.

Fikirannya tetap meninggi ingin dipinang oleh lelaki yang bervisi memajukan diri dan masyarakatnya.

Kesulitan mendapat jodoh dan perasaan terpencil dalam kalangan keluarganya menyebabkan Shamsiar berasa dirinya tidak dihargai dan dihormati. Beliau akhirnya mengalami gangguan mental yang disyaki berpunca daripada perbuatan sihir.

Penawar yang ditemukan hanya bersifat sementara. Antara puncanya adalah kekurangan pendidikan akhlak.

Lalu, rawatan paling mujarab adalah menikahkannya!

Tidak berapa jauh dari kampung tempat Shamsiar tinggal, seorang pemuda bernama Hasan, lulusan Perguruan Thawalib berhadapan realiti kehidupan pasca pengajian. Janji mulus hidup senang sebagai pendidik jauh daripada kenyataan. Mujurlah, sikap pandang jauhnya memacu usahanya menghidupkan sistem pendidikan pondok yang dimodenkan pendekatannya.

Dalam satu perayaan perhimpunan umum, Shamsiar dan Hasan dipertemukan. Perasaan cinta Shamsiar kepada Hasan berbalas hingga akhirnya mereka mendirikan rumah tangga yang diraikan kedua-dua pihak keluarga.

Malangnya, kurangnya kemahiran menguruskan rumah tangga, obsesi dan sifat cemburu Shamsiar terhadap Hasan mula menzahirkan keretakan hubungan antara kedua-duanya.

Di sinilah bermulanya ujian sebenar kedua-dua pasangan ini dalam membina rumah tangga secara berdikari, khususnya bebas daripada “kemanjaan” diuruskan kehidupan seharian oleh keluarga.

Mampukah Shamsiar memahami dan menyokong juang suaminya?

Bijaksanakah Hasan dalam mengimbangi tanggungjawabnya sebagai pendidik masyarakat dan melayani keperluan isterinya?

Sejauh manakah peranan ahli keluarga dalam menentukan keutuhan rumah tangga anak-anak mereka?

Apakah adat, budaya dan sistem pendidikan punca kemajuan atau kemunduran sesebuah masyarakat?

Inilah sebahagian daripada persoalan yang dibangkitkan Hamka menerusi novel pendek berimpak tinggi ini.

Bagi peminat novel percintaaan, naskhah ini menjanjikan pengalaman membaca yang menggetarkan perasaan. Untuk pemerhati adat dan budaya, karya ini merupakan suatu kritik sosial yang membuka ruang bicara tentang faktor-faktor pembangunan bangsanya.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Penyakit Cinta
Penulis: Hamka
Penerbit: Kajang, Selangor: JT Publishing House Sdn. Bhd., 2026.
Nombor Panggilan: Malay Adult HAM​​​​​​​
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita