ePustaka: Pemberontak Filem II
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bagi peminat filem Melayu, Nasir Jani tentunya bukan satu nama yang asing. Beliau sudah berkecimpung dalam bidang pembikinan filem lebih daripada 40 tahun sebagai pengarah, penulis dan juga pelakon.
Penggemar filem Melayu mungkin masih ingat filem-filem arahan beliau yang mendapat sambutan baik pada tahun 1980-an seperti “Kembara Seniman Jalanan” lakonan M. Nasir dan “Rozana Cinta 87” yang berdasarkan lagu popular oleh kugiran rok Search.
Buku terbitan tahun 2022 ini merupakan jilid yang kedua menyusuli jilid pertama berjudul “Pemberontak Filem: Rebel with a cause without pause”, yang diterbitkan pada tahun 2019.
Kedua-dua jilid menggunakan format penyampaian yang sama. Catatan penulis, dalam bentuk artikel ringkas, masih tentang segala yang bersangkut paut dengan industri seni filem Melayu berdasarkan pengalaman pahit manis yang beliau lalui sebagai penggiat filem Melayu.
Setiap artikel hanya sekitar lima muka surat sahaja tetapi padat dengan kritikan pedas dan pandangan yang mungkin tidak disetujui oleh pihak lain yang berada dalam industri yang sama.
Antara artikel yang pedas ini, termasuk tentang “Filem Kulit Tanpa Isi” yang “mengherdik” penerbitan filem murahan yang bertujuan “memecahkan panggung” (menarik ramai penonton dan menjana penjualan tiket yang tinggi) dengan mengabaikan tanggungjawab “memecahkan” minda penonton untuk memikirkan persoalan dan gagasan baharu yang membina jati diri dan membangunkan masyarakat.
Satu lagi artikel berjudul “Hak Cipta Boleh Padam?” pula mengkritik pihak tertentu, termasuk badan kerajaan, yang menggunakan karya orang lain tanpa medapatkan keizinan pemiliknya.
Tidak dinafikan, pembaca mungkin merasakan ada beberapa pendapat penulis yang agak keras. Ini sememangnya selari dengan perwatakan Nasir Jani. Peribadinya yang dianggap sebagai “pemberontak” dan sukar untuk bekerjasama ini disebabkan beliau tidak akan bertolak ansur dalam perkara yang bersangkut paut dengan prinsip hidup dan visinya sebagai pembikin filem dan penggiat seni.
Begitu pun, harus diakui buku ini dapat memberikan pengajaran kepada pembaca terutama mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam pembikinan filem Melayu.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Pemberontak Filem II
Penulis: Nasir Jani
Penerbit: Petaling Jaya, Selangor : Rabak Lit, 2022.
Nombor Panggilan: 791.4309595 NAS [ART]
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.