Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: ‘Pendoa Yang Ikhlas’ sorot 20 cerpen terap nilai murni dalam remaja

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Anda mencari bahan bacaan bermutu? 

Salah satu sumbernya merupakan karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis tersohor seperti Allahyarham Azizi Hj Abdullah.
 
Pendoa Yang Ikhlas memuatkan 20 cerpen terpilih penulis ini. 

Kumpulan cerpen ini berpotensi untuk membentuk keperibadian murni pembaca selain mendokumentasikan budaya masyarakat menurut peredaran masa.
 
Catatan ini memfokuskan secara ringkas 3 cerpen yang menyentuh keperibadian pendidik iaitu Sakinah, Paku Payung & Limau Mandarin serta Muhd. Dhuha.
 
Sakinah kisah anak Cina Muslim yang juling matanya membakar api prejudis Ustaz terhadapnya. Ayah Sakinah turut dicemuh Ustaz kerana berpakaian kotor dan lusuh walaupun beliau baik hatinya, segera membantu Ustaz tika kemalangan berlaku. 

Mata siapakah yang sebenarnya cacat? Sakinah atau dia yang bergelar Ustaz?
 
Paku Payung dan Limau Mandarin memerihalkan tentang Midun, seorang pelajar cacat, celah bibir atasnya rabit sebelah sejak lahir, ialah murid yang dibenci Cikgu yang “membodohkan”nya. 

Lengan Midun pernah diheret seperti kambing mati. Namun, Midun tetap mengambil berat keadaan Cikgu apabila beliau dirawat di hospital. Bekas lima jari ditempeleng Cikgu menemani Midun ketika beliau melawatnya di hospital. 

Tangannya yang hanya mempunyai 3 jari tanpa kuku itulah yang menghulurkan sebiji limau mandarin sebagai buah tangan kepada Cikgunya. 

Siapakah yang mendidik siapa sebenarnya?
 
Mohd Dhuha, dalam darjah satu, bodoh, bahlul dan bongoknya memuakkan Ustaz. Walaupun beliau yang paling lantang menjawab salam, paling bersungguh-sungguh ketika berdoa mula belajar, paling baik menyempurnakan wuduk, pantas menghampar 40 helai sejadah untuk kawan-kawannya, sentiasa berdiri di belakang imam waktu solat, selalu menyuakan salam ketika ustaz hendak pulang dan tidak tinggal solat Dhuha, mampukah menginsafkan Ustaz?
 
Lungsuri laman katalog kami https://catalogue.nlb.gov untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini serta banyak lagi karya yang dihasilkan Allahyarham yang terdapat di perpustakaan awam.
 
Tajuk Buku: Pendoa Yang Ikhlas
Penulis: Azizi Hj Abdullah
Penerbit: Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.
Nombor Panggilan: R Malay 899.283 AZI
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan